Sama ada anda melancong atau ke luar negara atas urusan kerja, anda boleh mengalami jet lag. Jet lag adalah satu gangguan tidur yang mampu mengganggu kualiti rehat seseorang individu.
Jika anda melancong ke luar negara, gangguan tidur ini mampu merosakan rancangan anda untuk melakukan akiviti yang diingini!
Apa itu jet lag
Jet lag adalah gangguan tidur sementara yang berlaku apabila jam dalaman badan anda terganggu oleh perjalanan melintasi beberapa zon masa.
Ia juga secara umumnya bersifat sementara dan biasanya tidak memerlukan rawatan. Gejala-gejalanya akan baik secara sendiri dalam beberapa hari, walaupun mungkin ambil masa lama bagi sesetengah orang.
Kini, kajian menunjukkan bahawa ia disebabkan oleh ketidakseimbangan ‘jam biologi’ semula jadi badan kita yang berpunca daripada perjalanan ke zon waktu yang berbeza.
Ini kerana secara asasnya, badan kita berfungsi pada kitaran 24 jam yang disebut sebagai ‘irama sirkadian.’
Tambahan lagi, ia diukur dengan kenaikan dan penurunan suhu badan, tahap hormon tertentu dan keadaan biologi tubuh yang lain.
Semua ini dipengaruhi oleh pendedahan kita terhadap cahaya matahari dan membantu menentukan waktu tidur serta bangun.
Semasa melakukan perjalanan ke zon waktu baharu berlaku, irama sirkadian kita lambat untuk menyesuaikan diri dan akan tetap mengikut jadual biologi asalnya selama beberapa hari pertama.
Justeru, inilah yang menjadi punca kita sukar tidur pada siang hari dan berjaga pada larut malam semasa melancong. Jika sebelum ini anda pernah tertanya apa itu jet lag, pengalaman inilah yang anda rasai.
Cara atasi jet lag adalah dengan melatonin?
Terdapat beberapa cara yang boleh dicuba untuk mengatasi gangguan tidur ini, antaranya adalah dengan pengambilan melatonin secara oral. Tetapi adakah ia berkesan?
Melatonin adalah hormon yang dihasilkan oleh kelenjar kecil di otak anda yang disebut sebagai kelenjar pineal.
Ia dirembeskan apabila ketiadaan cahaya, seperti pada waktu malam. Kehadiran cahaya mampu menyekat pengeluaran melatonin.
Ini kerana melatonin terlibat dengan irama sirkadian kita, yang merangkumi kitaran tidur dan bangun semula jadi tubuh badan.
Peralihan masa ini mampu mengganggu irama sirkadian tubuh, yang membawa kepada gejala-gejala seperti:
- Berasa mengantuk pada waktu siang
- Sukar tidur pada waktu malam
- Masalah untuk menumpukan perhatian
- Mood senang terganggu
Terdapat kajian yang dilakukan mengenai penggunaan ubat melatonin dengan gangguan tidur ini.
Ia telah banyak dikaji sebagai rawatan untuk jet lag serta beberapa lagi gangguan tidur lain, seperti insomnia.
Hasil sebilangan besar penyelidikan mengenai melatonin dan jet lag adalah positif.
Tambahan itu, dalam 9 daripada 10 kajian yang dikaji oleh para penyelidik, melatonin didapati menurunkan gejala jet lag pada individu yang melintasi 5 atau lebih zon waktu.
Penurunan simptom jet lag ini dilihat ketika melatonin dibawa dan diambil semasa waktu tidur di tempat yang dikunjungi.
Ini jelas membuktikan pengambilan pil melatonin dapat membantu para pelancong dalam menangani masalah tidur mereka. Kini, anda boleh menikmati percutian tanpa gangguan!
Adakah ubat melatonin selamat untuk diambil?
Melatonin secara umumnya selamat untuk penggunaan jangka pendek, namun begitu anda masih harus berbincang dengan doktor sebelum menggunakannya.
Di Amerika Syarikat, melatonin dianggap sebagai makanan tambahan, dan Pentadbiran Makanan dan Dadah (FDA) tidak mengawal pengeluaran dan penggunaannya.
Oleh itu, dos per kapsul mungkin berbeza mengikut jenama, dan kemungkinan kehadiran bahan yang tercemar adalah tidak mustahil.
Walau bagaimanapun, elakkan daripada mengambil melatonin jika anda:
- Sedang mengandung atau menyusu
- Mempunyai penyakit autoimun
- Mengalami gangguan sawan
- Mempunyai kemurungan
Ubat ini juga mempunyai beberapa kemungkinan interaksi bersama ubat yang lain. Pastikan anda merujuk doktor sebelum menggunakannya sekiranya mengambil ubat-ubatan berikut:
- Ubat tekanan darah
- Ubat diabetes
- Antikoagulan
- Antikonvulsan
- Ubat imunosupresan
- Ubat fluvoxamine
- Ubat kontraseptif
Anda juga harus mengelakkan mengambil melatonin bersama minuman beralkohol.
Cara-cara menggunakan pil melatonin
Garis panduan mengenai dos dan masa yang tepat untuk pil melatonin adalah berbeza-beza. Supaya tidak tersilap langkah, anda dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.
Bagi pemgambilan pil ini, sekiranya anda memilih untuk menggunakan melatonin bagi mengatasi jet lag, anda boleh mengambilnya setelah tiba di destinasi.
Dos yang berkesan bagi seseorang individu boleh bermula dari hanya 0.5 miligram sehingga 5 miligram atau lebih.
Semasa dalam perjalanan, terutamanya jika anda melakukan perjalanan ke zon waktu di mana waktu dituju adalah lebih awal, melatonin boleh diambil mengikut waktu tempatan sebelum tidur.
Selain itu, ada pakar yang mencadangkan pengambilannya pada waktu tidur tempatan pada hari ketibaan dan selama 4 hari tambahan apabila anda melakukan perjalanan melintasi 5 zon waktu atau lebih.
Namun sekiranya dos yang diambil tidak mencukupi, penambahan setengah dos melatonin mampu membantu.
Ini kerana melatonin dapat menunda waktu bangun irama sirkadian anda dan bantu mengubah corak tidur.
Oleh sebab kehadiran cahaya secara semula jadi mampu menyekat tahap melatonin badan, anda boleh menggelapkan bilik dan hindari penggunaan peranti seperti telefon serta komputer riba untuk mendapat rehat yang lebih berkualiti.
[embed-health-tool-bmi]