backup og meta

Kesan Pada Tekak Jika Alami Difteria, Ini 8 Simptom Yang Boleh Bawa Maut!

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 17/01/2023

    Kesan Pada Tekak Jika Alami Difteria, Ini 8 Simptom Yang Boleh Bawa Maut!

    Pada awal tahun 2020, Malaysia telah digemparkan dengan berita di mana seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia disyaki kesan penyakit difteria.

    Beberapa hari selepas itu, muncul lima lagi orang kanak-kanak yang turut disyaki positif penyakit yang sama dan telahpun ditahan di wad isolasi pediatrik.

    Persoalannya, apa itu difteria dan apa kesannya terhadap kesihatan? Jom ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!

    Apa itu difteria?

    Untuk pengetahuan anda, difteria adalah sejenis jangkitan akut yang akan menjejaskan sistem pernafasan manusia.

    Ia mula tersebar di negara Rusia, Ukraine, Mongolia dan Ecuador pada abad ke 90-an serta telah memasuki negara kita, baru-baru ini.

    Kebiasaannya, ia akan menjangkiti golongan kanak-kanak namun boleh juga berlaku kepada orang dewasa terutamanya mereka yang tidak mendapat imunisasi.

    Difteria disebabkan oleh jangkitan bakteria bernama Corynebacterium diphtheriae dan boleh tersebar dari individu ke individu lain melalui titisan cecair atau kontak rapat.

    Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

    Sekiranya dijangkiti, penderita akan mengalami simptom-simptom seperti berikut:

    • Keradangan pada tekak
    • Kesukaran untuk bernafas
    • Kesakitan ketika menelan makanan
    • Pembentukan selaput lembut berwarna seakan kelabu atau hitam di sekitar kawasan tekak
    • Leher menjadi bengkak dan menyebabkan berlakunya kondisi edema
    • Suara menjadi serak atau garau
    • Hidung berair atau tersumbat
    • Demam selesema

    Selain jangkitan bakteria ini, apa pencetus ia berlaku?

    Apa punca difteria?

    Seperti yang telah kami nyatakan di atas tadi, penyakit ini adalah disebabkan oleh bakteria bernama Corynebacterium diphtheriae.

    Bakteria ini akan menyerang manusia dengan lebih teruk sekiranya ia sendiri dijangkiti dengan virus Corynebacteriophage.

    Untuk pengetahuan anda, virus inilah yang akan mengakibatkan bakteria tersebut mengeluarkan toksin difteria yang berbahaya kepada manusia.

    Ia akan menyerang manusia dengan cara berpindah dari individu ke individu lain melalui titisan udara ataupun kontak rapat di antara manusia.

    Selain itu, ia juga boleh membiak dan merebak pada barangan di rumah dan akan berpindah kepada manusia apabila berlaku sentuhan padanya.

    Apabila telah dijangkiti, bahagian tubuh badan mana yang akan terjejas teruk?

    tekak

    Komplikasi jangkitan penyakit ini pada tekak

    Mungkin ramai yang sudah tahu bahawa tekak adalah bahagian tubuh badan yang akan terjejas teruk kesan penyakit difteria ini.

    Ya, jangkitan difteria akan menyerang komponen tekak iaitu tonsil, farinks, larinks dan juga hidung lantas menyebabkan simptom yang kami telah nyatakan di atas tadi.

    Akibat simptom-simptom terbabit, berikut adalah antara komplikasi yang boleh terjadi:

    • Masalah pernafasan – Lapisan membran yang menghalang saluran pernafasan boleh menyebabkan pernafasan terganggu
    • Kecederaan pada jantung – Toksin yang dihasilkan berpotensi menjejaskan jantung sama ada sekadar radang biasa atau sehingga menyebabkan kecederaan dan kegagalan jantung
    • Kerosakan pada saraf – Antara saraf yang kerap terjejas adalah saraf tekak, tangan dan kaki (menyebabkan lumpuh) atau otot pernafasan (tidak boleh bernafas tanpa alat bantuan)

    Apa yang paling membimbangkan adalah ia boleh membawa maut kepada penderita terutamanya jika mereka tidak mendapatkan imunisasi.

    Bagaimana cara melawan penyakit ini?

    Ekoran kecanggihan teknologi perubatan pada masa kini, kesan penyakit difteria ini mampu dilawan dengan pengambilan ubatan.

    Ubatan yang diperkatakan tersebut adalah antitoksin dan antibiotik yang kedua-duanya bertujuan meneutralkan toksin serta membunuh bakteria Clostridium diphtheriae.

    Jika berlaku sesak nafas atau lumpuh tubuh badan, rawatan sokongan harus diberikan dan anda perlu berkonsultasi dengan doktor pakar tentangnya.

    Namun apa yang paling penting di sini adalah pengambilan vaksin difteria!

    Vaksin adalah kunci utama untuk mencegahnya!

    vaksin flu

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan individu terutamanya golongan ibu bapa supaya tidak terpengaruh dengan gerakan antivaksin dan memberikan anak mereka imunisasi difteria.

    Suntikan imunisasi yang telah ditetapkan oleh KKM perlu dijalankan dengan giat bagi memastikan beberapa jenis penyakit khususnya difteria ini dapat dielakkan.

    Berita baiknya, penularan difteria di Malaysia sebenarnya masih berada di peringkat awal dan perlu dicegah dengan segera agar ia tidak menjadi semakin teruk.

    Bagi menyelesaikannya, ibu bapa perlulah memberi kerjasama dan mempunyai kefahaman yang sewajarnya mengenai pemberian suntikan vaksin imunisasi kepada anak mereka.

    Jadi, kami menyeru agar anda semua tidak tergolong dalam kalangan mereka yang berfahaman antivaksin demi kesihatan masyarakat sejagat!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 17/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan