Selain itu, jus kranberi juga mempunyai sifat antibakteria yang dapat membantu mengelakkan jangkitan saluran kencing.
Kajian mendapati, sejenis bahan di dalam buah kranberi, iaitu D mannose boleh melindungi daripada kencing kotor dengan cara mengelakkan sebarang pembentukan bakteria pada permukaan saluran urinari.
Menurut Net Doctor pula, fruktosa dan juga proanthocyanidins di dalam jus kranberi boleh menghalang bakteria, terutamanya E. coli daripada melekat pada permukaan pundi kencing.
Jika anda ingin mencuba jus kranberi untuk mengelakkan jangkitan UTI yang berulang, pastikan anda mengambil jus tanpa gula. Jika tidak, fungsi dan manfaat pengambilannya sama seperti jus buah yang lain.
Tetapi, bolehkah ia merawat kencing kotor?

Walaupun pengambilan jus kranberi digalakkan bagi mereka yang menghidap UTI, namun kemampuannya untuk merawat kencing kotor masih lagi dalam kajian.
Jus kranberi bukan sahaja mahal, rasanya juga tidaklah seperti yang disangka. Malah, ramai wanita yang mengamalkan jus kranberi mengakui tidak menyukai rasanya.
Hingga ke hari ini, masih belum ada konsentrasi jus kranberi, ekstrak ataupun suplemen yang dibuat khusus untuk merawat kencing kotor.
Tambahan lagi, kepelbagaian produk kranberi yang dijual di pasaran dan di farmasi juga membuatkan ramai pengguna keliru untuk membuat pilihan.
Dr. Pamela J. Levin dari Penn Medicine juga menerangkan bahawa data yang sedia ada juga tidak cukup untuk melakukan apa-apa kesimpulan.
Walaupun begitu, masih ramai yang percaya dengan kemampuan jus kranberi untuk merawat UTI.
Menurut pakar, minum jus kranberi tidak ada salahnya. Malah, ia mungkin mempunyai manfaatnya yang tersendiri.
Kebaikan jus kranberi
Jus kranberi bukan sahaja boleh digunakan untuk mengurangkan simptom UTI, tetapi ia juga mempunyai pelbagai fungsi lain. Sebagai contoh:
1. Jus kranberi baik untuk kesihatan jantung

Buah kranberi mengandungi antioksidan yang tinggi. Ia juga kaya dengan flavanol iaitu sejenis polifenol. Walau bagaimanapun, semua kebaikan ini terletak pada kulit buah kranberi dan akan berkurang jika ia dijadikan jus.
Malah, jus kranberi juga mungkin baik buat mereka yang menghidap penyakit jantung koronari disebabkan kemampuannya untuk memperbaiki keanjalan arteri.
2. Mungkin boleh menurunkan tekanan darah
Pengambilan jus kranberi juga mungkin boleh menurunkan tekanan darah. Walau bagaimanapun, anda perlu minum sebanyak 400ml jus sehari, iaitu 150ml lebih daripada apa yang dicadangkan.
Pakar tidak menggalakkan pengambilan jus kranberi yang terlalu banyak kerana ia akan meningkatkan kadar gula dalam darah dan boleh menyebabkan cirit-birit.
Jika anda ingin menurunkan tekanan darah, cuba amalkan pengambilan jus kranberi bersama senaman dan juga diet yang sihat.
3. Dapat menurunkan kadar kolesterol dalam darah
Pengambilan jus kranberi didapati dapat meningkatkan kadar kolesterol baik dalam badan. Malah, satu kajian menunjukkan pengambilan 225 ml jus kranberi boleh meningkatkan kolesterol HDL sebanyak 10%.
Menurut pakar, kesan ini mungkin berlaku disebabkan oleh kadar antioksidan yang tinggi di dalam buah kranberi.
Walau bagaimanapun, diet yang seimbang merupakan cara yang terbaik dan efektif untuk mengurangkan kolesterol dalam darah.
Kesimpulan
Jus kranberi mungkin dapat membantu mereka yang mempunyai penyakit kencing kotor.
Walau bagaimanapun, masih banyak kajian yang perlu dilakukan untuk menentukan jumlah yang efektif dan juga kesan sampingannya kepada badan.
Tetapi, tidak ada salahnya jika anda ingin mengambil jus kranberi disebabkan manfaat yang terkandung di dalamnya.
Malah, ia mungkin dapat meningkatkan kesihatan jantung, mengawal tekanan darah dan juga menurunkan kolesterol dalam badan.
Oleh sebab itu, cara yang terbaik untuk merawat UTI adalah dengan bercakap dengan doktor anda, lebih-lebih lagi jika anda mempunyai simptom seperti sakit ketika buang air kecil yang berulang.
Doktor boleh memberikan ubat yang boleh menyembuhkan kencing kotor yang anda alami dan mengelakkan anda daripada mendapat jangkitan berulang.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen