Kaitan antara GERD dan anxiety

Menurut sebuah kajian yang dimuatkan dalam The Cureus Journal of Medical Science, depresi dan juga kegelisahan (anxiety) mungkin dapat meningkatkan risiko GERD.
Pada tahun 2018, pengkaji di Korea Selatan telah melakukan penilaian terhadap 4 kumpulan besar – 1 kumpulan kawalan manakala 3 lagi menghidap simptom GERD tertentu.
Sebenarnya, ada kaitan antara GERD dan anxiety. Mereka mendapati penghidap GERD selalunya lebih gelisah, tertekan dan mungkin menghidap depresi.
Malah, ada banyak lagi kajian lain yang membuktikan simptom GERD mempunyai kesan negatif terhadap kualiti hidup seseorang.
Tambah lagi, penulis kajian yang dimuatkan dalam Journal of Neurogastroenterology and Motility ada menggariskan:
- Kegelisahan boleh mengurangkan tekanan pada kawasan sfingter esofagus, sejenis otot yang memastikan perut tertutup dan mengelakkan asid dari perut naik semula ke kawasan esofagus
- Stres boleh menyebabkan kawasan otot tersebut menjadi ‘tertekan’ dan semakin lemah. Lama-kelamaan, tekanan dalam organ ini akan meningkat dan ia mula menolak semula asid keluar dari perut
- Kegelisahan yang serius boleh meningkatkan penghasilan asid dalam perut
Walau bagaimanapun, masih belum ada lagi sebarang bukti yang mengaitkan kegelisahan dengan simptom lain seperti sakit perut atau pedih ulu hati.
Apa yang pasti, GERD dan anxiety merupakan satu kitaran – pedih ulu hati atau heartburn boleh menyebabkan kesakitan. Rasa sakit pula akan menyebabkan stres. Stres pula menyebabkan simptom GERD menjadi semakin teruk!
Baca juga:
Cara untuk merawat

Pedih ulu hati selalunya boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan yang dijual di farmasi seperti antasid, lansoprazole dan omeprazole.
Walau bagaimanapun, ubat hanya mampu mengurangkan simptom fizikal.
Sekiranya anda menghidap kecelaruan kegelisahan, anda masih perlu mendapatkan rawatan pakar untuk pastikan simptom tersebut tidak akan berulang pada masa hadapan.
Selain itu, untuk mengurangkan simptom GERD dan anxiety, anda juga boleh:
- Lakukan perubahan gaya hidup. Kenal pasti apa yang menyebabkan stres yang dialami. Adakah disebabkan kerja atau hubungan? Setelah anda kenal pasti puncanya, cuba lakukan sesuatu untuk menyingkirkan atau mengurangkan stres tersebut.
- Tukar diet. Elakkan pengambilan makanan yang boleh menyebabkan pedih ulu hati, contohnya makanan yang pedas, buah-buahan sitrus dan coklat.
- Lakukan senaman ringan. Senaman boleh membuatkan anda rasa lebih bersemangat dan kurang tertekan.
Komen
Kongsi komen anda
Ayuh jadi yang pertama untuk memberi komen!
Sertai Kami atau Log Masuk untuk menghantar komen