Bagaimana boleh terjadinya kuku kaki hitam dan bolehkah kalian mencegahnya?
Setelah jauh berjalan atau berlari, pernahkah kalian lihat perubahan pada warna kuku pada jari kaki menjadi hitam, biru, atau bahkan kelabu? Ini tanda anda alami runner’s toe!
Apa itu runner’s toe? Ia adalah keadaan di mana kawasan di bawah dan di sekitar kuku mulai berubah menjadi kehitaman.
Ia berlaku apabila kawasan tertentu ditekan atau dihentak secara berulang kali.
Tidak terhad kepada aktiviti bersukan, runner’s toe juga boleh berlaku apabila anda terlanggar pintu atau terjatuhkan objek pada kaki.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkannya di sini.
Kuku kaki hitam, bagaimana kejadiannya?
Kerosakan berlaku apabila kuku kaki anda secara berulang kali bersentuhan dengan bahagian depan atau sisi kasut dengan impak yang kuat.
Secara ringkasnya, warna kehitaman atau gelap yang anda lihat di bawah kuku kaki adalah kesan lebam atau darah.
Kebiasaannya, kuku kaki hitam tidak terlalu menyakitkan, namun kadangkala kesan trauma pada jari boleh menimbulkan tekanan, yang membawa kepada rasa sakit.
Lepuh darah juga berupaya terbentuk di bawah kuku kaki akibat impak trauma dan geseran. Ini boleh menyebabkan kuku untuk terangkat yang akhirnya membuatkannya tercabut.
Kuku kaki yang hitam, longgar atau tercabut menjadi antara kecederaan yang acap kali berlaku dalam kalangan pelari, terutamanya mereka yang sering menyertai maraton atau larian berjarak jauh.
Pun begitu, usah terlalu khuatir kerana keadaan ini boleh sembuh apabila kekerapan latihan dikurangkan atau anda berehat daripadanya.
Punca-punca runner’s toe lain
Jangkitan kulat juga boleh memicu perubahan warna pada kuku daripada warna kelabu menjadi biru, coklat, atau hitam.
Rawatan anti kulat mudah diperolehi di kaunter, tetapi pastikan untuk menemui doktor jika rawatan ini didapati tidak berkesan selepas beberapa minggu penggunaan.
Selain itu, penyebab kuku hitam yang jarang berlaku adalah sejenis kanser malignant subungual melanoma.
Tidak seperti trauma pada kuku kaki anda, keadaan ini tidak muncul secara mengejut.
Sebaliknya, anda akan melihat garis atau jalur hitam yang memanjang ke kuku dari kulit kuku (cuticle).
Satu perbezaan antara jenis kanser ini dan trauma kuku kaki yang biasa adalah garis hitam tersebut.
Jadi, rujuk doktor sekiranya anda bimbang sama ada kondisi yang dialami menjadi petanda kanser jenis ini.
Baca juga:
5 cara berkesan cegah runner’s toe
#1 Pakai kasut yang sesuai
Seperti kecederaan sukan lain, kebanyakan masalah yang melanda para pelari berpunca daripada pemakaian kasut sukan yang salah.
Pemakaian kasut yang tepat amat mustahak untuk penjagaan kaki dan kuku.
Walaupun tawaran sale yang hebat boleh didapati pada pakaian sukan seperti jaket dan headbands, anda tidak digalakkan untuk membeli sesuatu kasut hanya kerana ia sedang murah.
Kasut yang murah sering kali diperbuat daripada bahan kurang berkualiti, menyebabkan ia mudah rosak.
Balik-balik, anda terpaksa melabur lagi duit untuk membeli kasut baharu, rugi bukan?
Untuk mengelakkan runner’s toe, elak juga membeli kasut dengan saiz yang ‘muat-muat’. Pilih saiz yang mempunyai ruang lebihan di hujung agar jari-jari kaki tidak mudah tertekan.
Pada masa yang sama, jangan beli yang terlalu besar pula ya!
#2 Potong kuku kaki!
Kuku kaki yang pendek akan memastikan perkara pertama yang menerima impak hentakan, adalah jari kaki di dalam kasut, bukan kuku anda.
Semakin pendek kuku, semakin kecil kemungkinannya untuk bersentuhan dengan mana-mana bahagian kasut.
Namun, berhati-hati agar tidak memotongnya terlalu pendek kerana anda mungkin berhadapan masalah lain seperti kuku kaki yang tumbuh ke dalam (ingrown nail).
Potong kuku secara lurus supaya kulit di sekitarnya tidak tumbuh di celahan.
#3 Ikat tali kasut dengan betul
Walaupun anda sudah memiliki sepasang kasut lari yang tepat, cara pengikatan tali yang betul masih memainkan peranan penting.
Bukankah sama saja cara mengikat tali kasut sukan dengan kasut biasa?
Ya, namun untuk berlari, terutama yang berjarak jauh, datang pelbagai cabaran baru yang harus anda titikberatkan sebagai langkah pencegahan.
Kajian menunjukkan, kaedah mengikat boleh mempengaruhi kesan tekanan pada kaki dengan ketara.
Sebelum menaiki treadmill atau berjoging, ikatan tali kasut anda perlulah:
- Boleh membenarkan aliran darah yang betul
- Mempunyai ruang untuk fleksibiliti
- Mempunyai ketahanan yang cukup untuk mengelakkan pergeseran
- Elakkan memberi tekanan pada kawasan yang lemah
- Pastikan tumit kekal stabil untuk elak buku lali terseliuh
#4 Pakai stoking yang bersesuaian
Jari-jari kaki yang lembap dan licin, berisiko mengakibatkan kaki anda meluncur ke bahagian hujung kasut, lantas memicu tekanan yang lebih kuat.
Cegah perkara ini dengan memakai sarung kaki (stoking) berkualiti untuk kurangkan geseran dan mencegah kelembapan yang boleh merosakkan kulit dan kuku anda.
#5 Gunakan pelindung jari kaki
Pelindung silikon berupaya melindungi kaki daripada geseran dan bantu menyerap sebahagian tekanan daripada berjalan atau berlari.
Ia boleh diregangkan mengikut jari dan menutupnya secara penuh dari semua sisi.
Tambah lagi, pelindung silikon bagus untuk penyerapan hentakan dan menghentikan geseran yang berupaya memicu lepuh.
Jadi, jika anda gemarkan aktiviti berlari, jangan culas tentang penjagaan jari kaki anda. Elak kuku kaki hitam dengan mengikuti tip yang kami sediakan di atas ini.