backup og meta

Jangan Ambil Ringan, Wanita Perlu Buat Ujian Kanser Serviks Untuk Kesan Awal!

Jangan Ambil Ringan, Wanita Perlu Buat Ujian Kanser Serviks Untuk Kesan Awal!

Kanser serviks adalah salah satu kanser yang paling banyak menyerang kaum wanita di dunia. Walaupun kanser ini jarang menunjukkan sebarang simptom awal, namun cara mengatasi kanser serviks boleh dimulakan dengan pencegahan awal seperti pengambilan vaksinasi dan pemeriksaan saringan.

Dalam artikel kali ini, kami akan membincangkan tentang apa itu kanser serviks dan cara untuk melakukan ujian kanser serviks.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

Apa itu kanser serviks?

Kanser serviks adalah kanser yang terjadi di bahagian bawah rahim, iaitu pangkal rahim yang menyambung dengan faraj. Kanser ini sering dikaitkan dengan jangkitan virus HPV (Human Papillomavirus), yang tersebar melalui hubungan seksual.

Walaupun kebanyakan jangkitan HPV tidak menyebabkan kanser, beberapa jenis HPV berisiko tinggi boleh merosakkan sel-sel di serviks dan menyebabkan perubahan yang boleh berkembang menjadi kanser.

Kanser serviks sering tidak menunjukkan simptom pada peringkat awal. Namun, ada beberapa tanda awal kanser serviks yang perlu diberi perhatian seperti :

  • Pendarahan antara kitaran haid atau selepas hubungan seksual
  • Keputihan yang berbau atau berwarna pelik
  • Sakit pinggang atau sakit di bahagian bawah abdomen
  • Keletihan yang berlebihan dan penurunan berat badan yang tidak dijangka

Berikut adalah faktor-faktor utama yang boleh meningkatkan risiko kanser serviks pada golongan wanita:

  • Hubungan seksual tidak selamat: Mempunyai ramai pasangan seksual atau pasangan yang mempunyai ramai pasangan lain akan meningkatkan risiko terdedah kepada jangkitan HPV
  • Sistem imun yang lemah: Wanita yang mempunyai sistem imun lemah, lebih berisiko untuk mendapat jangkitan HPV yang berterusan dan kanser serviks
  • Merokok: Rokok mengandungi bahan kimia yang boleh merosakkan sel serviks dan melemahkan sistem imun.
  • Sejarah peribadi atau keluarga: Wanita yang pernah mengalami perubahan sel serviks atau kanser serviks sebelumnya lebih berisiko untuk menghidap semula. Selain itu, sejarah keluarga dengan kanser serviks juga boleh meningkatkan risiko kanser serviks
  • Kurang menjalani ujian kanser serviks (pap smear): Tidak menjalani ujian pap smear secara berkala boleh menyebabkan perubahan sel abnormal tidak dikesan pada peringkat awal, membolehkan kanser berkembang tanpa disedari

Bagaimana cara mengatasi kanser serviks pada peringkat awal?

Jika anda ingin mengurangkan risiko kanser serviks, anda boleh lakukan beberapa cara mengatasi kanser serviks seperti berikut:

#1. Cara mengatasi kanser serviks dengan mengambil vaksinasi HPV

vaksin hpv
Pengambilan vaksin HPV untuk mengurangkan risiko kanser serviks.

Vaksin HPV adalah salah satu cara mengatasi kanser serviks yang sangat berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan virus HPV.

Vaksinasi disarankan untuk remaja perempuan dan lelaki antara umur 9 hingga 14 tahun sebelum mereka terdedah kepada virus tersebut.

Namun, wanita hingga usia 26 tahun juga boleh mendapatkan vaksin ini sekiranya mereka belum mendapatkan vaksin ini untuk melindungi diri daripada jangkitan HPV.

Walau bagaimanapun, vaksinasi ini hanya berfungsi untuk menghalang jangkitan dalam kalangan wanita yang tidak pernah dijangkiti virus HPV sahaja. Tapi, vaksin ini tidak akan merawat jangkitan yang sedia ada.

Cara mengatasi kanser serviks #2. Lakukan pemeriksaan pap smear secara berkala

Pap smear adalah ujian saringan yang mampu mengesan perubahan sel-sel serviks sebelum ia menjadi kanser.

Antara persediaan sebelum ujian pap smear, anda akan dinasihatkan supaya tidak melakukan hubungan seks atau menggunakan sebarang ubat-ubatan di dalam faraj.

Ujian kanser serviks ini dilakukan dengan keadaan pesakit berbaring dan kaki disokong pada penyangga kaki.

Doktor akan memasukkan alat spekulum ke dalam faraj untuk membuka serviks dan mengambil sampel sel menggunakan berus atau spatula kecil dari permukaan dan saluran serviks. Proses ini biasanya tidak menyakitkan, tetapi sedikit ketidakselesaan atau tekanan mungkin akan dirasai.

Jika keputusan ini menunjukkan perubahan yang tidak normal, ujian kanser serviks lanjut seperti kolposkopi atau biopsi mungkin diperlukan.

vaksin hpv
Proses suntikan vaksin HPV.

#3. Berhenti merokok

Salah satu cara mengatasi kanser serviks dengan berkesan adalah dengan berhenti merokok. Ini kerana, racun dalam asap rokok boleh melemahkan sistem imun badan.

Amalan merokok bukan sahaja meningkatkan risiko anda untuk menghidap kanser serviks, malah ia juga boleh menyebabkan anda terkena kanser lain seperti kanser paru-paru, kanser esofagus dan kanser mulut dan tekak.

#4. Dapatkan rawatan untuk kanser serviks

Sekiranya kanser serviks dikesan, terdapat beberapa pilihan rawatan yang boleh dipertimbangkan bergantung pada peringkat kanser, kesihatan pesakit, umur dan sama ada pesakit masih ingin mempunyai anak atau tidak.

  • Pembedahan: Untuk kes yang lebih awal, pembedahan boleh dilakukan untuk membuang tisu yang terjejas Pembedahan lebih lanjut seperti histerektomi (pembuangan rahim) mungkin diperlukan untuk kanser yang lebih berisiko
  • Radioterapi: Penggunaan sinaran berkuasa tinggi untuk membunuh sel-sel kanser atau mengecilkan tumor
  • Kemoterapi: Ubat yang digunakan untuk membunuh sel-sel kanser atau menghalang pertumbuhannya
  • Imunoterapi: Menggunakan terapi untuk merangsang sistem imun tubuh bagi memerangi sel kanser dengan lebih berkesan

Kesimpulan

Jangan abaikan kesihatan serviks anda! Kanser serviks boleh dicegah dengan langkah mudah seperti ujian pap smear secara berkala, vaksin HPV, dan amalan gaya hidup yang sihat.
Ambil tindakan hari ini untuk melindungi diri anda, kerana langkah kecil yang anda ambil sekarang boleh membawa perubahan besar untuk masa depan yang lebih cerah dan sihat.

[embed-health-tool-ovulation]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Cervical Cancer. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/12216-cervical-cancer. Diakses Januari 8, 2025.
  2. Reducing Risk for Cervical Cancer. https://www.cdc.gov/cervical-cancer/prevention/index.html. Diakses Januari 8, 2025.
  3. Can Cervical Cancer Be Prevented? https://www.cancer.org/cancer/types/cervical-cancer/causes-risks-prevention/prevention.html#:~:text=The%20two%20most%20important%20things,Cancer%20Society%20(ACS)%20guidelines. Diakses Januari 8, 2025.
  4. Cervical Cancer. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/cervical-cancer/symptoms-causes/syc-20352501. Diakses Januari 8, 2025.
  5. Cervical cancer. https://www.mountsinai.org/health-library/diseases-conditions/cervical-cancer. Diakses Januari 8, 2025.

Versi Terbaru

10/01/2025

Ditulis oleh Annes Nadia

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Diperbaharui oleh: Ahmad Farid


Artikel Berkaitan

Sejauh Mana Kanser Serviks Merebak, Usah Bimbang Ini Rawatan & Terapi Yang Boleh Dilakukan

Nak Elak Kanser Serviks? Jangan Takut Untuk Buat Ujian Pap Smear! Ini Apa Yang Terjadi Ketika Ujian


Disemak secara perubatan oleh

Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Annes Nadia · Disemak pada 2 hari lalu

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan