Malu nak buka kasut sebab ada masalah kulit kaki kering dan gatal? Usah bimbang, kami ada cara yang boleh anda cuba untuk atasinya. Jom baca artikel untuk tahu lebih lanjut!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Apa maksud, punca dan kesan masalah ini?
Menurut Medical News Today, masalah kulit kering, gatal dan mengelupas adalah perkara umum. Ia bukan sahaja boleh terjadi pada anggota kaki ini malah di bahagian lain organ terbesar ini.
Pun begitu, ia lebih kerap berlaku pada kaki kerana bahagian ini memiliki kurang kelenjar minyak berbanding kawasan kulit tubuh badan lain seperti muka mahupun tangan.
Beberapa faktor boleh menyumbang kepada risiko kulit kaki kering dan gatal seperti:
- Kondisi kulit tertentu – Jangkitan mikrob atau penyakit kulit seperti ekzema, dermatitis, psoriasis, diabetes dan tiroid adalah faktor risiko utama
- Penggunaan produk tidak sesuai – Produk seperti sabun, losyen dan lain-lain yang mengandungi bahan kimia keras boleh menjadi punca kulit kaki mengering
- Penggunaan kasut tidak sesuai – Jenis kasut yang tertutup boleh mengakibatkan kulit kaki individu menjadi terlalu panas atau lembap lantas akan mengering

- Cuaca ekstrem terlampau – Cuaca dari luar yang terlampau sejuk atau panas juga boleh memicu terjadinya masalah kulit ini
- Berat badan yang berlebihan – Mereka yang ada masalah berat badan berlebihan atau obesiti juga adalah lebih tinggi risiko mengalaminya
- Penuaan – Kulit yang mengalami penuaan secara semula jadi akan hilang kelembapan sekali gus mengakibatkan kulit kaki mengering
Kesannya, menjadi kering dan gatal. Keadaan itu membuatkan anda akan kerap menggaru sekali gus meningkatkan risiko infeksi dan iritasi kulit.
Berikut cara rawat kulit kaki kering!
Perkara paling utama, kenal pasti faktor risiko yang menjadi punca masalah kulit ini. Ia dapat mencegah masalah ini untuk terus berlaku atau berulang. Jika perlu, dapatkan rundingan doktor bagi menentukan simptom, punca dan kesan keadaan kulit ini sebelum memulakan sebarang rawatan.
Dalam masa yang sama, anda boleh mengamalkan langkah berikut bagi mengelakkan masalah ini:
#1. Eksfoliasiuba
Cuba teknik eksfoliasi atau mengelupaskan kulit kaki yang telah mati menggunakan kaedah termasuk skrub dalam usaha bagi menyelesaikan isu kulit ini.
Kaedah skrub boleh dilakukan di rumah sendiri dengan campuran bahan dari dapur seperti madu, gula, garam serta air hangat atau dijalankan di pusat rawatan bersama dengan pakar kulit.
#2. Merendamkan kulit kaki kering dan mengelupas
Anda juga boleh cuba merendamkan kaki di dalam baldi atau besen berisi air hangat dalam usaha untuk membantu menambahkan lagi kelembapan kulit kaki yang telah mengering.
Tidak hanya itu, cara ini juga mampu melancarkan aliran di dalam saluran darah ke kawasan kaki.

#3. Penggunaan pelembap atasi kulit kaki kering
Ada produk pelembap di pasaran yang sudah pasti akan dapat membantu merawat masalah ini selain mampu memberi lebih keselesaan pada kulit anda.
Sebaiknya, pilih produk yang tidak mengandungi pewangi tambahan, pewarna buatan dan alkohol.
#4. Mengamalkan diet ideal
Dalam pada itu, fokuskan juga kepada diet anda kerana makanan serta minuman yang berkhasiat berperanan penting dalam usaha melindungi dan memberikan nutrien penting untuk kulit.
Maka, adalah sangat penting untuk individu mula mengambil diet tinggi vitamin B, C, D, E, biotin, zink agar dapat mencegah masalah kulit kering dan gatal pada setiap anggota tubuh badan.
Nutrien di atas boleh diperolehi dari sumber sayur, buah, ikan, daging, telur, tenusu dan kekacang.

#5. Jangan abaikan penjagaan kuku dan bulu!
Akhir sekali, anda tidak boleh hanya fokus pada masalah kulit kaki kering dan gatal sahaja tetapi perlu lihat kepada kuku dan bulu pada kaki juga kerana ia akan memainkan peranan yang sama penting.
Apa yang anda boleh lakukan adalah mencukur, melilin atau membuang bulu kaki dengan kaedah sesuai agar rambut halus pada kaki tidak akan menjejaskan kelembapan pada anggota ini.
Anda juga perlu peka dengan kuku kaki yang telah panjang dengan cara memotong atau mengetip kuku kerana ia merupakan aspek yang agak penting untuk kesihatan dan kecantikan kaki.