backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Baby Dijangkiti Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut, Doktor Kongsi Tip Jaga Anak HFMD

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/12/2023

    Baby Dijangkiti Penyakit Tangan Kaki Dan Mulut, Doktor Kongsi Tip Jaga Anak HFMD

    Tahukah anda apa itu penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD)? Dalam artikel ini anda akan mengetahui mengenai tanda tanda HFMD dan cara merawatnya yang dikongsikan pakar.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    Penyakit tangan, kaki dan mulut

    Tabiat si kecil yang suka memasukkan setiap benda ke dalam mulut boleh meningkatkan risiko mereka untuk dijangkiti penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).

    Penyakit yang sedang menular ini amat mudah berjangkit, namun masih terdapat ramai ibu bapa yang tidak begitu jelas mengenai tanda tanda HFMD dan apa yang perlu dilakukan.

    Bagi membantu pemahaman ibu bapa mengenai HFMD, Ketua Jabatan Pediatrik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), Dr Erwin Khoo berkongsikan tiga fakta penting mengenainya bersama panduan berguna yang boleh diamalkan.

    tanda tanda hfmd
    Dr Erwin Khoo, Ketua Jabatan Pediatrik Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU)

    Fahami tanda tanda HFMD 

    HFMD adalah contoh viral exanthem, iaitu ruam atau radang pada kulit yang disebabkan jangkitan virus. 

    Antara tanda tanda HFMD biasa adalah termasuk demam, luka di dalam mulut dan ruam yang cenderung muncul pada tangan, kaki, lutut, siku dan punggung.

    Menurut Dr Erwin, virus adalah penyebab HFMD dan biasanya ia adalah virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71.

    “Virus-virus ini boleh ditemui dalam saluran pernafasan dan najis, serta di dalam lepuh berair yang terbentuk pada tangan dan kaki. Virus tersebut kekal mudah berjangkit pada permukaan keras untuk beberapa hari,” ujarnya.

    Beliau menjelaskan, tempoh eraman biasanya antara 3 hingga 7 hari dan boleh berlanjutan sehingga 2 minggu. 

    Situasi tersebut menjadikan HFMD mudah merebak dalam kalangan kontak rapat, perkongsian perkakasan atau barangan mainan mahupun apabila kebersihan tangan tidak diamalkan dengan baik, khususnya selepas rutin menukar lampin.

    tanda tanda hfmd

    HFMD sering dikaitkan dengan kanak-kanak, kerana kebanyakan kes jangkitan melibatkan si kecil di bawah usia 6 tahun. Namun hakikatnya, ia turut boleh menjangkiti individu dewasa dan boleh menularkan virus kepada yang lain.

    Cara merawat HFMD dengan tingkatkan amalan kebersihan

    Bagi mencegah penularan jangkitan HFMD ini, ibu bapa dan penjaga dinasihat untuk mengamalkan kebersihan tangan yang baik, terutamanya jika terdapat anak yang menghidap HFMD seperti:

    • Membasuh tangan dengan kerap
    • Menggunakan gel pembersih tangan (jika tiada sumber air)
    • Sentiasa lap peralatan rumah dengan pembasmi kuman
    • Elakkan berkongsi makanan atau perkakasan
    • Tidak menyentuh mata atau hidung

    Bagi anak yang dijangkiti, disarankan untuk berehat di rumah bagi mencegah penyebaran jangkitan.

    Namun, langkah ekstrem seperti pengasingan anak sendirian di dalam bilik adalah agak melampau dan tidak diwajibkan kerana virus penyebab HFMD tidak merebak melalui udara seperti jangkitan saluran pernafasan lain.

    Tiada ubat atau rawatan khusus untuk cara merawat HFMD

    Dr Erwin menjelaskan lagi, walaupun terdapat virus berbeza yang menyebabkan HFMD, tetapi tiada rawatan khusus atau ubat untuk mengurangkan gejalanya. Cuma terdapat kaedah bagi melegakan simptom.

    Beliau turut memberi amaran mengenai beberapa remedi yang biasa dikongsikan seperti mandi menggunakan larutan garam kasar atau berendam di dalam air berenzim, kerana ia boleh merengsakan kulit.

    Baca juga:

    Langkah rawatan di rumah

    Berikut adalah beberapa cara merawat HFMD di rumah yang boleh ibu bapa cuba:

    • Bagi mengurangkan tanda tanda HFMD seperti demam, kesakitan dan radang pada ulser mulut, anda boleh memberikan anak paracetamol atau ubat antiradang bukan steroid (NSAIDs). Namun pastikan anda mendapat nasihat doktor pakar kanak-kanak sebelum memberikan NSAIDs kepada si kecil
    • Berikan anak makanan yang senang ditelan seperti sup atau bubur nasi sebagai menggantikan makanan pejal yang perlu dikunyah
    • Berikan anak air minuman atau jus kesukaan bagi mencegah dehidrasi
    • Legakan ulser mulut dengan kudapan sejuk seperti aiskrim, yogurt dan agar-agar. Penggunaan ubat kumur tanpa alkohol dan gel mulut juga boleh membantu
    • Mandi dengan kerap dan lap secara lembut menggunakan tuala bagi mengelakkan lepuh daripada pecah (jika ada). Elakkan sabun mandi dan penyental kasar yang boleh merengsakan kulit
    • Jika boleh, elakkan memasang penyaman udara pada waktu malam. Ini kerana ulser mulut boleh menjadi semakin sakit disebabkan kurangnya pengeluaran air liur kerana persekitaran lebih kering
    • Sekiranya cuaca panas, gunakan alat pelembap (humidifier) atau letakkan mangkuk berisi air untuk memastikan udara sentiasa lembap

    Jika rasa sakit menghalang anak berehat, dapatkan nasihat doktor mengenai penggunaan ubat penahan sakit walaupun mereka tidak demam.

    Wujud risiko komplikasi jika abaikan tanda tanda HFMD

    Dalam kebanyakan kes, pemulihan di rumah dengan penggunaan ubat kaunter adalah memadai untuk melegakan gejala seperti demam, ruam atau bintik-bintik merah pada tapak tangan atau kaki, mahupun ulser mulut.

    tanda tanda hfmd

    Kata Dr Erwin, biarpun bintik tersebut tidak gatal, namun ulser di dalam mulut boleh menyakitkan dan menghalang anak daripada makan dan minum. 

    “Keadaan tersebut jika dibiarkan boleh membawa kepada dehidrasi dan dalam kes serius, memerlukan rawatan perubatan,” ujar beliau lagi.

    Perhatikan tanda tanda HFMD serius

    Ibu bapa perlu mengenal pasti simptom dehidrasi teruk pada anak seperti kurang kencing, mulut kering dan kurang air mata apabila menangis. Pastikan anda membawa mereka untuk mendapatkan rawatan perubatan segera.

    Bawa si kecil untuk pemeriksaan doktor jika mereka mengalami gejala seperti pernafasan cepat, kebingungan, mengantuk, pening-pening, leher kebas, sawan, demam melebihi 3 hari dan jika anak tidak mahu makan atau minum.

    Dalam kes jarang berlaku, HFMD boleh menyebabkan meningitis virus. Sebaiknya, ibu bapa disarankan membawa anak berjumpa doktor untuk mencegah komplikasi ini.

    Sekiranya terdapat sebarang ketidakpastian mengenai tanda tanda HFMD, berjumpalah dengan doktor segera.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 12/12/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan