home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Kerap Sangat Buang Air Kecil? Cuba Perhatikan Apa Yang Anda Makan!

Kerap Sangat Buang Air Kecil? Cuba Perhatikan Apa Yang Anda Makan!

Masalah pundi kencing aktif merupakan sesuatu yang merimaskan dan boleh membuatkan penghidapnya hilang keyakinan diri. Namun, kondisi ini sebenarnya boleh diatasi jika individu itu mengamalkan pengambilan makanan yang berkhasiat.

Ramai yang tidak tahu kuasa sebenar makanan atau diet yang sihat terhadap sistem urinari.

Dengan pemakanan yang betul, penghidap penyakit pundi kencing aktif bukan sahaja boleh menjadi lebih sihat, malahan simptom mereka juga boleh dikurangkan.

Namun, bagaimanakah diet mempengaruhi penyakit pundi kencing aktif? Mari ikuti kupasan kami di bawah.

Makanan yang berkhasiat, mengapakah ia penting?

Tahukah anda, air kencing kita sebenarnya merupakan bahan buangan yang ditapis daripada darah? Sudah tentulah, tugas menapis ini digalas oleh buah pinggang kita.

Setelah melalui tapisan, air kencing kita akan disimpan di dalam pundi kencing. Walau bagaimanapun, makanan yang kita makan setiap hari mungkin mengandungi bahan yang boleh menyebabkan iritasi pada kawasan pundi kencing.

Ini boleh menyebabkan pundi kencing menjadi rengsa. Sebab itulah, penghidap pundi kencing aktif tidak dapat menahan kencing dan kadangkala ‘terbabas’!

Makanan yang berkhasiat bukan sahaja boleh membantu penghidap penyakit pundi kencing aktif, ia juga dapat membantu pesakit mengawal simptom inkontinens urin yang mereka alami.

Menurut laman sesawang Urology Health, hampir 30% lelaki dan 40% wanita di Amerika Syarikat mempunyai simptom pundi kencing aktif.

Lebih teruk lagi, mereka yang menghidap penyakit ini menganggap simptom yang mereka alami merupakan sesuatu yang normal dan tidak memerlukan rawatan.

Selain rasa malu, pesakit pundi kencing aktif juga mungkin menganggap ia sebagai salah satu tanda penuaan. Oleh sebab itu, mereka mengelak daripada berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Apakah perubahan yang boleh saya lakukan?

Makanan yang berkhasiat

Sebagai penghidap penyakit pundi kencing aktif, anda perlulah lebih bijak dalam memilih makanan.

Tidak dinafikan, beberapa jenis makanan dan minuman boleh menyebabkan iritasi pada kawasan pundi kencing atau saluran urinari.

Akibatnya, pesakit akan mulai merasai simptom seperti inkontinens urin, kerap kencing dan rasa terdesak untuk membuang air.

Walau bagaimanapun, makanan yang memberi impak negatif kepada orang lain mungkin tidak akan memberikan sebarang kesan kepada anda.

Sebagai panduan, pesakit mungkin boleh menyimpan diari makanan untuk membantu mengesan makanan yang boleh menyebabkan iritasi.

Namun, pertama sekali, anda perlulah berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut. Doktor akan melakukan pemeriksaan fizikal dan diagnosis yang bersesuaian dengan kondisi anda.

Jika anda benar-benar mengalami penyakit pundi kencing aktif, doktor mungkin akan memberikan ubat-ubatan yang dapat membantu anda mengawal simptom.

Selain itu, doktor juga akan mencadangkan beberapa jenis senaman yang dapat membantu pesakit mengawal pundi kencing dengan lebih baik.

Bukan itu sahaja, sebarang perubahan dari segi diet juga dapat membantu. Ikuti tip kami di bawah supaya anda dapat memilih makanan yang berkhasiat untuk kesihatan pundi kencing anda:

1. Pantau pengambilan air

Makanan yang berkhasiat

Benar, minum air sebanyak 8 gelas sehari merupakan sesuatu yang penting. Namun, berlainan pula dengan penghidap penyakit pundi kencing aktif. Mereka mungkin perlu mengawal dan mengurangkan pengambilan air setiap hari.

Pakar mencadangkan agar pesakit mengurangkan pengambilan cecair sebanyak 25% setiap hari. Selain itu, kurangkan minum air sebelum waktu tidur.

Namun, jangan pula mengelak minum air! Pesakit masih perlu mengambil lebih daripada 1 liter air setiap hari.

2. Elakkan pengambilan air berkarbonat dan kafein

Jangan minum terlalu banyak air berkarbonat termasuklah yang mempunya label ‘diet’, ‘bebas kafein’ ataupun sparkling water.

Minuman berkarbonat dan mengandungi kafein hanya akan membuatkan simptom anda menjadi semakin teruk. Jika anda tidak mahu berlari ke tandas setiap masa, tinggalkan semua minuman ini!

3. Kurangkan pengambilan minuman beralkohol

Pengambilan alkohol mempunyai banyak kesan sampingan yang buruk terhadap kesihatan. Oleh sebab itu, mengurangkan pengambilan alkohol mungkin dapat melegakan simptom yang pesakit alami.

Walau bagaimanapun, belum ada bukti yang konsisten mengenai pengambilan alkohol dan masalah pundi kencing aktif.

4. Ambil makanan yang berkhasiat dan kaya dengan vitamin

Makanan yang berkhasiat

Makanan yang berkhasiat dan kaya dengan vitamin dapat membantu mengurangkan simptom pundi kencing aktif.

Sebagai contoh, tambahkan makanan seperti salmon, tuna, sardin, susu, yogurt dan telur di dalam diet anda setiap hari. Semua makanan di atas kaya dengan vitamin D yang amat baik untuk kesihatan urinari.

Selain itu, makanan yang mengandungi vitamin C juga mungkin dapat membantu. Namun, kajian menunjukkan terlalu banyak mengambil vitamin C boleh memburukkan simptom pundi kencing aktif.

Jangan abaikan makanan yang berkhasiat!

Tidak dinafikan, makanan yang berkhasiat amat penting untuk individu yang mengalami masalah urinari. Jika sebelum ini anda selalu mengambil minuman yang mengandungi kafein dan sebagainya, cuba berhenti secara perlahan-lahan.

Masalah pundi kencing aktif merupakan penyakit serius yang sukar untuk dirawat. Namun, jika anda lebih berhati-hati dalam memilih makanan, tidak mustahil simptomnya dapat dikurangkan pada masa hadapan.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Cleaveland Clinic. 2019. Overactive Bladder. July 11. Accessed July 16, 2021. https://my.clevelandclinic.org/health/diseases/14248–overactive-bladder-.
  2. Mayo Clinic. 2020. Are there dietary changes I can make to deal with overactive bladder? April 17. Accessed July 16, 2021. https://www.mayoclinic.org/healthy-lifestyle/nutrition-and-healthy-eating/expert-answers/diet-and-overactive-bladder/faq-20322774.
  3. Mayo Clinic. 2020. Overactive bladder. March 20. Accessed July 16, 2021. https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/overactive-bladder/symptoms-causes/syc-20355715.
  4. NAFC. n.d. THE OVERACTIVE BLADDER DIET. Accessed July 16, 2021. https://www.nafc.org/bhealth-blog/the-overactive-bladder-diet.
  5. Urology Care Foundation. n.d. What is Overactive Bladder (OAB)? Accessed July 16, 2021. https://www.urologyhealth.org/urology-a-z/o/overactive-bladder-(oab).
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Fatin Zahra Disemak pada 17/07/2021
Fakta Disemak oleh Nurul Nazrah Nazarudin