Seperti mana yang kebanyakan kita semua mungkin sudah tahu, setiap individu mempunyai bakteria dalam perut sama ada yang baik dan jahat.
Bakteria ini mempunyai dua fungsi utama iaitu membawa jangkitan serta melawan jangkitan pada masa yang sama.
Antara kondisi yang boleh terjadi akibat bakteria ini adalah alahan terhadap makanan dan minuman yang diambil.
Namun tahukah anda bahawa ada kajian yang kata wujud juga bakteria dalam perut yang boleh membantu melindungi diri daripada terkena alahan? Jom ikuti artikel ini dengan lebih lanjut!
Baca lebih lanjut tentang Alahan di sini.
Alahan yang boleh membawa maut!
Pada tahun 2018, ada satu kes di mana seorang kanak-kanak berusia 11 tahun dari New Jersey iaitu Cameron Jean-Pierre mengalami reaksi alahan yang boleh membawa maut.
Kejadian ini bermula apabila Jean-Pierre dan bapanya singgah di rumah neneknya untuk sambutan tahun baru.
Di sinilah kanak-kanak malang ini telah terdedah dengan asap dari dapur hasil ikan yang dimasak oleh neneknya.
Untuk pengetahuan anda, mangsa adalah seorang penderita alahan terhadap bau makanan laut terutamanya ikan.
Disebabkan itu, Jean-Pierre telah terkena kejutan anafilaktik yang mengakibatkan saluran pernafasan tersekat lantas jatuh pengsan.
Selepas itu, mangsa telah dikejarkan ke hospital namun nasib mungkin tidak menyebelahinya kerana mendiang meninggal di situ.
Setelah didiagnosis, didapati bahawa mangsa telah menemui maut akibat protein yang tersebar di udara akibat asap masakan dari dapur itu.