Pasti ramai yang sudah melakukan persiapan raya pada tahun ini. Manakan tidak, Aidilfitri kali ini mungkin lebih meriah kerana kita sudah boleh beraya seperti biasa. Jadi, tidak hairanlah jika ramai yang sudah bersiap dan melakukan ulang kaji mengenai adab melayan tetamu setelah hampir 2 tahun rumah ‘kosong’ tanpa pengunjung.
Walaupun ramai yang gembira, jangan sesekali alpa kerana COVID-19 masih lagi di luar sana. Mungkin ramai yang terlupa, wabak ini masih lagi meragut nyawa puluhan orang setiap hari.
Jadi, apa yang kita boleh lakukan untuk beraya dengan selamat? Di bawah, kami sediakan beberapa tip penting untuk diamalkan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti. Kami juga sertakan beberapa adab layan tetamu di hari lebaran.
Raya, raya juga. Tetapi, keselamatan diri jangan sesekali diabaikan!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.
Sambut Aidilfitri dengan selamat
Setelah dua tahun tidak berpeluang beraya bersama ahli keluarga, tahun ini sambutan Aidilfitri sudah pasti akan menjadi lebih meriah daripada biasa.
Namun, jangan lupa, kita masih lagi berisiko untuk dijangkiti COVID-19. Oleh sebab itu, Hari Raya Aidilfitri mungkin akan disambut dengan sedikit berbeza di samping masih lagi menjaga adab melayan tetamu.
Malah, adab layan tetamu di hari lebaran juga mungkin berbeza kerana kita amat digalakkan untuk melakukan penjarakan sosial.
Ada beberapa langkah yang perlu diambil supaya kita tidak menjadi ‘penyebar senyap’ pada hari raya nanti. Pada masa yang sama, adab melayan tetamu di hari lebaran juga jangan dilupakan.
Siapa tahu, ibu bapa kita, anak buah, sepupu dan orang lain yang datang bertandang ke rumah mungkin tergolong dalam kumpulan yang berisiko.
Mungkin kita akan terselamat jika dijangkiti COVID-19, namun sanggupkah kita melihat orang lain menderita akibat kecuaian kita?
Jadi, pastikan anda lakukan langkah-langkah berikut sebelum, semasa dan selepas beraya.
Baca juga:
- Risau Kes COVID-19 Meningkat? Ini 6 Tip Berkesan Lindungi Keluarga Sepanjang Sambutan Hari Raya
- Gara-Gara Nak Cantik Di Hari Raya, Anda Pakai Korset? Ini Kesan BAHAYANYA Yang Anda Tak Sedar!
Persiapan sebelum beraya
1. Beli baju raya secara atas talian
Berhajat shopping last minute sebelum raya? Cara yang terbaik untuk mengurangkan penyebaran COVID-19 adalah mengelakkan diri daripada mengunjungi tempat yang sesak.
Jadi, cuba elakkan pusat membeli-belah atau tempat-tempat yang ramai orang. Belilah secara atas talian untuk pastikan diri selamat daripada COVID-19.
Lagipun, pada zaman sekarang, semuanya boleh didapati secara online! Bukan itu sahaja, kuih raya yang viral juga boleh ditempah online. Mudah kan!
2. Lakukan ujian kendiri COVID-19 sebelum balik
Sebelum balik kampung, lakukan ujian kendiri terlebih dahulu. Pastikan diri sendiri serta ahli keluarga benar-benar bebas daripada COVID-19.
Selain itu, pakai pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal jika perlu berhenti seketika di kawasan rehat dan rawat.
3. Pastikan vaksinasi COVID-19 lengkap
Pastikan ahli keluarga telah mendapat vaksinasi lengkap. Sama jugalah dengan ibu bapa kita di kampung. Ambil vaksin penggalak sebagai persediaan untuk menyambut raya.
Pengambilan vaksin boleh mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Pada masa yang sama, ia juga boleh mengurangkan risiko penyebaran virus, simptom COVID-19 yang serius serta kematian.
Persiapan semasa raya
1. Lindungi diri daripada COVID-19 semasa melakukan solat Aidilfitri
Pada tahun ini, kita sudah dapat menunaikan solat sunat Aidilfitri seperti biasa. Namun, kita perlulah lebih bersedia dalam berdepan dengan fasa endemik.
Sebagai panduan, jangan lupa bawa sejadah sendiri ketika ke masjid. Pakai pelitup muka dan jaga jarak sosial. Lebih baik jika anda boleh menunaikan solat di rumah bersama ahli keluarga.
2. Berayalah secara sederhana di samping menjaga adab melayan tetamu
Walaupun sudah 2 tahun kita tidak menyambut raya, itu bukanlah bermaksud kita boleh ‘all out’ tahun ini.
Di samping menjaga adab melayan tetamu, kita juga perlu lebih berhati-hati terutamanya jika ahli keluarga kita merupakan warga emas.
Jangan lupa tentang adab melayan tetamu di hari lebaran. Walaupun adab bersalam-salaman merupakan sesuatu yang dituntut pada hari raya, namun lupakanlah seketika amalan ini. Kurangkan sentuhan untuk mengelakkan penyebaran virus COVID-19.
Selain itu, pakai pelitup muka sepanjang masa. Jika anda sukar untuk mencuci tangan dengan kerap, bawa hand sanitiser kecil di dalam beg.
Kalau boleh, jangan berlama-lama sangat di satu-satu tempat. Jika pengunjung rumah tersebut terlalu ramai, cepat-cepatlah beransur pulang. Jaga penjarakan sosial dan elakkan bersesak-sesak dengan orang lain.
Sebuah Aidilfitri untuk diingati
Walaupun kita merayakan lebaran dalam fasa endemik, hari raya kali ini masih boleh menjadi satu perayaan yang bermakna dan diingati.
Malah, semua tradisi yang kita lakukan saban tahun boleh diteruskan seperti biasa dengan syarat kita mengambil langkah berjaga-jaga dalam mengekang penyebaran COVID-19.
Pada tahun ini, marilah kita meraikan lebaran dalam penuh kesederhanaan. Jangan lupa untuk menjaga adab melayan tetamu. Selain itu, pakai baju yang terbaik lengkap dengan wangi-wangian untuk menyambut hari kemenangan ini.
Hari Raya Aidilfitri kali ini juga merupakan masa yang terbaik untuk mengeratkan kembali sillaturrahim antara ahli keluarga yang terputus setelah 2 tahun tidak bersua muka. Oleh sebab itu, jadikan ia sebuah hari lebaran yang diingati serta selamat untuk semua.