backup og meta

Ada Masalah Kelemumur Di Kepala? Ini Pilihan Syampu Yang Betul Untuk Merawatnya!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 30/08/2022

    Ada Masalah Kelemumur Di Kepala? Ini Pilihan Syampu Yang Betul Untuk Merawatnya!

    Pernahkah orang lain menegur bahawa terdapat banyak butir berwarna putih pada bahu anda? Jika ya, anda mungkin mengalami masalah kelemumur!

    Ia bukan sahaja akan membuat anda tersipu malu namun juga akan menyebabkan kegatalan malahan kesakitan jika tidak dirawat dengan kadar segera.

    Sebenarnya, untuk merawat masalah kelemumur bukanlah sesukar mana dan anda mungkin hanya perlu menggunakan syampu rambut yang tepat sahaja.

    Jom kita semua sama-sama ikuti artikel ini untuk tahu lebih lanjut tentangnya!

    Apa itu masalah kelemumur?

    Untuk pengetahuan anda, kelemumur adalah satu kondisi kulit kepala yang menyebabkan terbentuknya kepingan berwarna putih yang melekat.

    Ia berlaku disebabkan oleh proses kulit kepala yang menggelupas dengan lebih cepat berbanding tempoh waktu yang sepatutnya.

    Sel kulit lama akan mati lantas meninggalkan tempat untuk yang baru dan jika proses ini dipercepatkan, maka kondisi ini akan berlaku.

    Minyak yang dihasilkan oleh kulit kepala anda pula akan menyebabkan sel-sel mati melekat bersama, membentuk kepingan berwarna putih.

    Kesannya, anda akan mendapati banyak keruping putih melekat pada kulit kepala dan berguguran jatuh ibarat salji jika rambut disisir atau disikat.

    Selain itu, wujudkah faktor risiko lain yang boleh mendalangi masalah kelemumur ini?

    Apa punca masalah kelemumur?

    Seperti mana yang telah kami nyatakan di atas tadi, kondisi ini disebabkan oleh proses kulit kepala yang menggelupas dengan terlalu cepat.

    Dalam pada itu, ada beberapa perkara yang mungkin menjadi pencetus masalah ini termasuklah:

    #1. Kebersihan rambut yang tidak terjaga

    Sekiranya anda tidak membasuh rambut anda dengan kerap dan betul, maka minyak serta sel kulit mati boleh membina dan membentuk kelemumur.

    #2. Kulat malassezia

    Malassezia adalah sejenis kulat seperti fungus yang biasa dijumpai di kulit kepala dan ia mungkin tidak akan mendatangkan komplikasi.

    Namun dalam beberapa kes, kulat ini boleh berubah dan bertindak merengsakan kulit kepala, lantas menyebabkan kelemumur.

    #3. Seborrheic dermatitis

    Seborrheic dermatitis mungkin merupakan antara punca kelemumur yang paling biasa.

    Apabila anda menghidap kondisi kulit ini, kulit kepala anda akan menjadi kemerahan, kegatalan dan menyebabkan ia berminyak.

    Selain kulit kepala, kawasan lain dengan banyak kelenjar minyak juga boleh terjejas (kening, hidung, tulang dada, pangkal paha, dan ketiak).

    #4. Contact dermatitis

    Produk penjagaan rambut anda yang tidak sesuai juga mungkin boleh merengsakan kulit kepala serta menjadi punca kondisi contact dermatitis.

    Akibatnya, kulit kepala anda akan lebih mudah muncul kelemumur dan menyebabkan kegatalan.

    Dalam pada itu, wujud juga faktor risiko luaran yang menyebabkan masalah ini berlaku seperti usia, stres, cuaca dan alahan.

    Untuk mengatasi masalah ini, produk penjagaan rambut kalian perlu sesuai ya?

    merawat kelemumur

    Bagaimana untuk mengatasi & merawatnya?

    Ada individu yang sanggup menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk menyisir dan menyikat kepingan ini gugur daripada rambut.

    Selain itu, tidak kurang juga ramai individu yang mencuba rawatan tradisional menggunakan bahan alami seperti:

    • Minyak kelapa
    • Minyak zaitun
    • Minyak daun teh
    • Lidah buaya
    • Cuka epal
    • Bawang putih
    • Serbuk penaik
    • Garam
    • Lemon
    • Halba

    Tidak dinafikan, bahan-bahan semula jadi ini mungkin sedikit sebanyak boleh membantu mengurangkan masalah kulit kepala ini.

    Pun begitu, ia hanyalah sekadar rawatan alternatif yang boleh dicuba dan tahap keberkesanannya juga tidaklah begitu tinggi.

    Adalah lebih baik untuk dapatkan penjelasan pakar sebelum mencuba sebarang jenis rawatan ini di rumah ya?

    Atasi masalah kelemumur dengan syampu yang sesuai!

    Sebenarnya, masalah ini juga boleh diselesaikan dengan begitu mudah yakni menggunakan produk rambut yang sesuai sahaja.

    Inilah yang menjadi masalah kerana tidak ramai yang tahu syampu paling ideal untuk mereka yang mengalami masalah kelemumur.

    Menurut Public Health Malaysia, ada beberapa ciri penting yang perlu ada dalam syampu mereka yang mempunyai masalah kelemumur iaitu:

    • Syampu yang berasaskan bahan tar
    • Syampu Pyrithione Zink
    • Syampu Salicylic Acid
    • Syampu Selenium Sulfide
    • Syampu Ketoconazole

    merawat kelemumur

    Mungkin kami tidak dapat memberikan contoh jenama produk syampu yang terbaik buat anda, namun tip ini sudah boleh menjadi panduan.

    Setiap kali sebelum membeli dan menggunakan syampu untuk merawat masalah kelemumur, pastikan labelnya mengandungi bahan-bahan seperti di atas ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 30/08/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan