home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Ini 5 Punca Oliguria (Kurang Buang Air Kecil), Salah Satunya Tidak Cukup Air Dalam Badan

Ini 5 Punca Oliguria (Kurang Buang Air Kecil), Salah Satunya Tidak Cukup Air Dalam Badan

Mungkin ramai individu yang mengalami dan membicarakan tentang masalah kerap kencing, namun bagaimana pula jika kurang kencing?

Untuk pengetahuan anda, kejadian kurangnya membuang air kecil ini tentu sahaja didalangi oleh masalah kurang air dalam tubuh badan!

Jika anda ingin tahu apa punca sebenar ia terjadi, jom sama-sama kita semua ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi.

Berapa kerap perlu kencing dalam sehari?

Sebelum pergi dengan lebih lanjut, persoalan paling utama yang sangat penting ini haruslah dijawab terlebih dahulu.

Sebenarnya, manusia yang mempunyai sistem perkumuhan sihat akan membuang air kecil sekurang-kurangnya 6 ke 7 kali sehari.

Namun jika kalian ke tandas untuk kencing sekitar 4 ke 10 kali dalam masa 24 jam, angka ini juga masih boleh dianggap sebagai normal.

Ketahuilah bahawa angka ini hanyalah sekadar petanda aras yang ideal dan ia mungkin berbeza bergantung kepada individu itu sendiri.

Kekerapan membuang air kecil akan dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuklah:

  • Usia
  • Saiz pundi kencing
  • Pengambilan air
  • Penggunaan ubat
  • Kondisi kesihatan

Secara puratanya, individu yang minum kira-kira 64 auns air sehari akan kencing sekurang-kurangnya 6 ke 7 kali dalam masa 24 jam.

Jika ia terlebih atau terkurang, ini bermakna pengambilan air ke dalam tubuh badan juga tidak ideal dan ia perlu diubah segera.

Apa punca sebenar individu kurang kencing?

Sekiranya kalian sangat kurang ke tandas untuk membuang air kecil, anda mungkin mengalami sebuah kondisi bernama Oliguria.

Oliguria ini akan terjadi buat mereka yang kencing kurang daripada 400 mililiter iaitu sekitar 13.5 auns dalam masa 24 jam.

Mungkin kita boleh jangka bahawa keadaan kesihatan ini terjadi berpunca daripada kurangnya minum air dalam masa sehari.

Selain itu, terdapat beberapa lagi punca lain anda kurang kencing seperti berikut:

#1. Dehidrasi

Antara punca yang paling utama menyebabkannya adalah dehidrasi ataupun kurangnya cecair di dalam tubuh badan.

Secara tipikalnya, dehidrasi akan terjadi apabila anda mengalami kondisi cirit-birit, muntah-muntah atau penyakit lain.

Ini kerana ia akan menyebabkan banyak cecair keluar daripada tubuh badan dan apabila ia berlaku, organ buah pinggang juga mungkin akan terjejas.

#2. Infeksi atau jangkitan

Meskipun tidak ramai yang mengalaminya, infeksi akibat kuman, bakteria dan virus pada sistem perkumuhan juga mungkin boleh jadi dalangnya.

Selain membuat kalian kurang kencing, infeksi ini juga boleh menyebabkan kejutan pada tubuh badan yang mengurangkan aliran darah pada organ.

Jika ia berlaku, maka anda perlu segera mendapatkan rawatan kecemasan.

susah buang air kecil

#3. Penyumbatan salur kencing

Penyumbatan ini akan menyebabkan air kencing tidak mampu meninggalkan organ buah pinggang dan boleh terjadi pada sebelah sahaja atau kedua-duanya.

Tentu sahaja penyumbatan ini akan membuat kalian kurang membuang air kencing selain menyebabkan simptom-simptom di bawah ini:

  • Loya
  • Muntah
  • Sakit badan
  • Bengkak badan
  • Demam

#4. Pengambilan ubatan tertentu

Ada ubatan tertentu yang mungkin menjadi dalang kepada masalah ini termasuklah:

  • Ubat darah tinggi (ACE inhibitors)
  • Antiradang bukan steroid (NSAIDs)
  • Antibiotik jenis gentamicin

Sekiranya ubatan yang anda ambil menyebabkan kurangnya pengeluaran air kencing, segera rujuk semula dengan doktor pakar.

Ini bertujuan menghentikan atau mengurangkan dos pengambilan ubatan untuk mengelakkan masalah menjadi lebih buruk.

#5. Kegagalan buah pinggang

Akhir sekali, kurang ke tandas untuk kencing mungkin disebabkan oleh kegagalan organ buah pinggang untuk berfungsi dengan baik.

Ia berisiko tinggi buat mereka yang pernah mengalami masalah buah pinggang dan perlu dirawat dengan kadar segera.

Sebagai kaedah rawatan, anda mungkin memerlukan dialisis ataupun pemindahan organ jika ia sudah rosak dengan teruk.

Apa yang perlu kalian buat jika kurang kencing?

Sesuatu perlu dilakukan dengan kadar segera jika anda tidak mahu masalah kurang kencing ini menjadi lebih teruk lagi.

Antara komplikasi lain yang sangat ditakuti adalah Anuria di mana sangat sedikit atau tiada langsung air kencing dapat dihasilkan atau dikeluarkan.

Apa yang kalian perlu lakukan adalah berjumpa doktor untuk mengetahui punca sebenar masalah ini berlaku terlebih dahulu.

Dalam pada itu, mungkin anda boleh lebihkan sedikit pengambilan air ke tahap yang ideal (8 gelas air kosong) sehari.

Jangan hanya berdiam diri dan menyangkakan ia adalah kondisi yang normal ya? Terus berjumpa doktor untuk diagnosis!

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. https://patient.info/doctor/oliguria
  2. https://www.kidney-international.org/article/S0085-2538(15)55116-8/pdf
  3. https://www.heighpubs.org/jcn/jcn-aid1050.php
  4. https://pediatriccare.solutions.aap.org/chapter.aspx?sectionid=135886231&bookid=1626
  5. https://www.openanesthesia.org/oliguria-dx/
Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Ahmad Farid Disemak pada 17/08/2021
Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan