Makanan atau minuman yang tinggi kandungan GI adalah antara jenis makanan yang semestinya perlu dielakkan oleh pesakit diabetes.
Minum jus buah-buahan boleh tingkatkan risiko penyakit diabetes?

Secara umumnya, ya. Kajian yang dijalankan pada tahun 2013 ada menyatakan bahawa, pengambilan 3 bahagian jus buah setiap minggu telah dikaitkan dengan 8% peningkatan risiko untuk mendapat diabetes.
Namun, ada beberapa jenis buah-buahan yang didapati boleh mengurangkan risiko ini.
Jika anda menggantikan jus buah dengan beberapa jenis buah-buahan yang lain, ia boleh mengurangkan risiko mendapat penyakit diabetes sebanyak 7%.
Antara jenis buah-buahan yang dinyatakan dalam hasil kajian tersebut ialah buah anggur, epal, pir, pisang dan beri biru.
Jus buah-buahan masih ada kebaikannya jika diambil dengan betul
Jus buah-buahan masih boleh memberikan beberapa manfaat terhadap tubuh anda. Ini termasuklah kandungan seperti vitamin, mineral, kalsium dan antioksidan.
Namun, kebanyakan daripada manfaat ini hanyalah sedikit jika dibandingkan dengan kandungan gula yang dimilikinya.
Jus buah masih mempunyai kandungan vitamin C, namun adalah lebih baik jika anda mendapatkan sumber bekalan vitamin C tubuh badan anda melalui pengambilan buah potong atau pemakanan sayuran berdaun hijau.
Ini kerana, sayuran hijau mempunyai kandungan gula yang amatlah sedikit yang kurang menjejaskan paras gula darah anda.
Buah potong lebih baik daripada buah untuk jus!
Pengambilan buah potong sememangnya mempunyai lebih banyak kebaikan berbanding jus buah-buahan.
Ini kerana, buah potong mempunyai kandungan serat boleh larut di dalamnya. Kehadiran serat boleh larut sememangnya membantu sistem penghadaman agar menjadi lebih lancar di samping mengawal kadar paras gula dalam darah.
Namun, bagi pesakit diabetes, anda masih perlu berhati-hati dengan pengambilan buah potong ini memandangkan buah potong turut mengandungi banyak sumber karbohidrat.
Pokok pangkalnya, makanlah secara bersederhana dan tidak berlebih-lebihan.
Ambil jenis minuman yang lebih sihat
Untuk pesakit diabetes, anda disarankan untuk mengambil jenis minuman tanpa gula atau kurang kandungan gula bagi mengawal paras gula darah anda.
Antara jenis minuman yang disarankan untuk diminum ialah air kosong, teh tanpa gula, kopi tanpa gula, jus tomato dan minuman lain yang tidak mengandungi kandungan gula tambahan.