Ada banyak cara yang doktor boleh lakukan sebagai rawatan kencing kotor. Namun sebelum itu, doktor akan melakukan diagnosis yang berkaitan bagi memastikan sama ada anda benar-benar menghidap UTI atau tidak.
Apabila anda menghidap UTI, lapisan dalam pundi kencing dan uretra akan jadi merah dan mengalami iritasi. Sekaligus menyebabkan rasa sakit dan pedih ketika membuang air kecil.
Lebih teruk lagi, simptom ini akan disertai dengan rasa terdesak untuk ke tandas. Namun, pesakit hanya mampu untuk mengeluarkan beberapa titis air kencing sahaja.
UTI merupakan sejenis penyakit yang akan membuatkan anda rasa tidak selesa. Namun, berita baiknya – ada banyak rawatan yang boleh merawat UTI. Malah, kondisi ini boleh diubati jika anda berjumpa doktor untuk melakukan rawatan yang bersesuaian.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Jangkitan Saluran kencing, sila dapatkannya di sini.
Diagnosis jangkitan saluran kencing
Sebelum kita mengetahui rawatan kencing kotor, jom fahami jenis diagnosis yang akan doktor lakukan untuk menguji sama ada anda menghidap jangkitan saluran urin atau tidak. Antaranya adalah:
1. Mengambil sampel urin
Doktor mungkin akan mengambil sampel urin anda untuk dianalisis. Menggunakan sampel tersebut, doktor akan menganalisis sel darah merah dan sel darah putih di dalam urin.
Pada masa yang sama, analisis ini akan turut mengesan kehadiran sebarang bakteria di dalam saluran kencing.
Namun, sampel urin yang diberikan kepada doktor mestilah bersih. Untuk mengelakkan kontaminasi, doktor akan mengarahkan pesakit mengelap kawasan kemaluan dengan pad antiseptik sebelum membuang air kecil.
2. Kultur urin di dalam makmal
Kadangkala, analisis yang dilakukan di makmal melibatkan kultur urin. Kultur urin merupakan satu langkah untuk mengesan bakteria manakah yang menyebabkan UTI yang dialami.
Setelah mengetahui jenis bakteria, lebih mudahlah doktor memberi preskripsi yang bersesuaian untuk melawan jangkitan tersebut. Bakteria yang berbeza memerlukan ubat-ubatan yang berlainan untuk rawatan.
3. Melakukan ujian imbasan
Anda mungkin perlu melakukan imbasan ultrasound, imbasan CT (computerized tomography) atau MRI (magnetic resonance imaging) untuk mengesan sebarang abnormaliti pada saluran urinari anda.
4. Menggunakan skop untuk melihat bahagian dalam pundi kencing
Jika anda mempunyai masalah jangkitan saluran kencing yang berulang, doktor mungkin akan melakukan prosedur yang dikenali sebagai cystoscopy.
Cystoscopy merupakan satu prosedur yang dilakukan menggunakan tiub panjang dan halus. Tiub ini dilengkapi dengan sebuah lensa (cystoscope) yang digunakan untuk melihat bahagian dalam saluran uretra dan pundi kencing.
Cystoscope ini akan dimasukkan melalui uretra hingga melepasi bahagian pundi kencing.
Baca juga:
Cara rawatan kencing kotor
Selalunya, doktor akan memberikan antibiotik sebagai rawatan kencing kotor.
Jenis ubat yang akan dibekalkan pula mungkin berbeza mengikut jenis bakteria yang menyebabkan UTI dan keadaan kesihatan anda ketika menerima rawatan.
Selalunya, simptom akan beransur pulih dalam masa beberapa hari selepas melakukan rawatan.
Walau bagaimanapun, anda mungkin digalakkan untuk meneruskan pengambilan antibiotik selama seminggu atau lebih untuk memastikan jangkitan tersebut benar-benar pulih.
Rasa sakit dan pedih ketika kencing juga akan hilang selepas anda mengambil antibiotik. Tetapi, pastikan anda menghabiskan ubat yang dibekalkan walaupun gejala yang dialami telah hilang.
Rawatan kencing kotor #Percubaan klinikal
Terdapat banyak percubaan klinikal yang dijalankan untuk menguji kaedah rawatan baharu, intervensi dan ujian untuk mengelakkan, mengesan, serta merawat kondisi ini.
Selalunya, percubaan klinikal dilakukan untuk mengesan sama ada rawatan baharu lebih efektif dan berkesan atau mempunyai kesan sampingan yang kurang berbanding rawatan yang standard.
Ada banyak sebab yang menyebabkan seseorang itu berminat menjadi sukarelawan untuk percubaan klinikal.
Kadangkala, mereka melakukan percubaan klinikal kerana tidak ada rawatan yang sesuai untuk mereka. Ada juga yang sanggup melakukan percubaan klinikal sebagai langkah untuk mencari penawar bagi penyakit yang dialami.
Rawatan UTI bersama ubat-ubatan alternatif
Ramai yang mengamalkan pengambilan jus kranberi untuk merawat UTI. Walaupun amalan ini mungkin dapat mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing, namun masih belum ada kajian yang dapat buktikan keberkesanannya.
Jika anda rasa jus ini dapat membantu melegakan UTI, tidak salah untuk anda mengambilnya dengan kerap. Malah, jus buah kranberi merupakan sesuatu yang berkhasiat dan selamat untuk diminum.
Namun, ada juga yang mengalami sakit perut dan cirit-birit selepas minum jus kranberi.
Perubahan gaya hidup dan petua untuk rawatan kencing kotor
Pesakit yang kerap mengalami UTI mungkin perlu melakukan beberapa perubahan dari segi gaya hidup untuk mengurangkan risiko jangkitan yang sama pada masa hadapan.
- Amalkan minum banyak air untuk mencairkan urin dan mengeluarkan bakteria daripada saluran kencing.
- Jangan ambil minuman yang boleh menyebabkan iritasi. Elakkan mengambil kopi, minuman beralkohol atau minuman berkabonat sehingga jangkitan sembuh.
- Gunakan pad pemanas. Penggunaan pad ini dapat mengurangkan rasa sakit dan ketidakselesaan yang dialami ketika diserang UTI.
Jangan lengahkan rawatan kencing kotor
Jangan sesekali pandang remeh dengan penyakit jangkitan saluran kencing ini. Jika anda kerap mengalami UTI (lebih 3 kali setahun), anda perlu berjumpa doktor. UTI yang berulang mungkin menandakan kewujudan penyakit lebih serius.
Doktor juga mungkin akan melakukan lebih banyak ujian untuk mengenal pasti punca UTI sebenar. Cara merawat kencing kotor juga mungkin berbeza mengikut individu berdasarkan punca jangkitan yang dialami.
Pengambilan antibiotik dos rendah dalam satu jangka masa panjang mungkin dapat membantu pesakit UTI berulang untuk mengurangkan simptom mereka.