Estrogen merupakan hormon penting terutamanya buat wanita bagi mencapai fungsi fisiologi normal seperti:
- Membantu merangsang tumbesaran telur folikel di dalam ovari.
- Mengekalkan ketebalan dinding faraj dan merangsang pengeluaran cecair pelincir.
- Memperbaiki dan mengekalkan integriti membran mukus yang menyelubungi permukaan rahim.
- Mengawal aliran dan kepekatan cecair rahim.
- Membentuk tisu payudara dan membantu untuk menghentikan pengeluaran susu ibu setelah sesi penyusuan anak.
Setiap individu mempunyai paras hormon estrogen yang berbeza.
Ia boleh berubah mengikut kitaran haid yang dialami oleh wanita dan perkara ini boleh mempengaruhi mood sebelum haid atau masalah kepanasan semasa menopaus.
Oleh sebab hormon ini begitu penting buat wanita, ketidakseimbangannya boleh menyebabkan masalah seperti:
- Tidak haid atau haid tidak teratur.
- Darah haid keluar banyak atau sedikit.
- Simptom pra haid atau menopaus yang teruk.
- Perpeluhan pada waktu malam dan kepanasan.
- Masalah sukar tidur dan perubahan mood mendadak.
- Kurang nafsu seks
- Kekeringan faraj
- Kelesuan
- Keresahan dan kemurungan
- Kulit kering
Bagaimana Estrogen meningkatkan risiko barah payudara?

Majoriti barah payudara dipengaruhi oleh hormon estrogen dan ia disebut sebagai barah payudara positif-ER.
Kadangkala, sebilangan besar barah payudara yang positif-ER, akan turut positif-PR.
Positif ER bermaksud positif reseptor estrogen manakala positif-PR bermaksud positif reseptor progesteron.
Estrogen melekat pada reseptor ER-α dan merangsang sel-sel payudara untuk membahagi.
Pembahagian sel-sel yang berlaku dengan kerap dan rancak ini mempunyai kemungkinan untuk mutasi sel berlaku dalam mana-mana sel yang sedang membahagi dengan aktif ini.
Mutasi ini menyebabkan pembahagian sel-sel tersebut berlaku secara tidak terkawal dan apabila terkumpul dalam tempoh bertahun-tahun, ia cukup untuk menghasilkan ketumbuhan atau barah payudara.
Sel-sel mutasi yang telah menjadi sel barah ini membahagi hingga ia berupaya untuk membesar dan memasuki tisu serta struktur-struktur lain berdekatannya seperti tulang rusuk, otot dada dan saluran limfa.
Lazimnya, terdapat gen-gen yang akan menghalang pertumbuhan sel-sel barah ini daripada terus membahagi.
Namun sekiranya wanita tersebut mempunyai mutasi genetik yang menyebabkan sistem kawalan ini terganggu, sel-sel barah dapat terus membahagi dan terkumpul.
Apakah rawatan untuk barah payudara yang positif ER?
Mujurlah, barah payudara jenis positif ER mempunyai peluang sembuh yang lebih baik berbanding barah payudara jenis yang lain.
Antara rawatan yang digunakan untuk barah payudara jenis ini adalah penggunaan terapi hormon.
Terapi ini menggunakan ubat Tamoxifen, sejenis ubat yang bersaing dengan hormon estrogen untuk melekat pada reseptor estrogen.
Jalani saringan mamogram dan lakukan pemeriksaan payudara kendiri dari semasa ke semasa bagi memastikan pengesanan awal.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang faktor risiko, simptom dan rawatan untuk barah payudara, berjumpalah dengan doktor anda.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen