Ibu Jari Kaki Sakit Sampaikan Nak Pakai Kasut Pun Susah? 4 Punca Ini Mungkin Penyebabnya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 4 minggu lalu

    Ibu Jari Kaki Sakit Sampaikan Nak Pakai Kasut Pun Susah? 4 Punca Ini Mungkin Penyebabnya!

    Mengapa ibu jari kaki sakit? Untuk pengetahuan anda, sakit di kawasan ibu jari boleh berlaku disebabkan beberapa perkara. Sebagai contoh, penyakit seperti artritis, gout atau cagu boleh menyebabkan kawasan ibu jari kaki berdenyut sakit.

    Dalam artikel kali ini, kami akan terangkan mengenai punca ibu jari sakit dan bila anda perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.

    4 punca ibu jari kaki sakit

    Eh, kenapa ibu jari kaki berdenyut sakit ni?

    Jangan risau, selalunya kesakitan ini tidak kekal lama. Ia akan hilang dengan sendirinya atau pulih selepas mengambil ubat tahan sakit.

    Tetapi, bagaimana jika sebaliknya yang berlaku?

    Jika sakit tersebut tidak pulih-pulih, besar kemungkinan anda perlukan rawatan lanjut daripada pakar, terutamanya jika kesakitan tersebut berlaku selepas kemalangan sehingga menyebabkan kehilangan sensasi pada kawasan ibu jari.

    Di bawah, kami terangkan 4 punca paling lazim kecederaan di kawasan ibu jari kaki:

    1. Kuku cengkam

    ibu jari kaki sakit

    Kuku cengkam atau cagu merupakan antara punca utama ibu jari kaki sakit. Ia boleh berlaku jika anda potong kuku terlalu pendek sehingga ia ‘menikam’ atau tumbuh ke dalam daging sendiri.

    Individu yang sering memakai kasut ketat juga lebih berisiko mengalami kuku cengkam.

    Kuku cengkam boleh menyebabkan komplikasi yang serius, terutamanya jika anda menghidap diabetes. Ia boleh merosakkan saraf pada kawasan kaki dan menghalang pengaliran darah.

    Malah, luka yang tidak sembuh sepenuhnya boleh terkena jangkitan sebelum melarat menjadi lebih teruk.

    Selalunya, kuku cengkam boleh dirawat tanpa sebarang pembedahan. Doktor mungkin akan membekalkan ubat tahan sakit dan meminta anda untuk merendam kaki dalam air hangat 2-3 kali sehari bagi mengurangkan kesakitan.

    2. Gout punca ibu jari kaki sakit

    ibu jari kaki sakit

    Sering rasa sakit yang mencucuk pada ibu jari kaki terutamanya pada waktu tengah malam? Jaga-jaga, ini merupakan salah satu simptom gout!

    Gout merupakan satu bentuk keradangan yang boleh mendatangkan kesakitan. Ia selalunya akan menyerang satu bahagian sendi pada satu-satu masa, selalunya sendi pada kawasan ibu jari.

    Ada masanya, simptom gout akan menjadi teruk. Kadangkala, ia boleh hilang begitu sahaja tanpa sebarang pengambilan ubat-ubatan.

    Jika anda sering diserang gout, elakkan pengambilan makanan yang kaya dengan purin seperti daging merah, kerang-kerangan dan minuman beralkohol. Purin akan diuraikan oleh badan kepada asid urik – sejenis bahan yang akan membuatkan serangan gout menjadi lebih teruk.

    3. Jari patah atau terseliuh

    Jika ibu jari anda sakit selepas bersukan atau kemalangan tertentu, mungkin ia terseliuh atau patah tanpa disedari.

    Selalunya, jari yang patah atau terseliuh akan menyebabkan kesakitan di sekeliling jari. Malah, ia juga akan mula membengkak, memerah dan rasa sakit apabila disentuh. Anda juga mungkin akan mengalami kesukaran untuk menggerakkan ibu jari kaki.

    Sebarang kecederaan yang berlaku disebabkan trauma mengambil masa berminggu-minggu untuk sembuh.

    Pastikan anda mendapatkan rehat yang mencukupi. Selain itu, jangan lupa jumpa doktor untuk rawatan selanjutnya.

    4. Turf toe buat ibu jari kaki sakit

    Apa itu turf toe? Turf dalam Bahasa Melayu bermaksud rumput. Turf toe atau ibu jari terkehel merupakan kecederaan lazim yang berlaku dalam sukan yang dimainkan di atas rumput seperti bola sepak dan sebagainya.

    Namun, sukan lain seperti berlari, menari dan juga bola keranjang juga boleh mengakibatkan kecederaan yang sama.

    Ibu jari boleh terkehel jika ligamen ‘tertarik’ melebihi julat pergerakannya yang normal.

    Kecederaan semasa sukan adalah punca utama turf toe. Walau bagaimanapun, kondisi ini juga boleh berlaku secara beransur-ansur disebabkan latihan yang terlalu kerap.

    Baca juga:

    Bila saya perlu berjumpa doktor

    ibu jari kaki sakit

    Pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin jika sakit pada kawasan ibu jari berlaku disebabkan kecederaan tertentu.

    Jika kaki anda terseliuh atau tulang retak, rawatan perlu diberikan secepat mungkin untuk mengelakkan jangkitan.

    Selain itu, perhatikan juga tanda-tanda seperti:

    1. Bengkak pada kawasan ibu jari.
    2. Ibu jari bernanah.
    3. Badan rasa panas dan menggigil.
    4. Ibu jari kebas atau sering alami sesemut.

    Bagi mereka yang mengalami simptom di atas, sebarang masalah ibu jari kaki sakit perlulah dirujuk doktor secepat mungkin. Ia mungkin menandakan penyakit lain yang lebih serius.

    Sebagai contoh, sakit pada kawasan jari kaki merupakan masalah besar untuk mereka yang menghidap diabetes.

    Kencing manis boleh menyebabkan sebarang kecederaan pada kawasan kaki menjadi semakin teruk dan melarat jika tidak dirawat.

    Oleh sebab itu, penghidap diabetes yang mengalami kecederaan pada kawasan kaki perlulah dipantau dengan rapi.

    Jumpa doktor jika ibu jari kaki sakit dan berdenyut lebih dari 2 minggu.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 4 minggu lalu

    Iklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    Iklan
    Iklan
    Iklan