backup og meta

Ada Beza Ke Tanda Batu Karang Pada Lelaki Dan Wanita? Jom Semak Simptom Di Sini!

Ada Beza Ke Tanda Batu Karang Pada Lelaki Dan Wanita? Jom Semak Simptom Di Sini!

Batu karang merupakan sejenis penyakit yang boleh menyebabkan kesakitan yang melampau. Walau bagaimanapun, penyakit batu karang boleh dikesan melalui tanda-tanda tertentu. Namun, adakah tanda tanda batu karang pada lelaki dan juga perempuan sama?

Bagi menjawab persoalan ini, teruskan pembacaan anda di bawah.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Urologi, anda boleh klik di sini.

Tanda tanda batu karang pada lelaki dan perempuan

Sebenarnya, batu karang yang bersaiz sangat kecil jarang menimbulkan apa-apa simptom. Malah, ia boleh keluar sendiri daripada badan tanpa sebarang rasa sakit ketika anda membuang air kecil.

Kenapa terjadinya batu karang?

Punca batu karang boleh terjadi disebabkan beberapa perkara. Antaranya ialah tidak minum air dengan mencukupi, tidak bersenam, obesiti ataupun makan terlalu banyak gula dan garam.

Batu karang akan menjadi menyakitkan apabila ia menyebabkan iritasi ataupun halangan pada saluran urinari. Dalam sekelip mata, pesakit boleh alami rasa amat sakit.

Untuk makluman, baik lelaki atau perempuan, tanda sakit batu karang bagi kedua-dua jantina ini adalah sama. Namun, apakah simptom utama untuk mengenal pasti tanda tanda batu karang pada lelaki dan perempuan?

Di bawah, kami senaraikan 8 tanda sakit batu karang yang anda perlu perhatikan.

Tanda tanda batu karang pada lelaki dan perempuan

tanda tanda batu karang
Simptom penyakit batu karang.

Ramai orang yang menghidap batu karang tidak mengetahui apa-apa mengenai penyakit mereka. Selalunya, penyakit batu karang tidak akan menunjukkan sebarang tanda hinggalah berlakunya komplikasi.

Walau bagaimanapun, ada juga pesakit yang mengalami beberapa tanda awal yang menandakan mereka menghidap sakit batu karang. Sebagai contoh:

1. Sakit pada kawasan sisi, perut atau belakang badan

Sakit disebabkan batu karang turut dikenali dengan nama kolik renal.

Kesakitan yang disebabkan oleh kolik renal selalu disamakan dengan rasa sakit ketika melahirkan anak atau seperti tikaman pisau.

Selalunya, rasa sakit ini akan bermula pada kawasan sisi badan.

Ia berlaku disebabkan pergerakan batu karang pada saluran ureter yang sempit. Apabila berlakunya halangan, pesakit akan mula rasa sakit secara tiba-tiba.

Pesakit yang mengalami renal kolik perlulah ke hospital dengan kadar yang segera untuk mendapatkan rawatan.

Tanda tanda batu karang pada lelaki #2. Sakit ketika buang air kecil

Apabila batu karang tersebut menyebabkan halangan, anda akan mula rasa sakit ketika membuang air kecil.

Kadangkala, penyakit batu karang juga sukar untuk dibezakan dengan jangkitan saluran kencing disebabkan simptomnya yang hampir sama.

3. Perlu membuang air dengan segera

tanda tanda batu karang pada lelaki
Rasa tidak tahan untuk membuang air kecil antara petanda sakit batu karang.

Satu lagi tanda penyakit batu karang adalah rasa terdesak untuk membuang air kecil. Bukan itu sahaja, penghidap sakit batu karang juga perlu ke tandas berkali-kali dalam masa sehari untuk membuang air.

4. Darah dalam urin disebabkan batu karang

Hematuria atau darah di dalam air kencing merupakan simptom lazim penyakit batu karang. Tanda sakit batu karang ini mungkin mengelirukan bagi perempuan disebabkan menstruasi.

Namun, tidak kiralah apa jua jantina anda, darah dalam urin merupakan tanda penyakit yang serius. Darah ini boleh berwarna:

  • merah
  • merah jambu
  • coklat

Kadangkala, darah ini terlalu kecil untuk dilihat dengan mata kasar. Kondisi ini dikenali dengan nama hematuria mikroskopik.

5. Air kencing berbau busuk dan keruh

Air kencing yang normal tidak mempunyai sebarang bau yang busuk.

Walau bagaimanapun, jika air kencing anda mempunyai bau yang teruk dan berwarna keruh, itu mungkin tanda batu karang atau jangkitan pada saluran urinari.

6. Kencing sedikit disebabkan batu karang

Batu karang yang tersangkut pada saluran ureter boleh menghalang air kencing daripada keluar secara normal. Oleh sebab itu, penghidap sakit batu karang hanya dapat membuang air dalam amaun yang sedikit setiap kali ke tandas.

Untuk pengetahuan anda, tidak boleh kencing langsung merupakan satu kecemasan. Jika anda menghidap masalah ini, pastikan anda bergerak ke hospital dengan kadar segera.

7. Sering muntah dan loya

Lazim untuk mereka yang menghidap batu karang mempunyai masalah loya dan muntah-muntah. Malah, simptom ini juga mungkin merupakan salah satu cara badan memberikan respons terhadap kesakitan yang anda alami.

8. Penyakit batu karang membuatkan anda demam

punca demam
Demam, antara gejala menghidap penyakit batu karang.

Kadangkala, jangkitan pada kawasan buah pinggang boleh menyebabkan anda demam. Demam boleh menjadi satu komplikasi yang serius jika ia berlaku bersama dengan masalah batu karang.

Oleh sebab itu, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika mengalami simptom sakit perut dan juga demam.

Jangan abaikan tanda tanda batu karang pada lelaki & perempuan

Tidak kiralah apa pun jantina anda, tanda tanda batu karang pada lelaki dan perempuan adalah sama.

Walaupun penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, ia boleh dielakkan jika anda tahu langkah untuk mencegahnya.

Sebagai contoh, minum air yang mencukupi setiap hari untuk mengelakkan masalah batu karang.

Lebih baik jika anda boleh mengelakkan minuman berkarbonat dan yang mempunyai kandungan gula yang tinggi.


Selain itu, elakkan juga mengambil makanan yang masin. Semua ini boleh meningkatkan risiko anda untuk menghidap penyakit batu karang.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Kidney Stones: Treatment and Prevention. https://www.aafp.org/afp/2019/0415/p490.html. Accessed April 21, 2021.
  2. Kidney stones. https://www.betterhealth.vic.gov.au/health/conditionsandtreatments/kidney-stones. Accessed April 21, 2021.
  3. How common are kidney stones? https://www.kidney.org/atoz/content/kidneystones. Accessed April 21, 2021.
  4. Prevention – Kidney Stones. https://www.nhs.uk/conditions/kidney-stones/prevention/. Accessed April 21, 2021.
  5. What Are Kidney Stones. https://www.urologyhealth.org/urology-a-z/k/kidney-stones. Accessed April 21, 2021.

Versi Terbaru

09/07/2024

Ditulis oleh Annes Nadia

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Nurul Nazrah Nazarudin


Artikel Berkaitan

10 Punca & Faktor Risiko Penyakit Batu Karang, Sila Alert Dengan Penyebab Ini

Bukan Setakat Rasa Sakit Semasa Kencing, Ini 8 Tanda Anda Ada Batu Karang!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Annes Nadia · Disemak pada 09/07/2024

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan