backup og meta

Tangan Dan Kaki Muncul Ketuat? Ini Punca & Cara Merawatnya

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/06/2023

    Tangan Dan Kaki Muncul Ketuat? Ini Punca & Cara Merawatnya

    Pernahkah anda mendengar mengenai penyakit mata ikan di kaki? Jika belum, ini penerangan ringkas berkenaan punca dan rawatan mata ikan di telapak kaki atau ketuat.

    Teruskan pembacaan anda menerusi artikel di bawah ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.

    Apa itu penyakit mata ikan di kaki?

    Ada yang menyebutnya sebagai penyakit mata ikan di telapak kaki. Namun, ada juga yang menyebutnya sebagai ketuat sahaja.

    Ya, kedua-duanya adalah penyakit yang sama.

    Ia merupakan sejenis benjolan keras dan kasar yang sering muncul pada kawasan tekanan kulit yang berulang seperti pada bahagian tapak kaki, jari kaki atau di tepi telapak kaki.

    Benjolan ketuat mempunyai bahagian tengah yang keras, yang dikelilingi dengan kulit meradang.

    Ada jenis ketuat yang tidak menyebabkan rasa sakit dan ada juga yang akan berasa sakit apabila disentuh.

    Walaupun ia lebih kerap muncul pada bahagian tapak kaki, namun ia juga boleh terbentuk di sekitar kawasan tubuh yang lain seperti jari, tapak tangan dan juga muka anda. 

    Siapakah yang berisiko mendapat ketuat?

    mata ikan di kaki

    Penyakit mata ikan di kaki ini boleh berlaku pada sesiapa sahaja.

    Namun, ada beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat penyakit mata ikan.

    Antaranya ialah:

  • Individu dengan sistem imun yang lemah
  • Kanak-kanak atau remaja
  • Pernah mengalami ketuat sebelum ini
  • Memiliki kulit kaki yang pecah
  • Tidak memakai stoking kaki
  • Kerap berjalan tanpa memakai selipar atau kasut
  • Sering memakai kasut yang terlalu ketat atau longgar
  • Mempunyai penyakit Hammertoe (kecacatan pada jari kaki yang menyebabkan jari menjadi bengkok)
  • Mempunyai penyakit Bunions (benjolan tulang yang tidak normal yang terbentuk pada sendi jari kaki)
  • Dalam kebanyakan kes, mata ikan di kaki ini bukanlah satu penyakit yang serius.

    Namun, jika ia tidak dirawat dengan baik, ia boleh menyebabkan anda berasa tidak selesa sepanjang masa, lebih-lebih lagi ketika berjalan atau membuat sebarang aktiviti fizikal.

    Ini punca yang menyebabkan ketuat terbentuk!

    Penyakit mata ikan di kaki ini termasuk dalam gangguan kesihatan kulit yang berpunca oleh jangkitan virus HPV (Human papillomavirus).

    Jika anda belum tahu, virus HPV merupakan virus yang sama penyebab jangkitan kelamin dan juga kanser serviks.

    Namun, virus HPV itu sendiri mempunyai banyak jenis. Virus HPV yang menyebabkan kejadian ketuat tidak sama dengan jenis virus HPV penyebab jangkitan kelamin.

    Oleh itu, anda tidak perlu risau jika ketuat pada kaki atau tangan boleh menyebabkan kanser serviks kerana ia merupakan jenis virus HPV yang berbeza.

    Untuk makluman, anda boleh mendapat ketuat disebabkan oleh beberapa perkara.

    Anda boleh dijangkiti virus HPV melalui luka kecil atau dalam persekitaran yang hangat dan lembap.

    Selain itu, anda juga boleh dijangkiti dengan ketuat jika bersentuhan secara langsung dengan mereka yang mempunyai ketuat.

    Apabila virus HPV telah memasuki kulit, ia boleh membiak dan menyebarkan ketuat dengan cepat pada permukaan kulit. 

    Rawatan mata ikan di kaki

    mata ikan di kaki

    Terdapat beberapa kaedah yang berkesan untuk menghilangkan atau merawat penyakit ketuat. Antaranya ialah:

    #1. Guna ubat ketuat yang dijual di farmasi

    Jika anda mengalami ketuat, anda boleh mengubatinya sendiri di rumah dengan menggunakan ubat ketuat yang dijual di farmasi.

    Terdapat pelbagai jenis ubat ketuat yang boleh didapati di farmasi seperti ubat cecair, gel, pad mahupun plaster.

    Biasanya, ubat ketuat ini mengandungi asid salisilik. Asid salisilik boleh membantu melembutkan lapisan kulit mati lalu menyebabkan ketuat mudah untuk ditanggalkan.

    Malah, ubat ketuat boleh dikatakan sebagai ubat yang ringan sifatnya dan tidak menyebabkan rasa sakit sewaktu dipakai. 

    #2. Berjumpa dengan doktor

    Cara yang paling baik dan tepat untuk merawat mata ikan di telapak kaki adalah berjumpa dengan doktor.

    Anda sangat disarankan untuk berjumpa dengan doktor jika mengalami salah satu daripada gejala-gejala ini:

    • Bahagian yang dijangkiti ketuat terasa sakit atau terdapat perubahan warna pada kawasan tersebut
    • Anda mempunyai sistem imun tubuh yang rendah disebabkan penyakit seperti HIV, AIDS, kencing manis atau gangguan sistem imun yang lain
    • Anda mempunyai kutil pada wajah atau bahagian tubuh lain yang sensitif seperti alat kelamin, mulut dan juga lubang hidung

    Doktor akan melakukan pemeriksaan pada kulit yang dijangkiti.

    Jika perlu, doktor mungkin akan mengambil sampel kulit untuk pemeriksaan dan analisis lanjut. 

    Cara elakkan jangkitan ketuat

    mata ikan di kaki

    Berikut adalah antara cara-cara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan risiko mendapat penyakit mata ikan di kaki:

    1. Pakai kasut yang bersesuaian dengan saiz kaki anda. Elakkan kasut yang terlalu ketat atau terlalu longgar bagi mengelakkan tekanan berlebihan pada kulit kaki.
    2. Elakkan berjalan kaki tanpa sebarang perlindungan seperti stoking, selipar mahupun kasut, lebih-lebih lagi jika anda berjalan di atas permukaan yang panas dan juga lembap.
    3. Jangan sesekali memicit, memotong atau menarik ketuat yang ada pada kulit anda.
    4. Cuci tangan yang telah bersentuhan dengan ketuat untuk mengelakkan jangkitan merebak.
    5. Basuh kaki anda dengan menggunakan sabun dan berus setelah memakai kasut. Bilas sehingga kering dan pakai krim pelembap untuk melembutkan kulit kaki anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 19/06/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan