- Kelesuan atau masalah kurang tidur
- Tabiat tidur yang tidak terurus
- Mengalami keresahan atau kemurungan
- Tidur di persekitaran yang baharu
- Kesan sampingan ubat seperti ubat perangsang, ubat antihistamin dan ubat penenang
- Sejarah keluarga dengan penyakit somnambulisme
Selain daripada punca yang tersenarai di atas, tidur berjalan juga boleh disebabkan oleh:
- Apnea tidur
- Mimpi ngeri
- Migrain
- Sindrom kaki resah
- Trauma pada bahagian kepala
Diagnosis somnambulisme (tidur berjalan)
Walaupun diagnosis somnambulisme boleh dibuat secara klinikal, maklumat daripada ibu bapa atau penjaga boleh membantu dalam diagnosis somnambulisme. Jika tiada punca masalah kesihatan yang dapat didiagnosis, penyakit tersebut tidak memerlukan sebarang rawatan.
Namun, jika pemeriksaan kesihatan menunjukkan terdapatnya penyakit yang berkemungkinan menyumbang kepada somnambulisme, rawatan kepada keadaan tersebut perlu dijalankan. Ujian tidur boleh dijalankan di makmal tidur bagi mengenal pasti jika terdapat permasalahan terhadap fungsi otak anak anda seperti sawan yang boleh menyerupai tidur berjalan.
Beberapa elektrod akan dipasang pada tubuh anak anda bagi memantau kadar degupan nadi, gelombang otak, kadar pernafasan, pergerakan mata, pergerakan kaki dan paras oksigen di dalam darah. Kamera juga akan digunakan bagi merekodkan pergerakan anak anda untuk tujuan perbincangan dan tindakan susulan.
Jika masalah somnambulisme tidak menunjukkan punca yang nyata dan ia memberikan kesan negatif terhadap kualiti hidup individu tersebut, teknik kejut secara berkala boleh digunakan. Ia melibatkan pemerhatian ibu bapa berkenaan dengan masa spesifik terjadinya fenomena tersebut.
Pada malam berikutnya, anak akan dikejutkan 15 minit sebelum waktu anggaran terjadinya masalah tersebut. Teknik ini bukan sahaja dapat mengatur semula kitaran tidur anak anda, malah ia sedikit sebanyak boleh membantu simptom tidur berjalan anak anda.
Bergantung kepada keputusan penilaian klinikal anak anda, rawatan, jika perlu, akan diberikan berdasarkan kepada diagnosis yang mempunyai potensi untuk menyebabkan masalah tidur berjalan tersebut.
Langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko kecederaan

Fenomena tidur berjalan ini membuatkan anak anda terdedah untuk mendapat kecederaan disebabkan oleh keadaan persekitaran. Beberapa langkah boleh diambil bagi membendung permasalahan ini. Antaranya adalah:
- Tutup dan kunci kesemua pintu dan tingkap sebelum tidur
- Mengalihkan barangan tajam yang berisiko untuk dipijak oleh anak anda semasa mengalami episod tersebut
- Elakkan daripada membeli katil dua tingkat bagi mengurangkan risiko jatuh katil
- Pasangkan pagar keselamatan pada pintu untuk mengelakkan anak anda daripada berjalan keluar pada waktu malam
- Jika anda mempunyai pemanas air mandi, turunkan suhunya untuk mengelakkan kecederaan kebakaran
- Elakkan daripada meletakkan kunci rumah di tempat yang mudah dijumpai
Oleh sebab masalah somnabulisme berlaku kerana tabiat tidur yang tidak teratur, berikut merupakan perkara yang boleh anda terapkan pada diri anak anda:
- Tidur awal pada waktu yang sama setiap malam
- Ajarkan rutin sebelum tidur yang menenangkan seperti membaca buku cerita untuk anak anda
- Tidur dalam bilik yang selesa, senyap dan gelap
- Pastikan suhu bilik berada mada 24 darjah selsius maksimum
- Pastikan anak anda membuang air kecil sebelum tidur
- Elakkan daripada mengambil minuman berkafein atau bergula sebelum tidur
Konklusi
Somnambulisme tidak mempunyai rawatan khusus namun anda perlu membawa anak anda untuk berjumpa dengan doktor bagi menjalani pemeriksaan kesihatan. Banyak keadaan kesihatan yang boleh menyebabkan masalah somnambulisme.
Jika anda bertemu dengan anak anda yang sedang berjalan sambil tidur, pimpin tangannya dan tarik secara lembut ke arah katil mereka. Jika tiada masalah kesihatan, tabiat tersebut kebiasaannya hilang apabila usia anak anda semakin meningkat.