backup og meta

Individu Yang Selalu Makan Pedas Kurang Kena Sakit Jantung - Fakta Atau Auta?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/10/2020

    Individu Yang Selalu Makan Pedas Kurang Kena Sakit Jantung - Fakta Atau Auta?

    Kajian terbaru menunjukkan bahawa makanan pedas boleh menjadi faktor pelindung kepada masalah jantung.

    Anda semestinya sudah sedia maklum bahawa pemakanan yang seimbang merupakan kunci kepada kelanjutan usia individu.

    Konsep pinggan suku-suku separuh yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merupakan salah satu alternatif sihat yang boleh diamalkan oleh rakyat Malaysia.

    Ia bagi mengelakkan komplikasi kesihatan akibat daripada pengambilan kalori berlebihan.

    Namun adakah kalori merupakan kunci kepada kesihatan secara am atau jenis makanan yang diambil?

    Baca artikel ini untuk tahu dengan lebih lanjut.

    Insiden penyakit jantung dalam kalangan pemakan makanan pedas

    masalah jantung

    Tidak boleh disangkal lagi bahawasanya gula merupakan pembunuh nombor satu dalam dunia pemakanan.

    Pengambilannya secara berlebihan boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kronik seperti kencing manis, hipertensi dan penyakit jantung.

    Sebagai individu yang sentiasa peka dengan isu kesihatan masa kini, anda semestinya menginginkan kualiti penjagaan kesihatan yang optimum.

    Kajian terbaru yang dijalankan di Institut Neurologikal Mediterranean, Itali telah menunjukkan satu dapatan yang mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan saintis berkenaan dengan pengambilan cili dan insiden penyakit jantung.

    Kajian tersebut melibatkan sejumlah 23,000 subjek dan tempoh pemantauan telah berlangsung selama 8 tahun.

    Gaya pemakanan mereka dipantau secara berkala dan mereka yang mengambil cili secara kerap mempunyai risiko penyakit jantung 40% lebih rendah berbanding dengan subjek yang lain.

    Kajian tersebut telah diterbitkan di laman Jurnal Kardiologi dan Kolej Amerika.

    Walaupun ia merupakan  satu berita baik buat mereka yang suka makan cili, namun kajian lanjut perlu dijalankan melibatkan sampel yang lebih besar dan lokaliti yang berbeza.

    Ini bagi menguji ketepatan hipotesis tersebut seterusnya mengesahkan kesimpulan bahawa cili memang benar-benar memberikan kesan fisiologikal positif terhadap risiko penyakit jantung.

    Anda mungkin berminat:

    Capsaicin, elemen utama dalam cili cegah sakit jantung

    Ini bukan kali pertama cili dianggap sebagai makanan yang boleh mencegah masalah jantung.

    Pada awal tahun 2017, Universiti Vermont telah menerbitkan kajian yang mendapati bahawa mereka yang mengambil cili dalam diet harian mempunyai 13% risiko lebih rendah untuk mati disebabkan oleh penyakit jantung dan masalah strok.

    Antara kompaun yang menjadi tumpuan para ahli akademik adalah capsaicin.

    Ia merupakan kompaun yang wujud pada makanan yang memberikan rasa pedas kepada mereka yang memakannya.

    Capsaicin berupaya untuk mempengaruhi kadar metabolisme badan dan menggalakkan penggunaan kalori bagi mengekalkan tahap penggunaan tenaga waktu rehat (resting energy expenditure) yang lebih tinggi.

    Ini bermakna, makanan pedas boleh membantu individu bagi menurunkan berat badan.

    Capsaicin mempunyai fungsi antiradang.

    Ia berupaya membantu mengelakkan masalah jantung melalui penghindaran penyempitan arteri koronari yang membawa darah ke organ tersebut.

    Menurut Marialaura Bonaccio, penulis utama bagi kajian tersebut, apa yang menarik berkenaan dengan dapatan kajian mereka adalah, jenis diet yang diikuti oleh subjek tidak mempengaruhi kebarangkalian untuk mendapat masalah jantung. 

    Ini bermakna, mereka yang mengamalkan diet mediterranean mempunyai dapatan yang hampir sama dengan mereka yang tidak mengamalkan pemakanan seimbang sekiranya makanan pedas diambil secara kerap. Pelik kan?

    Makan cili untuk turunkan berat badan

    makan cili

    Obesiti merupakan ancaman kesihatan yang boleh menyebabkan seseorang individu itu untuk mendapat penyakit jantung.

    Oleh sebab itu, penurunan berat badan merupakan langkah pencegahan yang penting buat mereka yang mengalami masalah berat badan berlebihan.

    Kajian yang dijalankan pada tahun 2012 oleh Universiti Purdue telah menunjukkan bahawa capsaicin yang terkandung di dalam cili boleh membantu menurunkan berat badan.

    Cili mengandungi pelbagai jenis kompaun seperti capsanthin, violaxanthin, lutein dan sebagainya.

    Walau bagaimanapun, capsaicin merupakan kompaun yang paling banyak dikaji oleh para saintis.

    Dapatan kajian yang dijalankan oleh Universiti Hokkaido pada tahun 2012 telah menunjukkan bahawa pengambilan 10 gram serbuk cili boleh meningkatkan kadar pembakaran lemak badan bagi kedua-dua jantina.

    Walau bagaimanapun, pengambilan cili untuk turunkan berat badan perlu disertakan dengan pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal yang kerap.

    Ini berikutan kerana bahan kimia dan kompaun yang lain, sebagai contoh, boleh menyebabkan individu mengalami kerintangan terhadap capsaicin, sekali gus menjadikan keberkesanannya terhad. 

    Capsaicin bukanlah satu alternatif shortcut yang boleh anda ambil untuk menguruskan badan.

    Ia boleh membantu mempercepatkan proses tersebut namun bergantung kepada aspek yang lain seperti pemakanan, tidur, stres dan aktiviti fizikal. Selain daripada memberi tumpuan terhadap kompaun capsaicin, hubungan di antara berat badan dan pemalar yang lain juga perlu diambil kira.

    Makan cili untuk legakan kesakitan

    makan cili

    Percaya atau tidak, bahan bioaktif capsaicin yang terkandung di dalam cili boleh melegakan kesakitan.

    Ia merupakan salah satu daripada fungsi unik cili yang seringkali tidak diketahui oleh masyarakat umum.

    Ini berikutan ramai yang tidak suka makan cili disebabkan oleh kesakitan yang terasa pada lidah.

    Jangan risau, lama-kelamaan lidah anda akan rintang terhadap kesakitan tersebut.

    Oleh sebab itulah ramai orang mempunyai tahap ketahanan yang berbeza apabila mengambil makanan pedas.

    Capsaicin berupaya untuk berinteraksi dengan reseptor kesakitan.

    Ini akan menyebabkan timbulnya rasa sakit seakan-akan terbakar walaupun tiada luka kebakaran secara nyata.

    Jika anda merupakan seorang yang kerap mengambil makanan pedas, lama-kelamaan reseptor tersebut akan menjadi nyahpeka (desensitize).

    Ini akan mengakibatkan penurunan pada kebarangkalian untuk mendapat rasa terbakar selepas mengambil makanan pedas.

    Menurut kajian yang diterbitkan di New England Journal of Medicine pada tahun 2002, pengambilan 2.5 gram cili oleh 30 individu yang mengalami masalah pedih ulu hati menyebabkan kesakitan dalam tempoh 5 minggu.

    Namun, selepas tempoh masa tersebut, kesakitan itu berkurangan dan hilang.

    Kajian ini menunjukkan kebolehan reseptor sakit untuk menjadi nyahpeka apabila diberikan stimulasi yang sama secara kerap.

    Kajian tersebut telah disokong oleh satu kajian lain yang dijalankan pada tahun 2009. Dalam kajian itu, 3 gram cili telah diberikan kepada penderita sakit ulu hati.

    Kesakitan tersebut berkurangan dalam 6 minggu. Namun, fenomena nyahpeka tersebut tidak kekal.

    Ia kebiasaannya akan berbalik kepada keadaan asal jika makanan pedas tidak diambil dalam tempoh masa 3 hari.

    Kesimpulan

    Berkenaan dengan sama ada makanan pedas boleh melindungi seseorang individu itu daripada penyakit jantung, ia perlu diselidiki dengan lebih teliti.

    Walaupun manfaat makanan pedas telah dibuktikan dalam pelbagai jenis kajian.

    Namun terdapat beberapa kajian lain yang tidak mempunyai dapatan yang sama, bahkan bertentangan. 

    Mungkin makanan cili boleh mencegah penyakit jantung, namun tanpa kawalan pengambilan kalori yang baik, risiko untuk seseorang itu mendapat penyakit jantung tetap tinggi.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 09/10/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan