backup og meta

Ambil Perhatian! 7 Perkara Ini Akan Berlaku Kepada Ibu Hamil Sewaktu Memasuki Trimester Ketiga

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/10/2022

    Ambil Perhatian! 7 Perkara Ini Akan Berlaku Kepada Ibu Hamil Sewaktu Memasuki Trimester Ketiga

    Ramai ibu hamil yang tertanya-tanya, apakah yang akan berlaku sewaktu hamil trimester ketiga. Tetapi sebelum itu, adakah anda mengetahui trimester ketiga berapa minggu?

    Trimester ketiga bermula daripada minggu ke-25 hingga minggu ke-40 kehamilan iaitu sebanyak 15 minggu. Apa yang berlaku ketika trimester ketiga?

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.

    Hamil trimester ketiga secara umum

    hamil trimester ketiga

    Berbanding trimester pertama dan kedua, trimester ketiga adalah trimester yang paling mencabar bagi ibu hamil.

    Ia bukan sahaja menguji tahap fizikal ibu tersebut, tetapi juga menguji keadaan mentalnya.

    Pada trimester ini, terdapat lebih banyak perubahan yang berlaku kepada ibu hamil.

    Untuk bayi dalam kandungan pula, terdapat juga beberapa perubahan yang akan berlaku.

    Ini termasuklah pertambahan berat badan dan pergerakan yang lebih kerap di dalam rahim.

    Ini perubahan yang boleh berlaku sewaktu hamil trimester ketiga

    Untuk ibu hamil, anda perlu ketahui bahawa saiz bayi sudah semakin besar pada fasa ini.

    Bayi dalam kandungan bukan sahaja bertambah berat badan tetapi juga lebih kerap membuat pergerakan.

    Perkara-perkara seperti ini akan membuatkan ibu hamil berasa kurang selesa selain menyebabkan beberapa perubahan lain seperti: 

    #1. Sakit belakang

    Semasa hamil trimester ketiga, terdapat banyak perubahan yang berlaku kepada hormon.

    Hormon kehamilan akan mula mengendurkan tisu penghubung yang berfungsi memastikan tulang anda berada pada kedudukannya.

    Apabila pengenduran ini berlaku, ia boleh menyebabkan sedikit rasa tidak selesa pada bahagian belakang badan anda.

    Oleh sebab itu, anda akan kerap berasa sakit belakang pada trimester ini.

    Bagi mengurangkan rasa sakit dan tidak selesa ini, gunakan kerusi yang mempunyai sistem sokongan tulang belakang sewaktu hendak duduk.

    Selain itu, elakkan penggunaan selipar dengan tapak yang rata supaya tulang belakang anda mendapat sokongan yang betul. 

    #2. Kontraksi Braxton Hicks

    hamil trimester ketiga

    Anda mungkin akan mengalami apa yang disebut sebagai kontraksi Braxton Hicks.

    Kontraksi ini berlaku secara ringan dalam keadaan yang tidak menentu.

    Ia bukanlah satu kontraksi yang menyakitkan dan biasa berlaku pada waktu tengahari atau petang.

    Selain itu juga, ia boleh berlaku selepas anda melakukan aktiviti fizikal.

    Kontraksi ini akan berlaku dengan semakin kerap apabila tarikh kelahiran sudah semakin hampir.

    Berjumpalah dengan doktor sekiranya kontraksi yang dialami itu menjadi semakin kerap dan kuat. 

    #3. Kerap membuang air kecil ketika hamil trimester ketiga

    Pada trimester ketiga, bayi dalam kandungan anda akan bergerak semakin dalam ke bahagian pelvis ibu.

    Ini akan menyebabkan tekanan pada pundi kencing anda.

    Oleh kerana itu, pada trimester ini juga anda akan lebih kerap membuang air kecil daripada biasa.

    Malah, anda juga mungkin akan terkucil tanpa sengaja sewaktu bersin, ketawa atau batuk.

    Anda juga mungkin akan terkucil ketika membongkokkan diri atau semasa angkat barang.

    Baca juga:

    #4. Berlaku pedih ulu hati

    Hormon kehamilan juga boleh menyebabkan pengenduran injap yang berada di antara perut dan esofagus.

    Apabila injap ini mengendur, maka asid perut boleh memasuki saluran esofagus anda.

    Ini akan menyebabkan keadaan yang disebut sebagai pedih ulu hati.

    Antara tip untuk elak berlakunya pedih ulu hati adalah dengan mengambil makanan dalam jumlah yang kecil.

    Selain itu, anda juga disarankan untuk elak pengambilan makanan bergoreng, makanan pedas dan buah-buahan sitrus seperti limau.

    #5. Mudah mengalami sesak nafas

    hamil trimester ketiga

    Anda mungkin tidak percaya tetapi kehamilan juga boleh membuatkan ibu mengalami sesak nafas.

    Untuk mengelakkan ia berlaku, pastikan anda duduk atau baring dengan kedudukan yang betul.

    Ini untuk memberikan ruang dalam badan agar paru-paru dapat mengembang dengan baik sewaktu menarik dan menghembuskan nafas. 

    #6. Buasir ketika hamil trimester ketiga

    Memandangkan perut sudah semakin besar dan berat badan naik pada trimester ketiga, maka anda juga berisiko untuk mengalami buasir.

    Urat varikos pada bahagian punggung akan mula berasa gatal dan sakit disebabkan tekanan daripada perut.

    Bagi mengurangkan rasa sakit akibat buasir semasa hamil, anda boleh cuba berendam dalam air suam untuk melegakan urat varikos tersebut. 

    #7. Emosi lebih mudah terganggu

    Ketika hamil trimester ketiga ini, anda sudah mendekati tarikh kelahiran bayi.

    Oleh itu, anda mungkin akan kerap memikirkan keadaan untuk melahirkan bayi kelak.

    Anda mungkin kerap berfikir adakah proses bersalin itu menyakitkan atau berapa lama tempoh yang akan diambil untuk melahirkan bayi.

    Kesemua ini akan menyebabkan anda lebih cemas dan risau. Emosi anda akan lebih mudah terganggu berbanding sebelum ini.

    Semoga panduan ini boleh membantu anda untuk lebih bersedia dan mengurangkan rasa cemas sebelum melahirkan bayi kelak. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 02/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan