- Mempunyai sejarah keluarga.
- Pernah diserang sawan tarik sebelum ini. 1 daripada 3 kanak-kanak yang pernah mengalami sawan selalunya akan mengalami sawan semula dalam tahun pertama atau kedua.
- Mereka berumur 15 bulan atau lebih muda ketika diserang sawan.
Namun, ibu bapa boleh menarik nafas lega ketika anak sudah menginjak ke umur 5 tahun. Kebanyakan kanak-kanak pada umur ini tidak akan mengalami sawan tarik lagi.
Apa yang anda perlu lakukan jika anak diserang sawan
Sawan tarik selalunya akan berlaku selama kurang daripada 5 minit. Anak anda akan:
- Menjadi keras serta lengan dan kaki mereka akan bergerak tanpa kawalan.
- Tidak sedarkan diri dan mungkin terkencing atau terberak dalam seluar.
Jika anak anda diserang sawan tarik, bawa bertenang dan:
- Letakkan anak di atas lantai.
- Alihkan objek yang menghalang.
- Pastikan anak dalam keadaan mengiring untuk elakkan tercekik.
- Periksa sama ada anak bernafas dengan betul.
- Catatkan masa anak terkena serangan sawan.
Jika sawan tersebut berlaku lebih daripada 5 minit dan muka anak anda bertukar menjadi kebiru-biruan, sawan tarik tersebut adalah serangan yang serius. Jangan lupa untuk panggil ambulans secepat mungkin.
Apa itu sawan babi atau epilepsi

Berbeza dengan sawan tarik, epilepsi merupakan penyakit kronik yang merangkumi serangan sawan berulang kali. Epilepsi boleh berlaku pada kawasan badan tertentu atau menyerang satu badan pesakit.
Kadangkala, pesakit yang diserang sawan babi akan pengsan dan kemudiannya hilang kawalan fungsi pundi kencing mereka.
Menurut Epilepsy Foundation, epilepsi berlaku kepada hampir 50 juta orang di seluruh dunia. Epilepsi juga boleh menyerang sesiapa sahaja, tidak mengira umur, jantina ataupun kaum.
Walau bagaimanapun, dalam kalangan 70% pesakit, punca yang menyebabkan mereka diserang epilepsi masih belum diketahui.
Simptom epilepsi juga mungkin berbeza mengikut individu. Ada orang yang akan termenung selama beberapa saat sebelum serangan sawan bermula.
Ada juga yang akan hilang kawalan dan mula mengalami pergerakan kaki dan tangan yang tersentak-sentak.
Selain itu, mereka yang mempunyai epilepsi juga mungkin akan alami kecederaan lain seperti lebam atau keretakan tulang akibat serangan sawan.
Faktor yang meningkatkan risiko epilepsi

Ada beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu lebih mudah diserang sawan akibat epilepsi:
- Umur. Epilepsi selalunya banyak berlaku kepada kanak-kanak dan orang dewasa yang lebih berusia. Walau bagaimanapun, kondisi ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengira umur.
- Sejarah keluarga. Mereka yang mempunyai sejarah keluarga mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap epilepsi.
- Kecederaan kepala. Kecederaan kepala bertanggungjawab terhadap banyak kes epilepsi. Sebagai langkah berjaga-jaga, jangan lupa untuk memakai helmet untuk melindungi kepala anda.
- Strok. Serangan strok dan penyakit vaskular yang lain boleh menyebabkan kecederaan pada otak yang akan mencetuskan epilepsi.
- Jangkitan pada bahagian otak. Mereka yang mengalami jangkitan seperti meningitis lebih berisiko untuk diserang sawan.
- Sawan ketika kanak-kanak. Demam bersuhu tinggi kadangkala boleh menjadi punca sawan. Walau bagaimanapun, kanak-kanak yang mengalami serangan sawan berkali-kali mungkin akan menghidap epilepsi.
Kesimpulan
Mereka yang menghidap epilepsi berisiko untuk mengalami dua kondisi yang boleh membawa maut iaitu sawan tonik klonik dan juga kematian mengejut akibat sawan.
Walau bagaimanapun, ramai pesakit yang menghidap epilepsi dapat hidup dengan normal jika melakukan rawatan yang bersesuaian.
Kebanyakan ibu bapa risau jika anak mereka berpotensi untuk menghidap epilepsi setelah diserang sawan tarik. Namun, ibu bapa perlu tahu bahawa risikonya amat rendah.
Hanya 1 dalam 50 kanak-kanak sahaja yang pernah diserang sawan tarik akan didiagnosis dengan epilepsi pada masa akan datang.