Apabila tumbuh bintik-bintik pada muka, sudah pasti anda akan kata ia adalah jerawat. Namun, tahukah anda jika ia adalah jerawat biasa atau jerawat nanah?
Untuk pengetahuan anda, kedua-duanya biasa berlaku pada kita terutamanya pada kawasan muka, dada dan belakang tanpa kita tahu ia adalah jenis yang mana satu.
Bagi mengetahui dengan lebih mendalam lagi mengenai 2 jenis jerawat yang selalu datang tanpa diundang pada kulit kita ini, jom bersama teruskan membaca artikel.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang kesihatan kulit, anda boleh klik di sini.
Apa yang dimaksudkan dengan jerawat?
Setiap kali berbicara tentang hal berkaitan jerawat, apa yang mungkin kita tahu adalah ia merupakan sejenis bintik-bintik berwarna merah, kecil dan gatal pada kulit.
Ya, secara umumnya ia adalah penjelasan yang mungkin tepat. Pun begitu, anda juga perlu tahu bahawa sebenarnya terdapat beberapa jenis jerawat yang wujud.
Hakikatnya, bintik-bintik tersebut mungkin terdiri daripada jenis jerawat seperti berikut:
- Bintik putih (whiteheads)
- Bintik hitam (blackheads)
- Papula
- Pustula
- Nodul
- Sista
Di antara jenis-jenis jerawat di atas ini, yang paling biasa berlaku pada kulit kita semua adalah papula dan pustula. Apakah ia agaknya? Adakah ia berbeza? Mari teruskan pembacaan anda.
Jerawat nanah papula vs pustula
Buat anda yang mungkin masih belum tahu, kedua-duanya adalah biasa berlaku kepada kita semua terutamanya pada kawasan muka, dada dan belakang tubuh badan.
Untuk membezakannya, kita semua perlu faham terlebih dahulu definisi kedua-duanya ini:
Papula
Papula atau jerawat biasa adalah bintik-bintik berwarna merah, kecil dan gatal yang disebabkan oleh jangkitan bakteria bernama Propionibacterium acnes pada kulit.
Antara ciri yang khusus buat papula adalah ia tidak mengandungi nanah dan akan dikategorikan sebagai teruk atau sederhana bergantung kepada jumlahnya pada kulit.
Pustula
Pustula atau jerawat nanah adalah bintik-bintik berwarna merah, kecil dan gatal yang disebabkan oleh folikel rambut atau liang roma yang mengandungi sebum tersumbat.
Antara ciri yang khusus buat papula adalah ia akan mengandungi nanah dan juga dikategorikan sebagai teruk atau sederhana bergantung kepada jumlahnya pada kulit.
Apa beza di antara kedua-duanya?
Kebiasaannya, jerawat biasa dan jerawat pustula ini akan muncul sekali secara serentak lantas membuatkan anda sukar untuk membezakan di antara kedua-duanya.
Apa yang jelas adalah anda boleh tahu ia adalah papula jika tidak ada nanah di tengah-tengah jerawat dan pustula pula jika wujud nanah berwarna putih @ kuning.
Dalam erti kata yang lebih mudah, ia boleh dibezakan melalui kewujudan nanah pada jerawat!
Breakout akan buat jerawat nanah lebih teruk?
Ada satu fenomena bernama breakout yang boleh terjadi. Ia akan membuat pelbagai jenis jerawat muncul pada kulit menjadi lebih teruk akibat keadaan-keadaan tertentu.
Ia boleh tercetus apabila folikel rambut atau liang roma menghasilkan terlalu banyak sebum lantas membuat bakteria berkumpul dan membuat sel kulit menjadi mati.
Berikut merupakan beberapa faktor risiko yang mungkin boleh jadi punca breakout pada kulit:
- Perubahan hormon yang dipicu oleh proses akil baligh atau kehamilan
- Pengambilan ubatan tertentu seperti pil pencegah kehamilan atau kortikosteroid
- Pengamalan diet tinggi gula atau karbohidrat, seperti roti, biskut dan manisan
- Masalah keturunan, ibu bapa yang turut mempunyai kulit breakout
Sama ada ia didalangi oleh jerawat biasa, jerawat nanah atau jenis-jenis yang lain, kesemuanya sudah pasti akan memberi kesan kepada keterampilan dan keyakinan diri individu tersebut.
Bagaimana untuk rawat kondisi ini?
Anda mungkin tidak perlu terlalu bimbang tentangnya kerana kondisi ini mungkin boleh dicegah dan dirawat dengan mengamalkan tip-tip yang mudah seperti berikut:
- Cuci kulit muka anda setiap hari dengan pencuci yang lembut, yang lagi sesuai untuk hilangkan lebihan minyak, bakteria dan kotoran
- Syampu rambut dengan kerap supaya minyak tidak akan turun ke muka
- Pilih alat solek yang hanya berasaskan air atau dilabel sebagai non-comedogenic
- Elak memicit atau menyentuh jerawat kerana ia berisiko menyebarkan minyak dan bakteria
- Elak menyentuh muka dengan tangan yang kotor agar kulit muka kekal terjaga
Sekiranya anda telah cuba tip-tip berikut namun jerawat biasa, jerawat nanah dan lain-lain masalah akne masih menghantui, sila dapatkan nasihat daripada doktor kulit.
Mereka mungkin akan membekalkan anda dengan ubatan topikal yang perlu disapu pada kulit bermasalah agar kondisi ini dapat dicegah dan dirawat.