Penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) merupakan satu penyakit bawaan virus yang lazim berlaku dalam kalangan bayi dan kanak-kanak. Bagaimanapun, itu tidak bermaksud orang dewasa tidak boleh menghidap penyakit sama. Ada pelbagai simptom HFMD pada orang dewasa. Tanda awal HFMD juga lebih kurang sama dengan kanak-kanak.
Dalam artikel ini, kita akan mengupas dengan lebih lanjut mengenai simptom HFMD pada orang dewasa serta langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengelakkan penularan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Bolehkah ia berlaku pada orang dewasa?
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), HFMD tidak akan mendatangkan simptom serius dalam kalangan orang dewasa.
Selalunya, orang dewasa memerlukan tujuh hingga 10 hari untuk sembuh daripada HFMD tanpa sebarang rawatan.
Bagaimanapun, kanak-kanak di bawah usia 2 tahun selalunya akan jatuh sakit dalam masa yang lebih panjang.
Menurut Persatuan Akademi Dermatologi Amerika Syarikat (AADA), simptom HFMD pada orang dewasa selalunya tidak ketara.
Malah, HFMD pada dewasa juga selalunya hanya akan menyebabkan simptom yang tidak serius dan seakan-akan demam biasa.
Sebarang komplikasi HFMD dalam kalangan orang dewasa juga jarang berlaku.
Simptom HFMD pada orang dewasa
Simptom penyakit HFMD dalam kalangan orang dewasa adalah sama seperti simptom yang dialami bayi dan kanak-kanak, antaranya:
- Luka di dalam mulut: Luka atau lepuh yang menyakitkan akan muncul di dalam mulut, termasuk pada bahagian lidah, gusi dan di sekitar bibir.
- Ruam yang gatal: Ruam yang tidak menyenangkan juga mungkin timbul pada bahagian tapak tangan, tapak kaki dan kadangkala pada sekitar kawasan punggung atau kaki.
- Demam: Demam ringan mungkin berlaku sebagai salah satu tanda awal jangkitan.
- Gejala seakan-akan demam: Sesetengah orang dewasa mungkin mengalami gejala seakan-akan demam biasa seperti sakit kepala, kelesuan dan sakit tekak.
Bagi orang dewasa, coxsackievirus 16 merupakan punca utama jangkitan. Selalunya, ia merebak dengan pantas ketika cuaca panas.
HFMD boleh berjangkit daripada satu individu kepada individu lain melalui cecair yang berasal dari hidung atau tekak.
Anda juga boleh terdedah kepada virus dengan cara:
- Menyentuh orang yang dijangkiti
- Terkena bersin atau batuk orang yang sakit
- Menyentuh objek tercemar, seperti mainan atau tombol pintu yang dijangkiti
- Berkongsi air yang dijangkiti, termasuk air dalam kolam renang
- Ambil minuman sejuk bagi mengelakkan dehidrasi
- Makan makanan yang lembut seperti yogurt dan elakkan pengambilan makanan pedas
- Ambil paracetamol atau ibuprofen untuk mengurangkan sakit mulut atau tekak
HFMD pada dewasa: Bolehkah pergi kerja seperti biasa?
Jawapannya adalah tidak. Oleh kerana penyakit ini mudah berjangkit, pesakit perlu tinggal di rumah untuk mengelakkan jangkitan kepada orang lain.
Mereka yang disahkan menghidap HMFD perlu mengambil beberapa langkah berjaga-jaga untuk mengelak penularan. Antaranya:
- Basuh tangan sebelum makan
- Nyahkuman segala permukaan yang disentuh, misalnya tombol pintu, paip air dan tempat duduk tandas
- Elak pergi ke pejabat atau menghadiri apa-apa acara sosial
Kadangkala, simptom HFMD pada orang dewasa tidak kelihatan. Oleh itu, ramai yang tidak menyedari mereka menghidap penyakit tersebut.
Jika boleh, jangan melawat warga emas yang mempunyai masalah imun.
Elakkan juga berjumpa dengan wanita yang sedang hamil, terutamanya jika wanita tersebut berada pada minggu terakhir kehamilan.
Adakah simptom HFMD pada orang dewasa boleh membawa maut?
Menurut pakar perubatan Cleaveland Clinic, Dr. Neha Vyas, simptom penyakit HFMD boleh membawa mudarat terhadap kesihatan.
Ia boleh menyebabkan meningitis, sejenis penyakit yang berlaku apabila virus memasuki salur darah pada otak.
Malah, virus juga boleh menjangkiti jantung manusia dan menyebabkan miokarditis.
Bagaimanapun, individu yang terkesan dengan jangkitan HFMD selalunya menghidap penyakit tertentu, misalnya kanser atau penyakit lain yang boleh melemahkan sistem imun badan.
Menurut Dr. Vyas, warga emas juga lebih berisiko mengalami komplikasi disebabkan HFMD berbanding orang dewasa.
Wanita hamil juga perlukan pemantauan rapi daripada doktor sekiranya menghidap HFMD. Ia boleh meningkatkan risiko kelahiran bayi pramatang dan menjangkiti bayi dalam kandungan.
Namun, Dr. Vyas menegaskan bahaya HFMD dalam kalangan orang dewasa sangat rendah.
Selalunya, ia tidak akan menyebabkan sebarang komplikasi dan akan sembuh dengan sendirinya dengan bantuan ubat-ubatan.
Kesimpulan
Secara umumnya, simptom HFMD pada orang dewasa adalah ringan dan jarang menyebabkan komplikasi yang serius.
Dalam kebanyakan kes, HFMD pada dewasa akan sembuh dengan sendirinya dengan bantuan ubat-ubatan asas.
Meskipun begitu, langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan penyebaran penyakit tersebut terutamanya kepada golongan berisiko seperti warga emas dan wanita hamil.
Dengan menjaga kebersihan diri dan mengelakkan kontak rapat dengan individu lain semasa dijangkiti, kita boleh membantu mengurangkan penyebaran penyakit ini.
[embed-health-tool-vaccination-tool]
Sekiranya terdapat sebarang keraguan mengenai simptom yang dialami, dapatkan nasihat daripada doktor untuk pemeriksaan lanjut dan rawatan yang sesuai.