backup og meta

Selain Larian Dan Sukan Lompat, Ini 9 Faktor Lain Boleh Buat Tulang Kaki Anda Retak!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 30/08/2022

    Selain Larian Dan Sukan Lompat, Ini 9 Faktor Lain Boleh Buat Tulang Kaki Anda Retak!

    Masalah tulang kaki retak garis rambut (hairline fracture) lazim berlaku dalam kalangan atlet terutamanya mereka yang menceburi sukan larian atau lompatan.

    Turut dikenali sebagai retak stres, ia adalah keadaan kesihatan yang menyebabkan rekahan kecil atau lebam teruk pada struktur tulang.

    Selain daripada atlet, mereka yang menghidap masalah osteoporosis turut berisiko mengalami keadaan ini.

    Artikel ini akan memfokuskan kepada maklumat berkenaan dengan masalah tulang retak garis rambut. Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.

    Simptom tulang kaki retak garis rambut 

    Lazimnya, retak garis rambut berlaku pada tulang yang mengalami kontak secara kerap dengan permukaan.

    Ini bermakna, tulang kaki sangat berisiko mengalami masalah ini memandangkan ia menyerap tekanan ketika anda sedang berlari atau melompat.

    Dalam struktur kaki, tulang yang lebih berisiko mengalami keretakan seperti ini adalah tulang metatarsal kedua dan ketiga (jari kaki kedua dan ketiga) bagi kedua-dua belah kaki.

    Perkara ini berlaku disebabkan oleh struktur tulang itu sendiri yang nipis. Kawasan tersebut juga lazimnya menjadi titik pusat penyerapan impak ketika anda mengenakan daya terhadap kaki untuk memecut atau melompat.

    Selain daripada tulang metatarsal, anda juga boleh mengalami keretakan garis rambut pada:

    1. Tumit
    2. Tulang buku lali
    3. Tulang navikular, terletak pada bahagian tengah kaki

    Simptom utama bagi masalah tulang retak garis rambut adalah rasa sakit yang semakin teruk jika anda tidak berhenti melakukan aktiviti (larian, lompatan dan lain-lain).

    Kesakitan yang dialami akan menjadi semakin teruk semasa melakukan aktiviti namun ia beransur reda semasa anda sedang berehat.

    Simptom lain yang boleh dialami adalah:

    1. Sakit ketika disentuh
    2. Bengkak
    3. Lebam

    Selain atlet sukan larian dan lompatan, siapa berisiko untuk mendapat masalah ini?

    sukan larian

    Seperti yang anda sedia maklum, masalah tulang kaki retak sebegini boleh berlaku akibat aktiviti yang berulangan.

    Lebih teruk lagi jika durasi dan kekerapan aktiviti tersebut tinggi membuatkan kawasan yang terdedah lebih mudah mendapat masalah retak.

    Jika anda beranggapan bahawa mereka yang menceburi sukan larian dan lompatan sahaja berisiko mengalami masalah ini, anda silap.

    Berikut merupakan faktor risiko yang turut meningkatkan kebarangkalian anda untuk mendapat masalah tulang retak garis rambut:

    • Sukan berimpak tinggi seperti bola lisut, tenis, tarian dan gimnastik
    • Jantina. Atlet wanita lebih berisiko mengalami masalah ini lebih-lebih lagi jika mereka mengalami keadaan yang digelar ‘triad atlet wanita’. Dalam triad tersebut, diet ekstrem dan sukan boleh menyebabkan mereka terdedah kepada kecelaruan pemakanan, disfungsi kitaran haid dan osteoporosis pramatang
    • Masalah struktur kaki seperti kaki rata, lengkungan kaki tinggi dan sebagainya
    • Masalah tulang rapuh atau keadaan kesihatan yang mempengaruhi kekuatan tulang
    • Pernah mengalami retak garis rambut
    • Masalah kekurangan nutrien yang penting untuk kekuatan tulang seperti vitamin D dan kalsium
    • Teknik sukan yang tidak betul
    • Perubahan pada permukaan tempat bersukan
    • Peralatan atau kelengkapan yang tidak bersesuaian dengan aktiviti sukan

    Bagaimana cara untuk merawat tulang retak garis rambut?

    tulang kaki retak

    Anda boleh mencuba beberapa teknik perubatan awal sebelum berjumpa dengan doktor bagi melegakan kesakitan.

    Antara yang paling kerap digunakan adalah metod RICE.

    RICE adalah teknik perubatan mudah bagi melegakan kesakitan yang terdiri daripada:

    1. Rest (rehat)
    2. Ice (Ais)
    3. Compression (Beri tekanan)
    4. Elevation (Angkat naik)

    Selain itu, anda juga boleh mengambil ubat tahan sakit seperti ibuprofen dan aspirin.

    Bagi mereka yang baru pertama kali hendak menggunakan ubat ini, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor terlebih dahulu.

    Ia bagi memastikan tiada kontraindikasi untuk anda menggunakannya bagi mengelakkan kesan sampingan dan tindak balas alergi.

    Sekiranya tahap kesakitan tersebut menjadi semakin teruk atau tidak sembuh dengan rehat, anda perlu mendapatkan rawatan daripada doktor.

    Bergantung kepada lokasi dan tahap keterukan tulang retak, anda mungkin akan disarankan untuk berjalan menggunakan crutches.

    Lazimnya, keretakan tersebut akan mengambil masa 6 hingga 8 minggu untuk sembuh.

    Maka anda juga perlu mengubah paten aktiviti sukan sepanjang tempoh rehat.

    Dalam kes yang lebih teruk, doktor mungkin akan menyarankan prosedur pembedahan untuk memasang pin atau skru sokongan bagi memaksimumkan proses penyembuhan tulang.

    Konklusi

    Jika anda mengalami rasa sakit selepas melakukan senaman, langkah bijak adalah untuk berehat seketika.

    Sekiranya rasa sakit tersebut hilang, anda boleh memilih untuk meneruskan aktiviti. 

    Namun jika masih rasa sakit walaupun sudah lama berehat, anda boleh mencuba teknik RICE untuk melegakan kesakitan.

    Rujukan kepada doktor untuk pemeriksaan tulang dan sebagainya boleh dibuat jika rasa sakit masih tidak hilang bahkan menjadi bertambah teruk.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 30/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan