Tidak boleh tidur malam? Sedang mencari ubat tidur kuat yang boleh anda dapatkan di farmasi berdekatan? Sebelum anda beli apa-apa jenis ubat tidur paling kuat di farmasi, ketahuilah bahawa ia tidak boleh dijual sembarangan tanpa preskripsi daripada doktor.
Ubat tidur cecair paling kuat boleh membawa mudarat sekiranya digunakan tanpa pemantauan doktor. Selain itu, ia juga hanya boleh diambil dalam satu jangka masa yang pendek.
Lama-kelamaan, kesan ubat akan berkurangan kerana badan akan mula menyesuaikan diri dengan ubat tersebut.
Sekiranya anda ingin mengambil ubat tidur, ada beberapa perkara yang anda perlu tahu.
Ikuti penerangan kami dalam artikel di bawah untuk ketahui lebih lanjut mengenai ubat tidur cecair paling kuat dan bagaimana ia mempengaruhi kesihatan anda.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Tidur Berkualiti, sila dapatkannya di sini.
Apakah maksud ubat tidur kuat?
Seperti namanya, ubat ini membantu anda tidur. Individu yang mempunyai masalah tidur seperti insomnia boleh mengambil ubat ini untuk membantu mereka tidur dengan lebih mudah.
Bukan itu sahaja, ia juga dapat membantu anda tidur kembali sekiranya terjaga pada waktu malam.
Ada banyak jenis pil tidur yang ada di pasaran. Semuanya berfungsi dengan cara yang berbeza.
Secara purata, 8/10 orang mengalami kesan sampingan selepas mengambil ubat tidur.
Mereka rasa pening kepala, tidak dapat berfikir dengan jelas, sering loya dan mempunyai masalah untuk menyeimbangkan diri.
Semua masalah ini boleh memberi impak terhadap pelajaran, kerja dan juga aktiviti harian lain.
Sebelum mengambil apa-apa jenis pil tidur, pastikan anda pertimbangkan baik buruknya terlebih dahulu.
Pil tidur paling berkesan sekiranya diambil untuk jangka masa pendek. Sebagai contoh, anda boleh ambil pil tidur untuk mendapatkan tidur lebih nyenyak ketika melancong.
Selain itu, ia juga dapat membantu sekiranya anda mempunyai masalah tidur disebabkan peristiwa genting dalam hidup seperti kematian ahli keluarga, penceraian dan sebagainya.
Dapatan kajian:
- Pil tidur didapati tidak dapat membantu anda mendapatkan tidur yang berkualiti pada waktu malam.
- Kebanyakannya akan tidur dalam masa 8-20 minit lebih awal. Jadi, anda hanya boleh tidur 35 minit lebih lama daripada biasa!
Apakah ubat tidur paling kuat di farmasi?
Ubat tidur tidak boleh dibeli tanpa preskripsi.
Namun, ada beberapa jenis pil tidur di farmasi yang anda boleh dapatkan.
Sebagai contoh, ubat yang mengandungi antihistamin mungkin dapat membuatkan anda rasa mengantuk dan tidur lebih lena.
Ada juga yang mengambil pil melatonin untuk membantu tidur.
Melatonin merupakan sejenis hormon yang dirembeskan badan untuk memudahkan kita melelapkan mata pada waktu malam.
Kini, pil melatonin, juga dikenali sebagai melatonin gummies boleh dibeli di mana-mana sahaja, termasuklah secara atas talian.
Pengambilan melatonin mungkin dapat membantu sesetengah orang tidur dengan lebih nyenyak.
Walau bagaimanapun, pakar masih belum pasti apakah kesan pengambilan melatonin dalam satu tempoh masa yang panjang.
Sekiranya anda ingin mengambil pil tidur di farmasi, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu, terutamanya jika anda sedang mengambil ubat-ubatan tertentu.
Bagaimana pula dengan ubat tidur kuat yang diberi secara preskripsi?
Ubat tidur yang diberikan secara preskripsi selalunya lebih kuat daripada apa yang anda boleh beli di farmasi. Antara contoh ubat tidur kuat ialah:
- Ubat antidepresi
- Ubat benzodiazepines
Ubat tidur kuat boleh mendatangkan beberapa kesan sampingan. Antaranya:
- Sembelit atau cirit-birit.
- Sakit kepala.
- Mulut kering.
- Lemah otot.
- Masalah pencernaan.
Langkah berjaga-jaga
Pengambilan ubat tidur mungkin dapat membantu sekiranya anda sukar tidur malam.
Di bawah, kami senaraikan beberapa perkara yang anda perlu tahu sebelum mengambil ubat tidur.
- Baca penerangan pada pek pembungkus. Pastikan anda faham cara pengambilan serta kesan sampingan ubat tersebut. Tanya pada ahli farmasi atau doktor yang bertugas sekiranya anda tidak pasti.
- Jangan ambil ubat pada waktu petang. Makan ubat betul-betul sebelum tidur.
- Elakkan ambil ubat sekiranya anda tahu anda tidak akan cukup tidur. Pastikan anda boleh mendapatkan 7-8 jam tidur sebelum makan ubat.
- Jaga-jaga dengan kesan sampingan ubat tidur kuat. Catat semua simptom yang anda alami dan bincang dengan doktor. Jangan tukar ubat tanpa konsultasi doktor.
- Jangan ambil lebih daripada dos yang sepatutnya. Jika dos asal tidak dapat membantu anda tidur, jangan sesekali ambil lebih banyak dos daripada biasa tanpa nasihat doktor.
- Berhenti dengan selamat. Sekiranya masa tidur anda sudah kembali teratur, berhenti ambil ubat tidur secara selamat. Selalunya, anda perlu berhenti perlahan-lahan dan bukannya secara drastik.
[embed-health-tool-bmi]