Malunya apabila jerawat mula muncul pada wajah, lagi-lagi di pipi. Bukan sahaja ia sukar untuk disembunyikan, malah rasa pedih yang disebabkan oleh jerawat ini juga lebih menyakitkan daripada biasa. Tetapi, tahukah anda apa punca atau penyebab jerawat di pipi?
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Kulit, anda boleh klik di sini.
Apakah penyebab jerawat di pipi saya ya?
Menurut ahli dermatologi Dr. Amy Kassouf, jerawat merupakan sesuatu yang amat biasa berlaku.
Ada banyak faktor yang memainkan peranan seperti genetik, hormon dan flora semula jadi kulit.
Namun, apabila muka anda mengalami breakout, lokasi jerawat amat penting untuk memberikan petunjuk kepada doktor tentang cara yang terbaik untuk merawatnya.
Kadangkala, jerawat pada bahagian tertentu menandakan wujudnya isu yang lebih serius.
Selain itu, lokasi jerawat juga boleh menentukan sama ada anda menghidap jerawat secara genetik.
Namun, punca atau penyebab jerawat di pipi lebih sukar untuk ditentukan.
Jika anda mempunyai jerawat di bahagian dahi, ia mungkin disebabkan kawasan T-zone yang berminyak.
Pipi merupakan kawasan yang paling sensitif pada wajah kita.
Oleh sebab itu, apabila merawat jerawat pada kawasan pipi, seboleh-bolehnya jangan gunakan terlalu banyak produk.
Selain itu, Dr. Kassouf juga mencadangkan agar anda tidak mengaplikasikan ubat jerawat setiap masa pada bahagian pipi untuk mengelakkan iritasi.
Sebaiknya, cuba pakai produk yang lembut dan sapu pada pipi sekali dalam masa dua hari untuk elakkan kulit rosak.
Objek di sekeliling juga punca masalah ini!
Jika jerawat yang muncul pada pipi anda bukan berpunca daripada masalah genetik atau hormon, ia mungkin berlaku disebabkan habit anda setiap hari.
Kita tidak sedar berapa banyak objek yang kita gunakan setiap hari telah menyentuh pipi kita.
Sebagai contoh, telefon bimbit, sarung bantal dan juga tangan anda boleh menyebabkan kulit anda breakout!
Selain itu, amalan memegang muka ketika bekerja atau semasa stres juga boleh menyebabkan pipi anda dinaiki jerawat.
Cuba bayangkan, berapa banyak bakteria pada tangan anda yang telah melekat pada pipi jika anda sering menyentuh muka.
Syukurlah, masalah ini mempunyai jalan penyelesaian yang mudah.
Jika anda sering menggunakan telefon bimbit, cuba bersihkannya dengan kerap menggunakan tisu pensanitasi.
Untuk mengelakkan sentuhan pada wajah, mungkin anda boleh gunakan bluetooth headset untuk memudahkan kerja.
Selain itu, kerap cuci sarung bantal dan alas tilam yang boleh menjadi penyebab jerawat di pipi!
Walaupun nampak remeh, bantal anda mungkin dalang sebenar yang menjadi punca jerawat pada kawasan pipi.
Setiap malam, anda tidur berjam-jam di atas bantal yang sama.
Jika anda sudah mempunyai jerawat yang teruk, anda perlu menukar sarung bantal dengan lebih kerap kerana bakteria pada kawasan jerawat kini sudah berada pada bantal anda.
Kepada gadis yang suka memakai make-up, jangan lupa tanggalkannya dan basuh muka sebelum tidur.
Jika tidak, bersedialah untuk menerima kunjungan keesokan hari ekoran penyebab jerawat di pipi!
Jadi, bagaimana elak penyebab jerawat di pipi?
Kadangkala, merawat kulit berjerawat bukanlah semudah yang disangka.
Jika jerawat yang anda alami tidak hilang walaupun anda sudah menggunakan pelbagai jenis produk, berjumpalah dengan doktor kulit secepat mungkin.
Mereka dapat membantu mengenal pasti punca sebenar masalah kulit yang anda hadapi.
Malah, kadangkala menggunakan produk secara berlebihan juga boleh merosakkan wajah anda.
Sebagai panduan, ada empat langkah yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan kulit yang bersih dan sihat:
- Pastikan kulit anda bersih. Basuh muka sekali sehari dengan pencuci muka lembut.
- Gunakan pencuci muka buih. Pencuci muka jenis ini lebih berkesan untuk menghilangkan kotoran dan minyak daripada kulit anda.
- Jangan terlalu kasar semasa exfoliate! Jerawat anda hanya akan jadi semakin teruk jika anda skrub muka secara agresif.
- Basuh berus make-up dengan kerap. Bakteria boleh berkumpul pada berus mekap anda dan membuatkan pori wajah jadi tersumbat.
Jerawat pada kawasan pipi merupakan satu punca atau penyebab kita rasa rendah diri dan tidak yakin.
Oleh sebab itu, jangan sesekali abaikan masalah pada kulit muka.
Anda boleh atasinya dengan cara melakukan tip yang kami berikan di atas atau berjumpa doktor untuk pemeriksaan lebih lanjut.