backup og meta

Dekati Orang Kemurungan Undang Aura Negatif Pada Anda- Kemurungan Berjangkit?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 11/06/2020

    Dekati Orang Kemurungan Undang Aura Negatif Pada Anda- Kemurungan Berjangkit?

    Berhadapan atau mengendalikan orang yang kemurungan dalam keluarga terdekat tidak semudah yang anda sangkakan.

    Bukanlah sesuatu yang pelik jika individu yang mengendalikannya akan turut berasa sedih atau mengalami emosi yang negatif seperti yang dialami oleh orang yang kemurungan.

    Disebabkan itu, timbul satu persoalan, adakah kemurungan boleh menular atau berjangkit kepada individu lain?

    Kemurungan boleh berjangkit, tetapi bukanlah seperti penyakit fizikal

    orang yang kemurungan

    ‘Jangkitan’ atau penularan kemurungan sangat berbeza dengan penularan penyakit fizikal lain seperti flu yang disebabkan oleh bakteria atau virus.

    Anda tidak akan terus dijangkiti kemurungan hanya disebabkan anda menemani orang yang kemurungan atau berada di sampingnya seharian. 

    Apa yang anda alami atau rasakan itu bukanlah kemurungan, tetapi kesedihan, emosi dan mood yang negatif. Fenomena yang sama turut akan berlaku jika ia adalah emosi atau perasaan yang positif.

    Sebagai contoh, apabila anda melihat individu lain bergelak-ketawa, anda akan turut sama ketawa tanpa anda sedari.

    Bukan sahaja emosi, malah tingkah laku negatif juga dapat ‘berjangkit’ kepada diri anda.

    Sebagai contoh, jika rakan-rakan anda berhenti daripada merokok, anda juga berkemungkinan akan melakukan tindakan yang serupa.

    Jika rakan anda amat gemar memakan makanan segera, maka anda juga mempunyai kecenderungan untuk menyukainya.

    Kemurungan boleh menular dengan cara yang sama, tetapi perantaranya bukanlah bakteria atau virus.

    Perantara dalam penularan kemurungan ialah tingkah laku yang negatif.

    Antara contoh tingkah laku negatif yang mungkin berlaku ialah bersikap pesimis, menjauhi diri daripada pergaulan sosial, mudah berasa marah, sering mengeluh dan pelbagai contoh lain lagi.

    Pengaruh kemurungan yang boleh berlaku

    orang yang kemurungan

    Selain itu, penularan kemurungan ini tidak mengambil masa yang lama.

    Pada tahun 2014, sekumpulan penyelidik ada menjalankan kajian terhadap 100 pasangan mahasiswa yang akan menjadi rakan sebilik.

    Setiap mahasiswa dikehendaki untuk tinggal bersama pasangannya dalam tempoh antara 3 hingga 6 bulan.

    Setelah 6 bulan, mahasiswa yang tinggal bersama pasangan yang sering termenung telah menunjukkan lebih banyak ciri-ciri berlakunya kemurungan.

    Para penyelidik membuat kesimpulan bahawa perkara ini terjadi disebabkan oleh mereka yang terkesan ini mempunyai cara berfikir yang sama seperti rakan sebiliknya. 

    Siapa yang lebih berisiko untuk ‘dijangkiti’ kemurungan?

    Kemurungan boleh mempengaruhi individu lain.

    Namun, kekebalan anda terhadap ‘jangkitan’ kemurungan dari orang yang murung ini bergantung kepada banyak faktor seperti genetik, pengalaman masa lalu, serta tahap stres yang anda alami.

    Risiko kemurungan akan berlaku pada tahap yang lebih tinggi dalam kalangan individu yang mempunyai keadaan-keadaan seperti berikut:

  • Mempunyai sejarah kejadian orang yang kemurungan dalam keluarga
  • Sedang mengalami perubahan yang besar dalam hidup seperti kematian, perceraian dan muflis
  • Terlalu bergantung kepada individu lain seperti ahli keluarga, rakan dan juga pasangan
  • Kemurungan tidak hanya menular daripada individu yang terdekat seperti ibu bapa, anak, pasangan, rakan baik atau rakan sebilik.

    Malah, anda juga boleh mendapat emosi negatif yang sama melalui interaksi di media sosial.

    Ketika mana terdapatnya perkara buruk yang berlegar-legar di media sosial, kebanyakan pengguna media sosial gemar untuk memberikan respons dengan hantaran atau komen yang bersifat negatif.

    Begitu juga apabila terdapat sesuatu berita atau perkara yang positif, kebanyakan individu akan memberikan respons yang baik.

    Tambahan lagi, sejak kebelakangan ini, terdapat juga beberapa kes individu yang mempunyai inspirasi atau idea untuk membunuh diri hanya kerana mereka telah melihat perlakuan yang sama dilakukan oleh orang lain di media sosial. 

    Apakah yang boleh anda lakukan apabila perasaan murung menular?

    orang yang kemurungan

    Apabila anda menyedari bahawa anda mempunyai simptom-simptom kemurungan, cara yang terbaik adalah dengan mencari bantuan profesional.

    Dapatkan konsultasi bersama ahli psikologi atau ahli psikiatri untuk mengatasi simptom tersebut.

    Sekiranya perlu, ajaklah orang lain yang kemurungan dalam keluarga anda untuk bersama dengan anda bagi mendapatkan konsultasi. 

    Di saat anda menjalani kaunseling rutin bersama dengan ahli profesional, cubalah untuk menguruskan stres yang sedang anda alami.

    Jangan lupa untuk saling memberikan sokongan antara satu sama lain agar anda dan orang yang mengalami kemurungan dapat berkembang ke arah yang lebih baik. 

    Ingatlah bahawa anda sebenarnya tidak bersendirian dalam mendekati ahli keluarga atau orang yang kemurungan walaupun anda juga mempunyai kemurungan.

    Anda sentiasa boleh mendapatkan sokongan daripada individu-individu yang boleh dipercayai.

    Baca juga:

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 11/06/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan