backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

3

Tanya Doktor
Simpan

Terkejut Kencing Berbuih? Jangan Biarkan! Ada 3 Puncanya, Termasuk Penyakit Kronik!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 08/11/2023

    Terkejut Kencing Berbuih? Jangan Biarkan! Ada 3 Puncanya, Termasuk Penyakit Kronik!

    Kencing berbuih selalunya terbentuk hasil daripada aliran air kencing yang deras. Walau bagaimanapun, pelbagai keadaan perubatan juga boleh memberi kesan ini.

    Dalam artikel ini, penulis bakal mengupas dengan lebih lanjut penyebab air kencing berbuih dan pilihan rawatan untuk setiap keadaan. Teruskan pembacaan!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Urologi, anda boleh klik di sini.

    Air kencing berbuih, simptom lain yang perlu dibimbangkan

    Memang ada logiknya buih terbentuk pada air kencing terutamanya apabila kita membuang air dengan laju bukan?

    Pun begitu, kencing berbuih sebenarnya lebih cenderung menjadi tanda penyakit jika kerap terjadi atau bertambah buruk dari masa ke masa.

    Sekiranya air kencing anda berbuih, kenal pasti juga simptom-simptom lain kerana ia boleh menjadi petunjuk keadaan perubatan yang menyebabkan masalah:

    kencing berbuih

    • Bengkak di tangan, kaki, muka, dan perut (tanda pengumpulan cecair daripada buah pinggang yang rosak)
    • Keletihan
    • Kehilangan selera makan
    • Loya
    • Muntah
    • Masalah tidur
    • Perubahan jumlah air kencing yang anda hasilkan
    • Air kencing keruh
    • Air kencing berwarna lebih gelap
    • Orgasma kering atau mengeluarkan sedikit air mani (bagi lelaki)
    • Kemandulan atau mengalami kesukaran untuk menghamilkan pasangan wanita (bagi lelaki)

    Kencing berbuih, apakah puncanya?

    Beberapa keadaan perubatan turut boleh menjadi pemicu air kencing  anda berbuih, antaranya merangkumi:

    #1. Dehidrasi

    Apabila warna air kencing menjadi sangat gelap dan pekat, ia mungkin kelihatan berbuih.

    Hal ini boleh disebabkan seseorang yang tidak memperoleh cecair yang mencukupi dalam badan untuk mencairkan bahan-bahan lain di dalam air kencing.

    #2. Penyakit buah pinggang

    Salah satu fungsi penting ginjal adalah untuk menyaring protein dalam darah. Protein ini pula melakukan fungsi penting dalam tubuh, seperti menjaga keseimbangan cairan.

    Sekiranya seseorang individu mengalami kerosakan atau penyakit buah pinggang, protein berisiko untuk bocor lantas keluar daripada buah pinggang ke dalam air kencing.

    Kondisi ini dikenal sebagai proteinuria, yang membawa makna, ‘protein di dalam air kencing.’

    Lebihan protein ini mengurangkan ketegangan permukaan air kencing, menyebabkannya berbuih, yang memberikan kesan sama seakan sabun pada air.

    Untuk pengetahuan, proteinuria boleh menjadi tanda awal penyakit buah pinggang. Simptom-simptom lain mungkin termasuk:

    Jika kalian mempunyai simptom dan sejarah keluarga penyakit ginjal, tekanan darah tinggi, atau diabetes, segera temui doktor untuk menjalani ujian.

    #3. Diabetes

    Kencing manis dan penyebab gula darah tinggi juga boleh menjadi punca kencing berbuih.

    Individu dengan diabetes yang tidak terkawal akan mempunyai lebih banyak molekul glukosa darah di dalam badannya. Glukosa adalah molekul besar, seperti protein.

    Sekiranya tahap glukosa darah menjadi terlalu tinggi, buah pinggang mungkin sukar menyaring molekul dengan berkesan.

    Akibatnya, buah pinggang berisiko ‘membiarkan’ glukosa dan protein berlebihan keluar ke dalam air kencing.

    Selain kencing ada buih, penghidap diabetes tidak terkawal turut boleh mengalami simptom seperti:

    • Penglihatan kabur
    • Kekeringan mulut
    • Rasa dahaga yang berterusan
    • Kerap berulang ke tandas
    • Rasa lapar yang tidak dapat dijelaskan
    • Kegatalan kulit
    • Kepenatan yang tidak dapat dijelaskan

    Bagaimana diagnosis dilakukan?

    Seorang doktor boleh mendiagnosis penyebab kencing berbuih dengan menguji sampel air kencing untuk mengetahui tahap protein.

    Jika air kencing mempunyai tahap protein yang tinggi, doktor mungkin ingin mengesahkan sama ada kesan ini konsisten, dan mereka akan mengesyorkan ujian air kencing 24 jam.

    Ujian ini memerlukan pesakit untuk mengumpulkan kesemua air kencing yang mereka hasilkan sepanjang hari.

    Makmal kemudian mengambil air kencing dan membandingkan jumlah albumin, iaitu protein utama dalam darah, dengan jumlah kreatinin, bahan sisa lain.

    Sekiranya nisbah albumin dan kreatinin seseorang lebih tinggi daripada purata, mereka mungkin mengalami penyakit buah pinggang. Atau, mereka mungkin mengalami kecederaan pada buah pinggang yang mempengaruhi proses penyaringan.

    Di samping itu, doktor mungkin mengesyorkan ujian lain untuk menilai tahap glukosa darah atau petunjuk lain berkenaan fungsi buah pinggang.

    Mereka juga mungkin melakukan imaging, seperti imbasan MRI, untuk memastikan tiada sebarang masalah dengan struktur ginjal.

    Rawatan

    kencing berbuih

    Rawatan urin berbuih bergantung kepada penyebabnya. Jika seseorang mengalami dehidrasi, mereka harus minum lebih banyak air sehingga air kencing bertukar menjadi warna kuning pucat atau lebih cair.

    Namun, jika diabetes didapati penyebabnya, doktor bakal menetapkan ubat oral atau suntikan insulin untuk mengurangkan kadar glukosa darah.

    Bagi penyakit buah pinggang tahap awal pula, doktor akan menetapkan beberapa jenis ubat-ubatan.

    Selain ubatan, doktor juga biasanya mengesyorkan perubahan gaya hidup positif, seperti:

    • Makan diet rendah natrium yang sihat
    • Mengawal tekanan darah tinggi
    • Menguruskan tahap gula dalam darah
    • Bersenam secara berkala
    • Tidak merokok

    Manakala bagi pesakit dengan penyakit ginjal teruk atau buah pinggang yang tidak berfungsi dengan baik, mereka mungkin memerlukan dialisis, prosedur membersihkan darah daripada sisa buangan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 08/11/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan