Kulit mengelupas bukanlah perkara yang asing. Dari masa ke masa, ia boleh berlaku atas pelbagai faktor yang berbeza. Namun bagaimana pula jika kulit tangan mengelupas?
Kulit yang mengelupas sering kali diakibatkan oleh kekerapan pendedahan kepada unsur-unsur tertentu di persekitarannya.
Pun begitu, ia juga boleh menjadi satu indikasi yang perlu diberikan perhatian kerana khuatir akan mengakibatkan keadaan yang lebih kronik.
Sekiranya berminat, teruskan pembacaan anda untuk mengetahui antara kemungkinan punca kulit tangan mengelupas berserta rawatan yang boleh dilakukan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Kulit, sila dapatkan di sini.
Pendedahan terhadap elemen persekitaran
Kadangkala, kulit tangan mengelupas boleh disebabkan oleh elemen yang wujud di persekitaran kita sendiri.
Berikut adalah beberapa contoh untuk dikenal pasti:
#1 Iklim
Ya, perubahan cuaca sama ada panas, berangin, kelembapan tinggi atau rendah berupaya mempengaruhi kulit tangan kita.
Contohnya, udara kering di kawasan tertentu boleh menyebabkan kulit tangan kering, merekah, dan mengelupas.
Justeru, di kawasan iklim yang kering atau bercuaca sejuk, kalian boleh mencegah kulit kering serta mengelupas dengan cara:
- Menggunakan air sejuk atau suam semasa mandi/mencuci tangan
- Memakai pelembap selepas mandi
- Menggunakan humidifier ketika cuaca sejuk
#2 Matahari
Jika tangan anda terlalu kerap terdedah dengan cahaya matahari, kulit di bahagian belakang tangan akan mula menjadi kemerahan dan berasa sakit atau panas saat disentuh.
Beberapa hari kemudian, berlaku kemungkinan lapisan atas kulit yang rosak di bahagian belakang tangan anda untuk mula mengelupas.
Namun usah risau, kesan selaran matahari cukup senang dirawat! Hanya dengan menggunakan krim pelembap dan kompres sejuk, pengelupasan akan mereda.
Opsyen lain, ubat tahan sakit di kaunter seperti acetaminophen atau ibuprofen turut boleh diambil jika anda mengalami kesakitan.
Ingat, elakkan terdedah kepada selaran matahari secara berterusan dengan menggunakan dan mengaplikasikan semula krim pelindung matahari yang bersesuaian serta tidak merengsakan kulit.
Sunblock yang bagus harus mempunyai sun protection factor (SPF) sekurang-kurangnya 30.
#3 Overwashing (pencucian berlebihan)
Benar, mencuci tangan adalah amalan yang baik dan amat digalakkan, lebih-lebih lagi dalam musim pandemik sebegini.
Tetapi overwashing atau pencucian secara berlebihan membawa kemudaratan! Perbuatan ini menyumbang kepada masalah kulit tangan mengelupas dan kering.
Overwashing turut merangkumi:
- Penggunaan air yang terlalu panas
- Menggunakan sabun dengan bahan kimia kuat
- Mengeringkan kulit dengan tuala kertas kasar
- Tidak melembapkan kulit usai pencucian
Maka, untuk mengelakkan kerengsaan akibat pencucian yang berlebihan, elakkan daripada terjebak dengan perbuatan ini.
Melembapkan kulit selepas pencucian dengan krim pelembap tanpa wangian adalah pilihan yang bijak!
#4 Bahan kimia
Bahan kimia, seperti wangian yang terdapat dalam sabun, syampu, dan pelembap, berpotensi merengsakan kulit, lantas mengakibatkan pengelupasan.
Tambah lagi, kulit anda juga boleh teriritasi oleh elemen antibakteria dan bahan pengawet dalam produk tertentu.
Antara perengsa yang kerap menjadi punca adalah bahan kimia keras yang mungkin anda gunakan di tempat kerja, seperti pelekat, detergen, atau pelarut.
Untuk menghentikan kerengsaan yang berterusan, anda harus mengelakkan sebarang kontak dengan perengsa yang dapat dikenal pasti.
Berhenti menggunakan produk atau kombinasi bahan tertentu sehingga kerengsaan yang dialami mereda dan tidak berulang lagi.
Masalah kesihatan yang menyebabkan kulit tangan mengelupas
Selain kemungkinan punca-punca di atas, kulit tangan mengelupas turut boleh menjadi kondisi yang perlu diberikan perhatian.
Ia boleh menjadi indikasi kepada masalah-masalah kesihatan yang lebih serius seperti:
#1 Reaksi alahan
Kerengsaan yang menyebabkan kesan lebam, kemerahan, kegatalan dan pengelupasan boleh berlaku dek sentuhan langsung antara kulit tangan dan alergen (bahan yang memicu alergi).
Untuk makluman pembaca, kondisi ini dikenal pasti sebagai dermatitis sentuh alergik.
Alergen sering kali terkandung di dalam:
- Pencuci pakaian
- Syampu
- Sabun
- Pelembut kain
Selain di dalam bahan pencuci, dermatitis sentuh alergik juga boleh disebabkan oleh:
- Kontak dengan jenis logam tertentu, seperti nikel
- Tanaman
- Pemakaian sarung tangan getah
Untuk menghentikan reaksi alergi ini, anda mesti mengenal pasti dan mengelakkan kontak dengan alergen sama sekali!
Exfoliative keratolysis
Kondisi ini sering mempengaruhi orang muda yang aktif, exfoliative keratolysis adalah keadaan kulit yang bercirikan oleh kulit mengelupas di telapak tangan dan kadangkala, tapak kaki.
Biasanya, rawatan untuk exfoliative keratolysis merangkumi:
- Perlindungan daripada perengsa seperti detergen dan pelarut
- Krim tangan yang mengandungi asid laktik atau urea
Psoriasis
Psoriasis, sejenis penyakit kulit tangan mengelupas yang kronik di mana sel-sel kulit tumbuh dengan kadar lebih cepat berbanding kebiasaan.
Kondisi ini menghasilkan plak-plak merah, berserta permukaan kulit yang bersisik dan pengelupasan.
Jika mengesyaki anda mempunyai psoriasis di tangan, kunjungilah doktor atau pakar dermatologi. Mereka mungkin akan mengesyorkan:
- Steroid topikal
- Retinoid topikal
- Suplemen vitamin D
Bila anda perlu berjumpa doktor?
Sekiranya kulit tangan anda yang mengelupas berpunca daripada elemen persekitaran yang terkawal seperti pendedahan kepada cahaya matahari atau pencucian melampau, anda mungkin boleh merawatnya di rumah dengan:
- Menggunakan pelembap di kaunter
- Melakukan perubahan tingkah laku
- Mengelakkan kontak dengan perengsa
Namun, sekiranya anda sendiri tidak pasti dengan punca pencetus kondisi kulit tangan mengelupas, anda disarankan untuk merujuk doktor atau pakar dermatologi sebelum mencuba sebarang rawatan di rumah.
Di samping itu, lakukan juga janji temu bersama pakar sekiranya timbul tanda-tanda jangkitan, seperti:
- Demam
- Kulit kemerahan
- Kesakitan yang bertambah parah
- Keluar nanah