backup og meta

Jangan Amalkan Minum Air Sebelum Tidur! Jika Tak Kena Gayanya, Boleh Ganggu Tidur

Jangan Amalkan Minum Air Sebelum Tidur! Jika Tak Kena Gayanya, Boleh Ganggu Tidur

Air, seperti yang kita semua tahu, adalah sumber penghidratan yang penting buat tubuh manusia. Tetapi, apakah manfaat atau keburukan minum air sebelum tidur?

Tubuh manusia memerlukan air untuk melakukan fungsi badan yang normal. Oleh itu, adalah sangat penting untuk kita minum air setiap hari.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perdebatan sama ada air harus diminum sebelum tidur ataupun tidak.

Untuk mengupas hal tersebut dengan lebih mendalam, artikel ini akan membincangkan sama ada minum air sebelum tidur bermanfaat atau sebaliknya. Jom baca!

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan tidur, anda boleh klik di sini.

Minum air sebelum tidur, ini pro dan kontra

Sekiranya seseorang berasa dahaga atau berisiko mengalami dehidrasi pada waktu malam, maka mereka harus meminum sedikit air.

Walau bagaimanapun, tabiat minum air sebelum tidur mampu meningkatkan risiko seseorang mendapat nokturia.

Apa itu nokturia?

Nokturia adalah peningkatan rasa hendak membuang air kecil pada waktu malam.

Semasa tidur, tubuh manusia menghasilkan lebih banyak hormon yang melambatkan fungsi buah pinggang dan mengurangkan pengeluaran air kencing.

Gabungan ini mengurangkan keperluan untuk membuang air kecil pada waktu malam dan membantu anda tidur dengan lena tanpa gangguan.

Ini kerana, bangun berulang kali sewaktu tidur boleh mengganggu dan mengurangkan kualiti tidur.

Risiko nokturia

minum air sebelum tidur

Apabila tidur seseorang terganggu oleh nokturia, ia berisiko memberi kesan yang besar terhadap kualiti hidup mereka.

Daya ingatan, tumpuan, dan mood anda boleh dipengaruhi secara negatif disebabkan faktor kekurangan tidur.

Bukan itu sahaja, risiko pelbagai masalah lain juga boleh meningkat, termasuk kegemukan, penyakit jantung, diabetes, malah depresi!

Lebih membimbangkan, nokturia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengenal usia tetapi lebih cenderung untuk terjadi kepada golongan tua.

Berikut adalah beberapa faktor yang dapat meningkatkan risiko nokturia:

  • Benign prostatic hypertrophy
  • Pundi kencing yang terlalu aktif
  • Diabetes
  • Jangkitan pundi kencing
  • Penyakit jantung
  • Sembelit
  • Pengambilan ubat-ubatan tertentu

[embed-health-tool-bmi]

Bagaimanakah cara mencegahnya?

Individu yang kerap mengalami masalah nokturia harus elak daripada minum air terutamanya lewat malam.

Jika risau berasa dahaga, cuba pastikan gelas terakhir diminum beberapa jam awal daripada masa tidur.

Pun begitu, minum air secukupnya pada siang hari masih penting!

Namun, menjelang waktu tidur, anda dinasihatkan untuk mengurangkan atau mengelakkan minuman berikut:

  • Alkohol
  • Teh
  • Kopi
  • Koko atau coklat panas
  • Cola atau soda

Ini kerana minuman-minuman tersebut mampu meningkatkan rasa hendak membuang air kecil, terutamanya jika diminum sebelum waktu tidur.

Jika anda mengalami masalah nokturia yang berterusan, lakukan konsultasi bersama doktor.

2 faedah minum air sebelum tidur

Walaupun minum air sebelum tidur berupaya meningkatkan risiko nokturia, namun pengambilan air dalam kuantiti yang tidak banyak dan dijarakkan masa sekurang-kurangnya 2 jam sebelum waktu tidur mempunyai faedah tersendiri.

Manfaatnya adalah:

#1 Membaik pulih mood

Menurut satu kajian 2014, kekurangan air boleh memberi kesan negatif terhadap mood, yang akan mempengaruhi keseluruhan kitaran tidur anda.

Menurut kajian itu, mereka yang kekurangan cecair mengalami perubahan mood yang negatif berbanding ketika mereka minum air dalam kuantiti yang lebih banyak seperti kebiasaan.

Manakala, bagi golongan yang sering minum dalam jumlah yang sedikit juga mengalami peningkatan mood positif apabila menambah jumlah pengambilan air.

Dapatan ini secara langsung membuktikan jumlah air yang diminum mampu memberi kesan terhadap emosi kita.

#2 Pembersih semula jadi

Minum air terutamanya yang bersuhu panas atau suam dikatakan menjadi salah satu cara semula jadi untuk membantu detoks badan dan meningkatkan pencernaan.

Untuk pengetahuan, air suam boleh meningkatkan peredaran darah, membantu badan menyingkirkan najis, dan meningkatkan pengeluaran peluh.

Berpeluh mungkin akan menyebabkan anda kehilangan cecair badan, tetapi ia juga akan membuang garam atau toksin berlebihan dan membersihkan sel-sel kulit.

Bukan itu sahaja, minum air suam sebelum tidur akan membuatkan anda kekal terhidrat sepanjang malam di samping membantu menghilangkan rasa sakit atau kekejangan perut.

Berapa banyak air yang perlu diminum?

minum air sebelum tidur

Minum air sebelum tidur mempunyai beberapa manfaat, tetapi tabiat minum terlalu dekat dengan waktu tidur boleh mengganggu kitaran tidur dan berisiko memberi kesan negatif kepada kesihatan jantung.

Anda mesti minum air secukupnya sepanjang hari untuk mengelakkan dehidrasi di samping mengelakkan pengambilan air berlebihan pada waktu malam.

Mungkin ada antara pembaca yang keliru, banyak mana air yang perlu kita minum sebenarnya? Sebelum itu, kenal dahulu tanda-tanda dehidrasi.

Tanda-tanda dehidrasi merangkumi:

  • Berasa dahaga
  • Mulut, bibir dan mata terasa kering
  • Air kencing yang sedikit
  • Membuang air kecil kurang dari 4 kali sehari
  • Air kencing yang berbau kuat dan berwarna gelap

Perkara berikut pula meningkatkan risiko dehidrasi berlaku:

  • Persekitaran yang panas atau terlalu lama terdedah dengan sinar matahari
  • Aktiviti fizikal yang berat atau apa sahaja yang menyebabkan berpeluh secara berlebihan
  • Diabetes
  • Cirit-birit atau muntah
  • Minum alkohol terlalu banyak
  • Demam

Minum 8 gelas air sehari mungkin bermanfaat, tetapi jumlahnya boleh berbeza daripada satu individu ke individu lain.

Anda mungkin perlu minum lebih banyak air bergantung pada tahap aktiviti dilakukan, cuaca, atau jika anda sedang hamil.

Namun, pakar menyarankan agar wanita mengambil sekitar 2.7 liter air setiap hari dan lelaki sekitar 3.7 liter.

Jumlah ini termasuklah air yang diperoleh daripada makan, yang dianggarkan membentuk 19% hingga 20% daripada pengambilan harian.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Beccuti, G., & Pannain, S. (2011). Sleep and obesity. Current opinion in clinical nutrition and metabolic care, 14(4), 402–412. https://doi.org/10.1097/MCO.0b013e3283479109. Accessed on December 17, 2020.

Brain Basics: Understanding Sleep. https://www.ninds.nih.gov/Disorders/Patient-Caregiver-Education/Understanding-Sleep. Accessed on December 17, 2020.

Dehydration. https://www.nhs.uk/conditions/dehydration/. Accessed on December 17, 2020.

Nocturia. https://www.bladderandbowel.org/bladder/bladder-conditions-and-symptoms/nocturia/. Accessed on December 17, 2020.

Water and Healthier Drinks. https://www.cdc.gov/healthyweight/healthy_eating/water-and-healthier-drinks.html?CDC_AA_refVal=https%3A%2F%2Fwww.cdc.gov%2Fhealthywater%2Fdrinking%2Fnutrition%2Findex.html.Accessed on December 17, 2020.

Versi Terbaru

01/03/2022

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Bahaya! 6 Keadaan Kulit Ini Mungkin Petunjuk Anda Menghidap Penyakit Jantung

AWAS Jika Anda Kerap Kencing & Air Kencing Bau KUAT, Ia Mungkin Tanda Bahaya Ini!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 01/03/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan