- Gunakan pelembap kulit
- Pastikan air mandian anda suam (tidak terlalu panas) dan kekalkan sesi mandian di antara 10 hingga 15 minit
- Gunakan gel mandian atau sabun buku yang boleh membantu kulit untuk mengekang keluar lembapan
- Tutup atau lindungi anggota badan anda secukupnya pada musim sejuk
- Pakai sarung tangan pada musim sejuk
- Minum air secukupnya mengikut saranan perubatan semasa
- Elakkan atau kurangkan menggaru kulit yang kering
Cara penjagaan kulit bagi bayi
Bukan orang dewasa sahaja yang bergelut dengan permasalahan kulit kering. Apabila ia melibatkan tahap hidrasi kulit, jangan kita abaikan penjagaan kulit bayi. Berikut merupakan antara isi penting berkenaan dengan penjagaan kulit si manja untuk mengelakkan masalah kulit kering dan merekah.
Tukar lampin secara kerap
Pastikan anda menukar lampin yang dipakai oleh bayi secara kerap. Ini berikutan masalah kulit seperti ruam lampin (diaper rash) kebiasaannya berpunca daripada bayi yang menggunakan lampin kotor dalam tempoh masa yang lama. Bagi mengelakkan geselan, gunakan krim lampin setiap kali sesi penukarannya dan pantau pola pengeluaran tinja dan air kencing secara berkala.
Gunakan krim lembapan
Walaupun bayi yang tidak mempunyai masalah kulit tidak memerlukan krim lembapan secara kerap, pastikan anda menggunakannya sekurang-kurangnya sehari sekali. Ini terutamanya jika anda merancang untuk membawa bayi anda keluar atau bayi tersebut ditempatkan di dalam bilik yang mempunyai penghawa dingin. Pilih krim lembapan yang tidak mengeluarkan bau atau pewarna untuk mengelakkan iritasi pada kulit mereka.
Lapkan air liur mereka secara berkala
Jika anda tidak tahu, air liur bayi boleh menyebabkan iritasi terhadap kulit mereka sendiri. Keadaan ini paling teruk terutamanya jika air liur tersebut mengering dan dibasahkan kembali berikutan proses penyejatan menggalakkan lembapan kulit semula jadi untuk mengering. Anda disarankan untuk mengelap air liur yang meleleh keluar secara kerap dan jika perlu, letakkan jeli petroleum di sekeliling mulut bayi anda sebelum makan.
Gunakan pakaian yang diperbuat daripada kain cotton
Sesetengah fabrik pakaian seperti wul boleh menyebabkan iritasi kepada kulit bayi. Gunakan kain cotton memandangkan ia merupakan fabrik terbaik buat bayi anda. Perkara ini penting kerana ia boleh memberikan tahap pengudaraan yang mencukupi di antara kulit dan baju yang dipakai oleh si manja.
Mandikan anak anda secara berhati-hati
Bayi tidak perlu mandi sekerap orang dewasa namun mereka perlu dimandikan sekurang-kurangnya sekali sehari untuk tempoh 5 hingga 10 minit. Gunakan air pada suhu bilik dan elakkan penggunaan air panas. Ini berikutan penggunaannya boleh menyebabkan kulit si manja hilang keupayaan untuk mengekang keluar lembapan badan. Gunakan pembersih mandian yang disarankan. Jangan gunakan sabun memandangkan bahan kimia di dalamnya boleh mengakibatkan kulit sensitif mereka mudah merekah.
Konklusi
Kebanyakan masalah kulit kering boleh dirawat. Namun penting buat anda untuk mengamalkan teknik penjagaan kulit yang betul bagi mengekalkan kelembapan dan kesihatan kulit pada tahap yang optimum. Jika anda mengalami masalah berikut, berjumpalah dengan doktor bagi mendapatkan khidmat nasihat kesihatan.
- Kulit anda masih kering walaupun pelbagai jenis langkah telah diambil
- Kulit anda mula kelihatan kemerahan
- Kegatalan kulit yang mengganggu tidur anda
- Anda mendapat jangkitan kulit kesan daripada menggaru
- Kulit anda kelihatan bersisik dan sentiasa mengelupas
Doktor mungkin akan memberikan krim sapuan bagi mengurangkan keterukan gejala tersebut. Namun, jika ia berada pada tahap yang teruk, anda mungkin akan mendapat rujukan untuk berjumpa dengan pakar kulit untuk rawatan lanjut.
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.