backup og meta

Positif COVID-19 Tapi Perlu Kuarantin Di Rumah? Ikut 5 Petua Ini, Legakan Simptom!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 04/12/2023

    Positif COVID-19 Tapi Perlu Kuarantin Di Rumah? Ikut 5 Petua Ini, Legakan Simptom!

    Jika anda perlu menjalani proses kuarantin di rumah, apakah yang perlu anda makan selama tempoh kuarantin tersebut?

    Tahukah anda, jenis dan gaya permakanan tertentu sebenarnya boleh membantu anda untuk kekal sihat dan melawan jangkitan COVID-19 ketika anda menjalani kuarantin.

    Bagi anda yang sedang atau akan menjalani proses kuarantin kendiri, sila baca panduan ini sekarang.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang coronavirus di Malaysia, sila dapatkannya di sini.

    Garis panduan terbaharu berkenaan proses kuarantin di rumah

    Pada bulan Januari 2022, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengeluarkan garis panduan terkini berkenaan proses kuarantin kendiri di rumah bagi individu positif jangkitan COVID-19.

    Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bagi individu positif COVID-19 yang sudah lengkap vaksinasi dan tidak bergejala, mereka hanya perlu menjalani kuarantin selama tujuh hari sahaja.

    Manakala bagi mereka yang positif jangkitan COVID-19 tetapi tidak lengkap vaksinasi atau mempunyai gejala, mereka perlu menjalani kurantin kendiri selama 10 hari.

    Penilaian kesihatan akan dilakukan pada hari terakhir kuarantin sebelum diberikan pelepasan oleh KKM.

    kuarantin di rumah

    Bagi kontak rapat pula, mereka perlu menjalani tempoh kuarantin selama tujuh hari dan perlu menjalani ujian saringan pada hari kelima.

    Namun, jika kontak rapat tersebut tidak lengkap status vaksinasinya, mereka perlu menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari dan perlu menjalani ujian saringan pada hari kelapan.

    Bagi kontak rapat yang sudah menerima dos penggalak atau booster, mereka hanya perlu menjalani proses kuarantin kendiri selama lima hari. 

    Apa yang perlu dimakan sewaktu menjalani kuarantin di rumah?

    kuarantin di rumah

    Sekiranya anda diarahkan atau perlu menjalani tempoh kuarantin, anda semestinya perlu mengambil berat mengenai pemakanan setiap hari.

    Ini kerana, pemakanan yang sihat dan tepat boleh membantu anda untuk melawan jangkitan COVID-19 atau mengurangkan gejala yang dialami.

    Jadi, apakah kaedah pemakanan yang perlu anda amalkan?

    #1. Banyakkan minum air

    Anda perlu memastikan tubuh anda mempunyai kandungan air yang mencukupi setiap hari.

    Anda digalakkan untuk minum air kosong atau air mineral berbanding air manis lain kerana ia kurang kalori.

    Namun, jika anda kurang gemar dengan air kosong, anda boleh menambahkan perahan jus lemon atau limau bagi memberikan sedikit rasa pada air tersebut.

    Cuba kurangkan air berkafein seperti kopi, teh dan air berkarbonat kerana air minuman seperti ini boleh menyebabkan tubuh anda lebih cepat kehilangan air atau dehidrasi.

    #2. Makan buah dan sayuran yang tahan lebih lama

    Buah-buahan dan sayuran yang segar amat disarankan untuk dimakan setiap hari.

    Namun, memandangkan anda sedang menjalani tempoh kuarantin kendiri, anda mungkin tidak boleh keluar rumah bagi membeli buah dan juga sayuran setiap hari.

    Oleh itu, amat penting untuk anda mendapatkan jenis buah dan sayuran segar yang boleh bertahan lebih lama.

    Antara jenis buah-buahan yang tahan lama ialah seperti buah oren, epal, dan juga pisang.

    Untuk membuatkannya tahan lebih lama, anda boleh menyimpannya di dalam peti sejuk atau dipotong kecil sebelum di masukkan ke bahagian peti sejuk beku.

    Untuk sayur-sayuran pula, anda digalakkan untuk mendapatkan sayuran jenis akar seperti lobak merah, lobak putih, keledek, ubi kentang dan lain-lain lagi.

    Selain itu, kubis dan brokoli juga menjadi antara pilihan sayuran yang tahan lebih lama. 

    #3. Ambil makanan yang kaya dengan vitamin C

    Salah satu gejala atau simptom teruk akibat jangkitan COVID-19 ialah keradangan paru-paru.

    Keradangan paru-paru boleh menyebabkan penghidapnya mengalami sesak nafas.

    Untuk mengurangkan gejala seperti ini ketika anda menjalani tempoh kuarantin, anda disarankan untuk mengambil makanan yang kaya dengan vitamin C.

    Ini kerana vitamin C boleh membantu mengurangkan keradangan ini disebabkan sifat antioksidannya.

    Antara jenis makanan yang kaya dengan vitamin C ialah seperti buah oren, strawberi dan sayur brokoli.

    #4. Jangan lupa makanan yang kaya vitamin D

    kuarantin di rumah

    Selain daripada vitamin C, individu yang menjalani kuarantin di rumah juga perlu mengambil makanan yang kaya dengan vitamin D.

    Ini kerana, vitamin D boleh membantu mengekalkan jumlah kalsium dan fosforus dalam darah anda.

    Berdasarkan kajian klinikal, pengambilan vitamin D yang mencukupi boleh membantu mengurangkan risiko anda untuk mengalami gejala teruk jangkitan saluran pernafasan.

    Anda boleh mendapatkan sumber vitamin D daripada jenis makanan seperti ikan, ayam, kuning telur dan juga susu. 

    #5. Dapatkan juga sumber nutrisi zink

    Tahukah anda, ubat selesema atau ubat sakit tekak biasanya mengandungi kandungan zink di dalamnya.

    Ini kerana, zink boleh membantu melegakan simptom atau gejala seperti hidung tersumbat, hidung berair, sakit tekak dan juga batuk.

    Memandangkan gejala ini juga boleh berlaku apabila seseorang itu dijangkiti virus COVID-19, maka pengambilan makanan atau suplemen zink boleh membantu anda mengurangkan gejala ringan ini.

    Antara jenis makanan yang kaya dengan zink ialah seperti daging, kerang-kerangan, kacang kuda, kacang dal, susu, bijirin penuh dan juga coklat gelap. 

    Kekal sihat walaupun jalani tempoh kuarantin kendiri

    Walaupun anda hanya berada di rumah, tidak bermakna anda tidak boleh menjalani kehidupan yang sihat secara berterusan.

    Amalkan pemakanan yang sihat berdasarkan panduan yang telah dinyatakan di atas sewaktu anda menjalani kuarantin di rumah.

    Selain itu, kekal aktif dengan melakukan aktiviti fizikal atau bersenam setiap hari.

    Amalan seperti ini sedikit sebanyak boleh membantu anda untuk melawan jangkitan dan mengurangkan gejala COVID-19. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 04/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan