backup og meta

10 Cara Hilangkan Sakit Tekak Yang CONFIRM Berkesan, Jom Cuba!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 2 hari lalu

    10 Cara Hilangkan Sakit Tekak Yang CONFIRM Berkesan, Jom Cuba!

    Ada banyak cara yang boleh anda lakukan untuk kurangkan atau hilangkan sakit tekak. Selain pengambilan ubat-ubatan, anda juga boleh berehat, ambil madu dan juga suplemen untuk tingkatkan daya tahan badan.

    Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan 10 cara hilangkan sakit tekak dengan cepat, sesuai untuk mereka yang inginkan kelegaan pantas!

    Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Keadaan Telinga, Hidung & Tekak, sila klik di sini.

    10 cara hilangkan sakit tekak

    Sakit tekak boleh berlaku disebabkan pelbagai perkara. Salah satunya ialah jangkitan virus. Selalunya, sakit tekak yang disebabkan virus tidak dapat dipulihkan dengan pengambilan antibiotik.

    Namun, ia akan sembuh dengan sendirinya dalam masa 5-7 hari. Jika ia tidak sembuh dan semakin melarat, jumpa doktor secepat mungkin untuk rawatan.

    Untuk mengurangkan kesakitan, anda boleh ambil ubat tahan sakit yang boleh dibeli di farmasi berdekatan.

    Antara punca sakit tekak yang lazim ialah:

    • Virus seperti COVID-19
    • Jangkitan bakteria
    • Sakit tekak disebabkan alahan
    • Asid refluks
    • Tabiat merokok atau terdedah kepada asap rokok sekunder

    Di bawah, kami akan terangkan beberapa petua hilangkan sakit tekak cara tradisional yang mungkin dapat membantu:

    1. Ambil makanan atau minuman yang hangat

    Teh, kopi o panas atau sup ayam mungkin dapat membantu kurangkan sakit tekak yang dialami.

    Bukan itu sahaja, pengambilan cecair juga dapat memastikan lapisan mukosa pada kawasan tekak sentiasa bersih dan bebas daripada sebarang jangkitan.

    2. Bukan makanan panas sahaja, sejuk juga dapat membantu!

    Ada juga orang yang gemar mengambil makanan yang sejuk seperti aiskrim atau minuman berais ketika sakit tekak.

    Sebenarnya, tidak ada masalah sekiranya anda suka mengambil minuman sejuk, asalkan ia membuatkan tekak anda rasa lega.

    3. Berkumur dengan air garam

    hilangkan sakit tekak
    Manfaat air garam untuk kesihatan.

    Campurkan ½ sudu teh garam ke dalam segelas air suam. Kumur dengan larutan ini sekurang-kurangnya sekali dalam masa 3 jam.

    Ini merupakan salah satu cara untuk mengurangkan simptom sakit tekak secara semula jadi.

    Air garam dapat mengurangkan bengkak dan iritasi pada kawasan tekak. Anda juga boleh gantikan garam dengan baking soda.

    Larutan ini juga dapat mengurangkan sakit tekak dan membantu mengurangkan asid refluks.

    4. Gunakan madu untuk hilangkan sakit tekak

    Madu merupakan antara penawar semula jadi terbaik untuk sakit tekak. Ia mempunyai sifat antibakteria yang dapat memulihkan luka dan mengurangkan inflamasi.

    Campurkan 2 sudu madu ke dalam secawan air suam. Kacau dan minum beberapa kali sehari.

    Walau bagaimanapun, madu tidak sesuai untuk kanak-kanak yang berusia 1 tahun ke bawah.

    5. Hilangkan sakit tekak dengan lozeng

    cara melegakan sakit tekak
    Ubat sakit tekak dan batuk.

    Lozeng merupakan salah satu ubat sakit tekak paling berkesan untuk anda cuba.

    Ada lozeng yang mengandungi ubat khas untuk merawat sakit tekak bila menelan. Ada juga yang mengandungi madu untuk melegakan kerengsaan.

    Walau bagaimanapun, elakkan pemberian lozeng kepada kanak-kanak bawah 4 tahun. Ia mungkin boleh menyebabkan mereka tercekik.

    Menurut kajian, lozeng yang mengandungi amylmetacresol dan 2,4-dichlorobenzylalcohol (AMC/DCBA) sangat efektif untuk mengurangkan simptom sakit tekak.

    6. Makan ubat antihistamin untuk hilangkan sakit tekak

    Antihistamin mungkin dapat mengurangkan sakit tekak yang berlaku disebabkan alahan.

    Walau bagaimanapun, ada banyak lagi remedi lain yang dapat membantu.

    Sebagai contoh, pengambilan madu dan lozeng mungkin sudah mencukupi untuk mengurangkan simptom.

    Ubat sakit tekak paling berkesan 7. Ambil vitamin dan suplemen

    Pengambilan suplemen memainkan peranan penting untuk memastikan sistem imun badan sentiasa sihat.

    Antara suplemen yang mungkin dapat membantu:

    • Vitamin C
    • Vitamin D
    • Zink

    Pengambilan vitamin dan suplemen di atas dapat mengurangkan simptom demam dan mempercepatkan pemulihan.

    Selain pengambilan suplemen, anda juga boleh mendapatkan vitamin ini daripada buah-buahan dan sayur-sayuran.

    Baca lebih lanjut mengenai makanan yang mengandungi banyak vitamin C dan D di sini.

    punca sakit tekak
    Punca sakit tekak setiap kali menelan air liur.

    8. Cuba minum teh herba

    Ada banyak jenis teh herba yang anda boleh cuba untuk hilangkan sakit tekak.

    Contohnya, teh hijau mempunyai sifat antibakteria dan antiradang yang dapat melawan jangkitan. Teh kamomil pula dapat mengurangkan simptom yang anda alami.

    Teh panas juga mungkin dapat mengurangkan sakit tekak yang dialami.

    Jadi, sekiranya anda tidak mempunyai opsyen lain, teh merupakan minuman yang paling mudah dan pantas untuk anda cuba.

    Namun, sebelum minum, periksa dahulu kandungan kafeinnya ya. Kalau tidak, susah tidur malam nanti!

    9. Gunakan humidifier

    Penggunaan humidifier mungkin dapat membantu kurangkan sakit tekak bila menelan dan mengurangkan simptom alahan yang lain.

    Humidifier dapat membantu menukar air kepada wap. Ia juga membuatkan udara di sekeliling lebih lembap dan mempunyai kandungan air yang tinggi.

    Disebabkan kadar lembapan yang tinggi, kita kurang berisiko untuk mengalami sakit tekak.

    Jadi, penggunaan humidifier di rumah dan tempat kerja mungkin dapat membantu mengurangkan sakit tekak.

    10. Jangan lupa rehat

    Rehat yang mencukupi merupakan penawar terbaik untuk sakit tekak.

    Jangan bercakap dengan banyak dan cuba berbaring. Tinggikan sedikit bantal untuk kurangkan kesakitan dan ketidakselesaan yang berlaku disebabkan sakit tekak.

    Kesimpulan

    Kini anda sudah mengetahui 10 petua hilangkan sakit tekak cara tradisional. Walau bagaimanapun, jika anda mendapati simptom sakit tekak bila menelan anda semakin berlarutan dan tidak sembuh, anda disarankan untuk segera berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan rawatan yang bersesuaian.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 2 hari lalu

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan