“Ibu, tangan abang gatal-gatal lah. Lepas tu ada bintik-bintik merah. Kenapa ni?”…..
Sebagai ibu, adakah anda boleh mengagak kondisi anak anda ini? Semasa berada di rumah, tidak pula anak anda mengalami keadaan sebegini, tetapi lain pula sejak dia tinggal di asrama.
Anda masih keliru? Baca penerangan mengenainya di bawah ini.
Kudis buta?
Ya, kondisi yang sedang anak anda alami adalah satu keadaan yang disebut sebagai kudis buta, atau nama lainnya, scabies. Ia adalah satu serangan kulit yang disebabkan oleh sejenis hama, Sarcoptes scabiei.
Untuk pengetahuan semua, hama ini boleh tinggal di dalam kulit dengan tempoh beberapa bulan jika ia tidak dirawat.
Bagaimana hama ini boleh membiak? Ia membiak dan ‘menggali’ di atas permukaan kulit anda lalu menghasilkan telur di dalam lubang kulit tersebut. Kulit akan memberikan reaksi terhadap hama dan sisa hama ini. Inilah yang akan menyebabkan rasa gatal-gatal dan terbentuknya ruam merah pada kulit tersebut.
Anda tidak akan dapat lihat hama dengan mata kasar, tetapi anda boleh melihat kesan kehadirannya melalui pembentukan ruam dan kegatalan.
Adakah kudis buta boleh berjangkit?
Ya, malah ia amat mudah untuk menjangkiti individu lain. Hanya melalui sentuhan fizikal dengan individu yang dijangkiti, anda mungkin akan mendapat kudis ini dengan amat mudah. Selain itu, ia juga mudah dijangkiti melalui pakaian, perabot dan juga tempat tidur.
Oleh sebab itu, pelajar yang tinggal di asrama amat mudah untuk dijangkiti dengan kudis buta. Sentuhan fizikal dan perkongsian bantal atau tilam menjadi punca mengapa ia mudah menjangkiti pelajar-pelajar lain di asrama.