Dalam pengumuman yang bersejarah itu, Hari Polio Sedunia disambut dengan penuh rasa kemenangan apabila virus polio liar jenis 3 (WPV3) telah diisytiharkan sebagai dibasmi di seluruh dunia. Ini merupakan kejayaan pembasmian penyakit boleh dicegah yang ketiga dalam sejarah setelah virus smallpox dan juga virus polio liar jenis 2.
Usaha sama pelbagai pihak
Dalam usaha untuk menghapuskan ancaman virus berbahaya di peringkat global, kerjasama yang utuh daripada pelbagai pihak amat diperlukan. Menurut Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Pengarah Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) merangkap Pengerusi Inisiatif Pembasmian Polio Global (GPEI), kejayaan ini merupakan hasil komitmen rakan strategik WHO, negara-negara ahli dan juga kemajuan teknologi imunisasi semasa. GPEI adalah sebuah usaha sama antara entiti kerajaan dan swasta dan ia membabitkan kolaborasi bersama WHO, Rotary International, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), UNICEF, Yayasan Bill & Melinda Gates dan juga rangkaian rakan kongsi yang luas.