backup og meta

Mantapkan Imun Badan Dengan Vitamin C, Tapi Betul Ke Vitamin D Boleh Turunkan Risiko COVID-19?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 08/09/2022

    Mantapkan Imun Badan Dengan Vitamin C, Tapi Betul Ke Vitamin D Boleh Turunkan Risiko COVID-19?

    Ramai yang sudah tahu mengenai kelebihan vitamin D terhadap badan manusia. Vitamin yang turut dikenali sebagai ‘vitamin matahari’ ini amat penting untuk memastikan tulang kita sihat dan kuat. Tetapi, tahukah anda pengambilan vitamin D juga boleh mengurangkan risiko COVID-19?

    Tanpa vitamin D, badan tidak dapat menyerap kalsium iaitu komponen utama di dalam tulang kita.

    Bukan itu sahaja, vitamin D juga diperlukan untuk menggerakkan pelbagai lagi fungsi sel dalam badan. Dalam masa yang sama, sifat antiradang dan antioksidannya juga amat penting untuk menyokong sistem imunisasi badan.

    Oleh sebab itu, tidak hairanlah jika vitamin D dikatakan boleh menurunkan risiko jangkitan COVID-19.

    Kajian yang dijalankan oleh University of Chicago Medicine ini mendapati individu yang mempunyai kadar vitamin D yang mencukupi kurang berisiko untuk dijangkiti COVID-19.

    Kebanyakan vitamin D didapati melalui cahaya matahari. Namun, ia juga boleh diperoleh melalui makanan seperti susu, jus oren dan juga bijirin sarapan pagi.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Cegah COVID-19 antara kelebihan vitamin D?

    kelebihan vitamin d

    Menurut Dr. David Meltzer, pengarang utama kajian ini, vitamin D amat penting dalam membantu fungsi sistem imun badan. Malah, sebelum ini juga suplemen vitamin D sudah terbukti dapat mengurangkan risiko jangkitan saluran pernafasan.

    Kajian yang dimuatkan di dalam Journal of the National Medical Association ini melibatkan hampir 489 orang pesakit yang pernah merekodkan bacaan vitamin D di hospital mereka setahun sebelum wabak COVID-19 bermula.

    Dapatan mereka mendedahkan pesakit yang kurang vitamin D (<20ng/ml) mempunyai risiko 2 kali ganda untuk dijangkiti COVID-19 berbanding pesakit yang mempunyai vitamin D pada paras yang mencukupi.

    Di Amerika Syarikat, kekurangan vitamin D bukanlah sesuatu yang luar biasa terutamanya dalam kalangan orang Amerika Latin dan Amerika Afrika. Kumpulan ini juga didapati lebih terkesan dengan jangkitan COVID-19.

    Bukan itu sahaja, kekurangan vitamin D juga lebih lazim dalam kalangan mereka yang berusia, menghidap obesiti dan mempunyai tekanan darah tinggi. Faktor ini juga meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 yang teruk.

    Malah, faktor cuaca juga turut memainkan peranan dalam kekurangan vitamin D di Amerika Syarikat.

    Berbeza dengan Malaysia, ada kawasan di Amerika Syarikat yang tidak mendapat bekalan cahaya matahari sepanjang tahun, lebih-lebih lagi pada musim sejuk. Jadi, mereka lebih berisiko untuk mengalami kekurangan vitamin D.

    Baca juga:

    Kelebihan vitamin D untuk penyakit lain

    Selain dapat menurunkan risiko COVID-19, ada banyak lagi kelebihan vitamin D untuk penghidap kondisi tertentu. Sebagai contoh:

    1. Kanser. Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan pengambilan vitamin D dapat mengurangkan risiko kanser tertentu. Walau bagaimanapun, keputusan kajian agak bercanggah.
    2. Sklerosis berbilang. Kajian menunjukkan pengambilan suplemen vitamin D dalam jangka panjang dapat mengurangkan risiko sklerosis berbilang.
    3. Osteoporosis. Individu yang mendapat vitamin D dan kalsium yang mencukupi di dalam diet mereka dapat mengurangkan risiko osteoporosis dan keretakan tulang.
    4. Penyakit tulang turun-temurun. Suplemen vitamin D dapat membantu merawat penyakit tulang turun-temurun yang berlaku disebabkan ketidakupayaan untuk menyerap atau memproses vitamin D.
    5. Psoriasis. Antara kelebihan vitamin D adalah keupayaannya untuk merawat psoriasis. Ubat topikal yang mengandungi vitamin D dapat merawat psoriasis dalam sesetengah pesakit.
    6. Penyakit riket. Penyakit ini terjadi dalam kalangan kanak-kanak yang mengalami kekurangan vitamin D. Mengambil suplemen vitamin D dapat membantu pesakit merawat masalah ini.

    Walaupun suplemen vitamin D selamat untuk diambil, pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan hiperkalsemia, satu kondisi yang menyebabkan penggumpalan kalsium dalam darah.

    Jika dibiarkan tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan sakit tulang dan juga pembentukan batu karang.

    Berapa banyak vitamin D yang perlu diambil setiap hari?

    kelebihan vitamin d

    Walaupun vitamin D boleh diserap oleh kulit kita, jumlah penyerapan mungkin berbeza mengikut masa, musim, latitud dan juga pigmentasi kulit. Malah, penghasilan vitamin D juga berbeza mengikut tempat tinggal dan gaya hidup kita.

    Bukan itu sahaja, pemakaian pelindung matahari, walaupun penting, ia juga boleh mengurangkan kadar penyerapan vitamin D daripada cahaya matahari.

    Untuk mereka yang mempunyai kekurangan vitamin D, pengambilan suplemen mungkin dapat membantu.

    Sebagai panduan, jumlah vitamin D yang perlu diambil oleh kanak-kanak ialah 400 IU, manakala untuk orang dewasa dan warga emas pula ialah 600 IU dan 800 IU.

    Tidak dinafikan, warga emas merupakan golongan yang memerlukan vitamin D yang paling banyak. Mereka bukan sahaja kurang terdedah kepada cahaya matahari, individu yang berusia juga mempunyai masalah untuk menyerap vitamin D. 

    Jika anda risau akan kekurangan vitamin D, ujian darah dapat membantu doktor untuk memeriksa tahap vitamin ini di dalam darah anda. Oleh sebab itu, berjumpalah doktor untuk konsultasi lanjut. 

    Artikel berkaitan:

    Kesimpulan

    kelebihan vitamin d

    Walaupun terdapat kajian yang menunjukkan peningkatan risiko COVID-19 dalam kalangan mereka yang kurang vitamin D, namun masih banyak kajian lain yang perlu dijalankan untuk menyokong kenyataan tersebut. 

    Sebagai langkah berjaga-jaga, tidak ada masalah jika anda ingin mengambil suplemen vitamin D. Tetapi, sebelum beli, dapatkan konsultasi daripada doktor atau ahli farmasi yang bertugas. 

    Tidak dinafikan, kelebihan vitamin D terhadap kesihatan tidak dapat disangkal lagi. Tetapi, kalau terlebih, buruk padahnya! 

    #HelloHealthGroup, #HelloDoktor, #HelloHealthCoronaVirus

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 08/09/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan