backup og meta

Masalah Botak & Rambut Beruban? Anda Berisiko Hidap Sakit Jantung

Masalah Botak & Rambut Beruban? Anda Berisiko Hidap Sakit Jantung

Sakit jantung adalah keadaan kesihatan yang menakutkan. Individu yang didiagnosis dengan masalah kesihatan ini cenderung untuk mengalami penurunan pada aspek kualiti hidup.

Tabiat merokok, obesiti dan penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi boleh menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit jantung.

Namun, baru-baru ini, kajian telah menunjukkan terdapat faktor lain yang turut menyebabkan anda lebih berisiko untuk didiagnosis dengan masalah kesihatan tersebut.

Antara yang menarik minat para ahli akademik adalah masalah kebotakan dan rambut beruban dalam kalangan lelaki.

Tidak dinafikan, penerangan dari sudut patologi masih lagi tidak jelas berkaitan dengan faktor penyakit jantung tersebut.

Namun, penemuan itu boleh memberikan perspektif baharu dalam memahami proses penyakit bagi masalah jantung. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Jantung, sila dapatkannya di sini.

Majoriti penghidap sakit jantung (subjek) mengalami masalah kebotakan atau rambut beruban

faktor penyakit jantung

Apa yang anda perlu faham adalah tiada satu pun faktor risiko dalam apa jua masalah kesihatan bersifat mutlak.

Ini bermakna, sekiranya anda mempunyai masalah tersebut, tidak bermakna anda pasti akan didiagnosis dengan masalah kesihatan terbabit.

Meskipun begitu, perbincangan berkenaan dengan faktor risiko boleh memberikan gambaran terhadap peningkatan risiko agar langkah pencegahan boleh dibuat lebih awal.

Kajian yang dibentangkan di Persidangan Tahunan ke-69 bagi Persatuan Kardiologi di India menunjukkan dapatan yang mengujakan.

Kumpulan yang diketuai oleh Dr Kamal Sharma, seorang pakar kardiologi telah membuat siasatan terhadap 790 penghidap sakit jantung yang berusia 40 tahun dan ke bawah.

Mereka turut merangkumkan 1,270 subjek dalam populasi usia yang sama namun tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan untuk dibuat perbandingan.

Ujian bagi menilai tahap kebotakan dan peratusan rambut beruban telah dibuat dan direkodkan bagi tujuan perbincangan.

Hasilnya menunjukkan lebih daripada separuh penghidap sakit jantung mempunyai masalah rambut beruban berbanding dengan subjek sihat (hanya 30 peratus).

Masalah kebotakan pula dialami oleh hampir separuh (49 peratus) penghidap penyakit jantung berbanding dengan mereka yang sihat (27 peratus).

Apa yang lebih menarik, tahap kebotakan dan peratusan uban berkadar secara terus dengan tahap keterukan penyakit jantung.

Ini bermakna, mereka yang mengalami masalah kebotakan yang serius atau mempunyai peratusan uban yang tinggi, mempunyai risiko yang tinggi untuk didiagnosis.

Anda mungkin berminat:

Protokol pencegahan dan rawatan harus fleksibel dengan dapatan kajian semasa

sakit jantung

Setakat ini, masalah kebotakan dan rambut beruban boleh meningkatkan risiko penyakit jantung jauh lebih tinggi berbanding dengan masalah obesiti.

Mereka yang obes mempunyai risiko setinggi 4 kali ganda untuk mendapat masalah jantung.  

Masalah kebotakan dan rambut beruban pula boleh meningkatkan risiko penyakit jantung sebanyak 5 kali ganda lebih tinggi berbanding dengan risiko umum.

Walaupun faktor risiko tradisional seperti penyakit kronik, sejarah keluarga dan tabiat merokok perlu diberikan perhatian dalam menilai sakit jantung, tapi peningkatan jumlah penghidap dalam kalangan lelaki muda (40 tahun dan ke bawah) tidak boleh dijelaskan dengan faktor tersebut semata-mata.

Mereka yang mengalami kebotakan atau rambut beruban mempunyai kaitan dengan usia vaskular (salur darah) tanpa mengira usia kronologikal (usia anda sebenar).

Faktor tersebut menggambarkan risiko sakit jantung dari sudut biologikal.

Perkara ini turut penting bagi mengelakkan insiden penyakit jantung terus meningkat.

Sebelum kajian ini diterbitkan, saintis hanya mengukur usia biologi berdasarkan kepada usia kronologi.

Hakikatnya, kita memerlukan skala yang sah berdasarkan kepada kajian terkini bagi menambah baik keupayaan untuk meramal risiko penyakit jantung dengan lebih efisien.

Apa yang boleh dipelajari daripada kajian faktor penyakit jantung tersebut

faktor penyakit jantung

Meskipun dapatan kajian menunjukkan hubungan yang signifikan di antara masalah kebotakan dan rambut beruban dengan penyakit jantung, kajian lanjut perlu dilakukan bagi memahami kaitan di antaranya.

Sekiranya terbukti benar, maka kita berjaya mengorak langkah ke hadapan dalam usaha untuk  memahami potensi punca di sebalik peningkatan insiden penyakit jantung dalam kalangan populasi muda.

Lelaki yang mengalami masalah kebotakan dan rambut beruban perlu dipantau dengan lebih teliti.

Mereka juga perlu dididik untuk mengubah faktor gaya hidup seperti pemakanan, aktiviti sukan dan pengurusan tekanan bagi mengurangkan risiko penyakit jantung.

Penyakit jantung adalah pembunuh nombor satu di Malaysia (lelaki) dengan kadar kematian setinggi 17.8 peratus direkodkan pada tahun 2018.

Lebih teruk lagi, masalah kesihatan seperti kencing manis boleh menyebabkan simptom yang dialami oleh pesakit jantung berbeza berbanding normal.

Sebagai contoh, mereka yang mengalami masalah kencing manis teruk (tidak terkawal) boleh mengalami serangan jantung tanpa simptom sakit dada.

Dalam keadaan tersebut, pesakit tidak cenderung untuk pergi mendapatkan rawatan di hospital menyebabkan risiko kematian mereka meningkat.

Penemuan faktor risiko baharu boleh memberikan perspektif yang lebih meluas dalam penjagaan dan rawatan bagi penghidap penyakit jantung.

Konklusi

Penyakit jantung bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan lebih-lebih lagi insidennya semakin meningkat tahun demi tahun.

Terdapat pelbagai jenis faktor risiko yang dikaitkan dengannya dan baru-baru ini, kajian telah menunjukkan fokus turut perlu diberikan kepada lelaki yang mengalami masalah kebotakan dan rambut beruban pada usia muda.

Sekiranya kajian lanjut menunjukkan dapatan yang signifikan, pemeriksaan secara berkala dan pemantauan kesihatan perlu dibuat pada mereka yang mengalami keadaan tersebut.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Male-pattern baldness and premature greying associated with risk of early heart disease. (https://www.escardio.org/The-ESC/Press-Office/Press-releases/male-pattern-baldness-and-premature-greying-associated-with-risk-of-early-heart-disease?hit=wireag). Diakses pada 15 September 2020.
  2. 2019 ACC/AHA Guideline on the Primary Prevention of Cardiovascular Disease. (https://www.onlinejacc.org/content/accj/early/2019/03/07/j.jacc.2019.03.010.full.pdf). Diakses pada 15 September 2020.
  3. Healio: Preventing, Diagnosing and Treating Heart Disease in Men. (https://www.cedars-sinai.org/newsroom/healio-preventing-diagnosing-and-treating-heart-disease-in-men/). Diakses pada 15 September 2020.
  4. Heart Disease Malaysia’s Number One Killer. (https://codeblue.galencentre.org/2019/10/31/heart-disease-malaysias-number-one-killer/#:~:text=Ischaemic%20heart%20diseases%2C%20which%20can,12.8%20per%20cent%20last%20year.). Diakses pada 15 September 2020.

 

Versi Terbaru

19/04/2021

Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Tip Elak Serangan Jantung: Kena Tahu Cara Kira Bacaan Nadi Normal

Lupakan Atkins, IF @ Keto, Ada Diet Lebih Berkesan Turunkan Berat Badan!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Gabriel Tang Pei Yung

Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 19/04/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan