Kaki atlet… anda mungkin jarang bahkan langsung tidak pernah mendengar nama ini. Untuk pengetahuan, ia adalah sejenis jangkitan kulat air yang boleh berlaku pada kaki.
Sebenarnya, penyakit kaki atlet atau dalam bahasa mudahnya, kulat air adalah masalah kulit yang biasa terjadi pada kaki disebabkan oleh kulat.
Walaupun ia jarang menjadi serius, namun gejalanya boleh mengganggu.
Jika anda ingin mengenali penyakit jangkitan kulat ini dengan lebih lanjut, jom baca artikel ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kesihatan kulit, anda boleh klik di sini.
Penyakit kaki atlet
Kulat kaki juga dikenali sebagai Tinea Pedis adalah jangkitan kulat berjangkit yang mempengaruhi kulit pada bahagian kaki.
Bukan hanya terhad pada kawasan kaki, ia juga boleh merebak ke kuku kaki dan tangan.
Di samping itu, kulat kulit ini juga disebabkan oleh pelbagai jenis kulat yang dikenali sebagai dermatophytes atau moulds.
Keadaan kaki yang sentiasa tertutup, panas, ataupun persekitaran lembap akan menjadi medium yang sesuai untuk perkembangan kulat.
Manakala, keratin, protein yang terdapat dalam rambut, kuku dan kulit akan menjadi ‘makanan’ kepada kulat.
Hati-hati, penyakit ini boleh berjangkit! Sentuhan dengan kulit yang dijangkiti atau pakaian tercemar dan tidak dibersihkan berisiko menyebarkan jangkitan.
Antara lokasi yang berisiko mendedahkan kalian terhadap jangkitan ini merangkumi tempat awam seperti sekolah, kolam renang dan pusat kecergasan.
Biasanya penyakit ini menjangkiti ruang antara jari kaki, namun ia juga boleh menjangkiti kuku kaki dan tapak kaki.
Sekiranya anda tertanya-tanya bagaimana penyakit ini memperoleh namanya, ini kerana ia menjangkiti individu yang kakinya lembap dan berpeluh, seperti para atlet!
Tanda dan gejala kulat air
Terdapat banyak kemungkinan gejala penyakit kulat ini, termasuklah:
- Rasa gatal, menyengat, dan sensasi seakan terbakar di antara jari kaki atau tapak kaki
- Lepuh di kaki
- Kulit kaki retak dan mengelupas, paling kerap di antara jari kaki dan tapak kaki
- Kulit kering di tapak kaki atau bahagian kaki
- Warna kuku kaki tidak sekata, tebal, dan rapuh
Siapakah berisiko mendapat jangkitan kulat ini?
Tidak hanya menjangkiti golongan atlet, sebaliknya sesiapa sahaja boleh mendapat penyakit ini. Tetapi, tingkah laku tertentu meningkatkan risiko untuk dijangkiti, contohnya:
- Individu yang mengunjungi tempat awam tanpa memakai kasut, terutama bilik persalinan, tempat mandi awam, dan kolam renang
- Berkongsi stoking, kasut, atau tuala dengan orang yang dijangkiti
- Memakai kasut yang ketat dan tertutup
- Membiarkan kaki basah untuk jangka masa yang panjang
- Mempunyai kaki yang berpeluh
- Mengalami kecederaan pada kulit atau kuku kaki
Ini cara merawat kulat air hanya di rumah!
1. Rawatan over-the-counter (OTC)
Terdapat sebilangan rawatan OTC yang tersedia untuk penyakit jangkitan kulat air ini.
Ia tersedia dalam pelbagai bentuk seperti semburan, krim, serbuk mahupun losen!
2. Hidrogen peroksida
Hidrogen peroksida secara efektif dapat membunuh kulat di permukaan permukaan kaki, termasuk bakteria permukaan yang berisiko menyebabkan jangkitan.
Cara penggunaan:
- Tuangkan hidrogen peroksida terus ke kawasan yang terjejas
- Peringatan, ia mungkin menyakitkan, dan akan menggelembung, terutama jika mempunyai luka terbuka
- Lakukan ini 2 kali sehari sehingga jangkitan mula reda
3. Minyak tea tree
Minyak tea tree yang sememangnya terkenal dengan sifat antikulat dan antibakteria, menjadi sebab ia biasa digunakan untuk merawat banyak jenis jangkitan kulat termasuk kurap dan kandidiasis.
Satu kajian pada tahun 2002 menyatakan dengan menggunakan minyak pini setiap hari dapat merawat kedua-dua gejala kaki atlet dan kulat dalam tempoh masa beberapa minggu.
Caranya, campurkan minyak pembawa seperti minyak kelapa dengan minyak tea tree untuk hasilkan tahap kepekatan antara 25 sehingga 50% lantas sapukan ke kawasan yang terjejas 2 kali sehari.
4. Bawang putih
Bawang putih mungkin mempunyai aroma yang kuat bagi sesetengah orang, tetapi ia boleh menjadi rawatan kulat air semula jadi yang berkesan.
Satu kajian mendapati hanya dengan menggunakan bawang putih, ia menghasilkan penyembuhan sepenuhnya pada 79% peserta selepas 7 hari penggunaan! Hebat bukan?
Untuk menggunakan bawang putih bagi merawat kaki atlet, hancurkan 4 sehingga 5 ulas bawang putih.
Setelah dihancurkan, gosokkannya pada kawasan yang terjejas dan lakukannya sebanyak 2 kali sehari.
5. Mandi garam laut
Tahukah anda, garam laut mempunyai sifat antibakteria dan antikulat yang kuat, menjadikannya rawatan semula jadi yang bagus untuk penyakit ini.
Bukan itu sahaja, mandian ini mampu menghalang pertumbuhan dan penyebaran jangkitan kulat berlaku.
Cara yang paling berkesan untuk menggunakan rawatan ini adalah dengan melarutkan garam ke dalam mandian kaki yang hangat.
Tip
6. Bedak talkum
Bedak talkum, tepung jagung, atau bedak bayi juga dikatakan berfungsi untuk merawat masalah kulat air dengan memastikan kawasan yang terjejas sentiasa kering dan bersih.
Ia akan menyukarkan kulat untuk berkembang dan merebak dengan menjaga dan mengawal peluh serta kelembapan kaki.
Selamat mencuba!