backup og meta

Bukan COVID-19 Saja Yang Perlu Dirisaukan Jika Ingin Melancong, Awas Dengan Penyakit Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/04/2021

    Bukan COVID-19 Saja Yang Perlu Dirisaukan Jika Ingin Melancong, Awas Dengan Penyakit Ini!

    Mengembara ke luar negara merupakan satu pengalaman yang amat menyeronokkan. Namun, sebelum berangkat, sudahkah anda mengambil langkah yang sepatutnya untuk mengelakkan penyakit berjangkit di tempat yang ingin dituju?

    Aktiviti melancong mempunyai risikonya yang tersendiri kepada kesihatan diri anda. Semua risiko ini perlulah diambil kira lebih-lebih lagi jika tempat tersebut jauh, terasing atau terletak dalam kawasan pedalaman.

    Anda boleh kekal sihat jika anda mengambil langkah yang betul untuk melindungi diri daripada penyakit berjangkit.

    Walaupun jangkitan yang dialami semasa melancong atau mengembara selalunya tidak serius, ada juga kes yang boleh mengancam nyawa dan membawa maut.  

    Pergerakan semasa wabak COVID-19

    penyakit berjangkit

    Anda tidak digalakkan untuk melancong ketika wabak COVID-19 melanda. Cara yang terbaik untuk memutuskan jangkitan adalah dengan duduk di rumah dan mengamalkan penjarakan fizikal.

    Apabila anda bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain, anda telah meletakkan diri anda dalam risiko untuk dijangkiti wabak COVID-19.

    Walaupun tidak bergejala, virus COVID-19 boleh disebarkan secara tidak sengaja kepada ahli keluarga, kawan-kawan dan orang lain 14 hari selepas terdedah dengan virus tersebut.

    Oleh sebab itu, pemakaian pelitup muka amat digalakkan jika anda terpaksa keluar rumah untuk tujuan kerja. Selain itu, elakkan berjumpa dengan orang yang sakit atau keluar rumah bersama mereka.

    Jika perlu merentas negeri atau negara atas urusan kerja, pastikan anda mengambil langkah yang sepatutnya untuk melindungi diri dan orang lain daripada virus COVID-19.

    Penyakit berjangkit di luar negara

    Untuk mengelakkan sebarang jangkitan, anda perlulah mengambil langkah pencegahan yang tertentu dan mungkin berbeza bergantung pada destinasi yang dituju.

    Sebelum bertolak ke mana-mana negara, rujuk laman web Centers for Disease Control and Prevention (CDC), World Health Organization (WHO) atau Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH) untuk maklumat lanjut.

    Pastikan anda:

    1. Tahu mengenai risiko penyakit berjangkit di destinasi tersebut.
    2. Mengambil vaksinasi yang bersesuaian sebelum bertolak.
    3. Berjumpa doktor untuk maklumat lanjut seperti langkah pencegahan dan sebagainya.
    4. Tahu tahap kebersihan dan sanitasi di tempat tersebut.

    Semua ini penting supaya anda tahu tentang risiko penyakit yang terdapat di sesebuah negara. 

    Kadangkala, anda mungkin perlu perbaharui suntikan vaksinasi sebelum bertolak. Malah, ada beberapa negara yang mewajibkan vaksinasi dan perlukan dokumen pengesahan sebagai bukti.

    Selain itu, orang tua dan kanak-kanak mungkin memerlukan vaksinasi yang berbeza. Oleh sebab itu, rujuk klinik ataupun hospital berdekatan untuk dapatkan maklumat lanjut.

    Keselamatan makanan dan minuman

    Anda juga boleh terdedah kepada beberapa jenis jangkitan jika telah mengambil makanan atau minuman daripada sumber yang tercemar.

    Untuk pengetahuan anda, risiko jangkitan sangat tinggi jika anda makan daging yang tidak dimasak sepenuhnya.

    Pastikan anda menjauhkan diri daripada:

    1. Makanan yang dibiarkan terdedah dalam masa yang lama (seperti makanan daripada penjaja di tepi jalan).
    2. Buah-buahan yang tidak dibasuh terlebih dahulu.
    3. Sayur-sayuran mentah.
    4. Susu atau keju yang tidak melalui proses pempasteuran.
    5. Minum air paip.

    Elakkan juga daripada menggunakan ais di dalam minuman anda kecuali anda yakin ais tersebut datang daripada sumber yang selamat.

    Penyakit berjangkit bawaan serangga

    punca jangkitan

    Serangga juga bertanggungjawab menyebarkan penyakit kepada manusia. Antara penyakit bawaan serangga yang berbahaya ialah:

    Malaria

    Malaria merupakan penyakit serius yang disebarkan melalui gigitan nyamuk. Selalunya, nyamuk yang membawa virus malaria akan mula menggigit pada waktu subuh dan senja.

    Malaria boleh menyebabkan demam bersuhu tinggi, simptom seperti demam dan anemia.

    Jika anda mengunjungi negara yang mempunyai penyakit malaria, anda mungkin perlu mengambil beberapa jenis ubat-ubatan anti malaria untuk mengelakkan penyakit tersebut.

    Selain itu, anda juga perlu lakukan sesuatu untuk elakkan gigitan serangga. Minimumkan punca jangkitan dengan memakai pakaian yang menutup kulit dan tidur di bawah kelambu atau di dalam bilik berpendingin hawa. 

    Zika

    Sama seperti malaria, virus zika juga menjangkiti manusia melalui gigitan nyamuk. Simptom zika termasuklah demam, sakit badan, ruam dan juga konjunktivitis.

    Nyamuk yang berupaya untuk menyebarkan virus Zika adalah dalam jenis yang sama dengan nyamuk yang menyebarkan virus Denggi dan Chikungunya.

    Walau bagaimanapun, Zika tidak mempunyai sebarang vaksin atau ubat. 

    Wanita yang hamil tidak digalakkan untuk melawat negara yang mempunyai virus Zika kerana ia mungkin boleh menjejaskan kandungan.

    Langkah lain untuk mengurangkan punca jangkitan

    punca jangkitan

    Pastikan anda basuh tangan dengan kerap. Jika boleh, gunakan hand sanitiser untuk elakkan jangkitan.

    Elakkan daripada berenang di kawasan sungai, jeram atau tasik yang kotor. Ini juga boleh jadi punca jangkitan yang ramai tidak ambil peduli.

    Jika anda mengalami cirit-birit ataupun demam dengan suhu yang tinggi, pastikan anda berjumpa dengan doktor dalam kadar yang segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 07/04/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan