backup og meta

Jangan Guna Hand Sanitizer Untuk Cuci Tangan Sebelum Makan! Ini Sebabnya

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 10/02/2021

    Jangan Guna Hand Sanitizer Untuk Cuci Tangan Sebelum Makan! Ini Sebabnya

    Hampir semua orang pasti pernah atau akan menggunakan hand sanitizer terutamanya ketika di era pandemik COVID-19 kini.

    Ini kerana cecair pencuci tangan ini merupakan antara senjata utama untuk memerangi wabak pandemik yang sedang melanda dunia.

    Sesuai dengan namanya, ia sudah tentu akan digunakan pada tangan untuk membasmi kuman, bakteria atau virus.

    Namun pernahkah anda terfikir adakah selamat untuk makan dengan tangan selepas menggunakan ia? Jom ikuti artikel ini untuk tahu jawapannya!

    Apa itu hand sanitizer?

    Buat anda yang mungkin belum tahu, hand sanitizer adalah sejenis cecair yang mengandungi alkohol bagi membasmi mikroorganisma.

    Mikroorganisma yang dimaksudkan di sini adalah kuman, bakteria atau virus menjadikannya sangat sesuai melawan jangkitan.

    Kini, individu sering sahaja menggunakannya kerana ia adalah satu kaedah yang cepat dan mudah dalam memastikan tangan sentiasa ‘suci’.

    Bukan itu sahaja, ia juga boleh dibawa ke mana-mana di dalam kocek serta boleh dibeli di mana-mana farmasi, kedai runcit atau pasar raya.

    Persoalannya, adakah ia begitu berkesan? Ya, tahap keberkesanannya dalam membasmi mikroorganisma pada tangan adalah sekitar 80% ke 90%!

    keburukan hand sanitizer

    Namun ketahuilah bahawa di sebalik kegunaannya ini tersembunyi juga beberapa bahaya hand sanitizer yang lain.

    Apa bahaya hand sanitizer?

    Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, cecair pencuci tangan mengandungi alkohol bagi membasmi mikroorganisma.

    Namun alkohol yang digunakan ini mungkin sahaja menjadi duri dalam daging dan mengakibatkan bahaya terhadap kesihatan.

    Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Food And Drug Administration (FDA), didapati bahawa ada produk pembasmi kuman tangan ini yang mengandungi kandungan alkohol berbahaya.

    FDA menyatakan lagi bahawa kandungan tersebut adalah metanol iaitu satu bentuk alkohol berbahaya yang berisiko meracun tubuh badan manusia.

    Meskipun tidak semua produk mengandungi alkohol berbahaya dan menggunakan isoprosil sebagai alternatif, namun ia masih tidak selamat jika termakan atau terminum.

    Berikut merupakan kesan keracunan alkohol daripada hand sanitizer yang mungkin boleh terjadi:

    • Mual-mual
    • Muntah-muntah
    • Sakit kepala
    • Kekejangan tubuh badan
    • Kabur penglihatan
    • Punca kebutaan
    • Rosak sistem saraf

    Apa yang lebih menakutkan, ia juga mungkin boleh mengakibatkan kematian sekiranya tertelan dalam kandungan yang sangat banyak.

    sanitizer

    Kes keracunan dan kematian akibat hand sanitizer!

    FDA memberitahu sekurang-kurangnya terdapat empat kes kematian di New Mexico disebabkan keracunan alkohol yang terdapat di dalam cecair pencuci tangan.

    Mengikut Pusat Racun Negara pula, sebanyak 4 kes tempatan telah dilaporkan berkait dengan keracunan hand sanitizer ini.

    Kes tersebut melibatkan kanak-kanak berusia 5 bulan sehingga 2 tahun yang tertelan cecair ini yang tidak disimpan dengan selamat.

    Selain itu, terdapat kes lain yang dilaporkan di Australia pada tahun 2014, di mana kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun dibawa ke jabatan kecemasan hospital dengan tahap kesedaran yang berubah-ubah.

    Terdapat kajian lain yang diterbitkan pada tahun 2011 mendedahkan satu kes keracunan etanol akut pada gadis yang berusia 6 tahun berikutan terminum pembersih tangan berasaskan alkohol di sekolah.

    Dalam erti kata yang lebih mudah, ia mungkin selamat digunakan pada kulit namun bahaya jika termakan atau terminum!

    keburukan hand sanitizer

    Selamatkah jika guna sebelum makan?

    Ada individu yang percaya bahawa ia merupakan alternatif untuk mencuci tangan sekiranya tiada sumber air berdekatan.

    Ya, kepercayaan ini mungkin tepat terutamanya di era pandemik yang memerlukan kita menjaga kebersihan dengan baik.

    Disebabkan itu, wujud segelintir individu yang menggunakan cecair ini untuk membersihkan tangan setiap kali sebelum makan.

    Ia satu kesilapan yang sangat besar!

    Untuk pengetahuan anda, perbuatan ini adalah satu kesilapan yang sangat besar!

    Pertama sekali, ini tentulah disebabkan oleh bahaya hand sanitizer yang meningkatkan risiko anda tertelannya secara oral lantas meracuni tubuh badan.

    Bukan sahaja disebabkan oleh kandungan alkohol itu sahaja malahan juga kandungan bahan lain di dalamnya seperti pembersih dan pewangi yang berbahaya.

    Jadi, adakah anda tidak boleh langsung menggunakan cecair pencuci tangan setiap kali sebelum tiba waktu makan?

    Tidak, anda masih lagi boleh menggunakannya sebelum bersantapan namun ia perlu dicuci semula dengan air dan sabun!

    Konklusinya, bahaya hand sanitizer ini memang benar wujud terutamanya jika menggunakan produk keluaran yang tidak diperakui.

    Oleh itu, senantiasa meneliti label setiap kali sebelum membeli dan menggunakan produk selain mengelak daripada tertelan secara oral.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 10/02/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan