backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Rawat Jerawat Dengan Produk Berasaskan Tretinoin, Ikut Cara Pakai Ini, Barulah Berkesan!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 18/05/2021

    Rawat Jerawat Dengan Produk Berasaskan Tretinoin, Ikut Cara Pakai Ini, Barulah Berkesan!

    Jerawat… Susah betul nak bebas daripada masalah ini, terasa mahu putus asa saja! Tunggu dulu, sudahkah anda cuba merawat jerawat dengan tretinoin?

    Retin-A (tretinoin) dikategorikan sebagai ubatan preskripsi yang diguna untuk merawat jerawat pada tahap ringan dan sederhana.

    Ia juga tergolong dalam ubatan yang digelar retinoid topikal, ubat-ubatan yang berasal daripada Vitamin A.

    Antara manfaat penggunaan tretinoin, membantu rawat keradangan jerawat serta berfungsi dengan baik sekali untuk merawat jenis komedonal (yang ada banyak blackheads dan whiteheads).

    Selain itu, ia tersedia dalam bentuk topikal iaitu gel dan krim, boleh disapu pada bahagian wajah yang ditumbuhi jerawat.

    Pun begitu, rawatan ini berisiko mencetuskan beberapa kesan sampingan. Justeru, ketahui cara-cara penggunaan yang betul agar kesan tidak diingini boleh dielak!

    Tretinoin, bagaimana ia berfungsi?

    Tretinoin berfungsi sebagai comedolytic, untuk mengelak penyumbatan liang pori daripada berlaku.

    Untuk pengetahuan kalian, apabila liang pori bersih tidak tersumbat, jerawat dan bintik hitam tidak dapat terbentuk.

    Produk ini bakal mempercepatkan kadar perolehan sel, menyingkirkan sel kulit mati dengan cepat dan mengurangkan pengumpulan sel-sel mati di dalam folikel (pori).

    Justeru, ia mengurangkan pembentukan jerawat jenis comedones, yang merupakan permulaan bagi setiap jerawat.

    Manfaat-manfaat tretinoin

    krim Tretinoin

    Tretinoin juga adalah retinoid, bermaksud ia merupakan sebentuk Vitamin A. Retinoid merangsang pergantian sel kulit anda.

    Sel-sel kulit mati akan dapat disingkirkan dengan cepat apabila sel kulit baharu timbul ke permukaan.

    Perolehan sel yang lebih cepat membuka liang pori anda lantas membebaskan bakteria terperangkap atau perengsa yang menyebabkan masalah jerawat.

    Retinoid sama seperti tretinoin, membantu kulit anda dalam mengatur pengeluaran minyak semula jadi (sebum), yang boleh mencegah risiko jerawat masa hadapan.

    Bukan itu sahaja, ia mengandungi sifat anti radang, yang menolong membersihkan jerawat pustules aktif (jerawat bernanah).

    • Tretinoin untuk kedutan

    Bahan ini telah dikaji secara terperinci untuk kesannya pada tanda-tanda penuaan yang dapat dilihat.

    Memberangsangkan! Krim tretinoin telah menunjukkan kedua-dua kesan jangka pendek dan panjang pada pengurangan penampilan kedutan!

    Itulah sebabnya mengapa ia merupakan antara ramuan yang popular dalam kebanyakan krim muka dan mata yang dijual di pasaran.

    • Tretinoin untuk parut jerawat

    Ia juga dapat digunakan untuk mengurangkan penampilan parut jerawat. Oleh sebab tretinoin mempercepat pergantian sel pada kulit anda, ia dapat mendorong pertumbuhan sel baharu di tempat berparut.

    Tretinoin, dalam beberapa bentuk telah diuji dan terbukti berjaya sebagai kaedah berkesan untuk merawat parut jerawat.

    Bahan ini juga kadangkala digunakan untuk menyiapkan kulit bagi rawatan pengelupasan kimia (chemical peel) yang mensasarkan parut.

    Peringatan!

    Wanita yang sedang menyusu atau hamil TIDAK BOLEH menggunakan produk berasaskan bahan ini, kerana belum banyak dikaji pada ibu mengandung.

    Terdapat pilihan-pilihan rawatan jerawat yang lebih baik (dengan rekod prestasi terbukti) yang lebih sesuai dan selamat semasa kehamilan.

    Menakutkan sekali, tretinoin oral dikaitkan dengan kecacatan kelahiran.

    Walaupun tidak ada petunjuk tretinoin topikal mempunyai kesan yang sama, namun wanita hamil disarankan untuk tidak menggunakannya sebagai langkah berjaga-jaga.

    Kesan-kesan sampingan

    Seperti semua ubatan lain, anda mungkin bakal melihat beberapa kesan sampingan semasa mula menggunakan tretinoin, antara yang paling biasa terjadi adalah seperti berikut:

    • Kekeringan, berkeruping dan mengelupas: Hampir semua pengguna bahan ini mengalami kekeringan kulit sehingga tahap tertentu. Kulit anda mungkin akan mengalami pengelupasan, kemerahan bahkan kegatalan. Ini biasanya lebih teruk pada beberapa minggu pertama, dan secara beransur-ansur bertambah baik apabila kulit anda menjadi lebih ‘tahan’ terhadap rawatan
    • Menyengat atau terbakar: Semasa pertama kali menggunakannya, ia mungkin menyakitkan. Anda mungkin merasakan sensasi panas atau terbakar. Kulit juga mungkin akan menjadi merah seketika setelah pemakaian. Namun, ini semua normal dan biasanya akan reda setelah beberapa minit
    • Photosensitivity: Tretinoin boleh menyebabkan photosensitivity (kepekaan ekstrem terhadap sinar ultraviolet matahari dan sumber cahaya lain). Anda akan lebih mudah terdedah kepada selaran dan kerosakan matahari semasa menggunakan ubat ini. Justeru, anda amat dinasihatkan untuk menjauhkan diri daripada sinar matahari dan sumber cahaya lain. Juga, gunakan pelindung matahari dengan SPF 30 atau lebih setiap hari untuk melindungi kulit anda

    Tip menggunakan tretinoin dalam merawat jerawat

    punca kulit kering

    Sebilangan besar mereka yang menggunakan tretinoin akan mengalami kekeringan dan pengelupasan sehingga tahap tertentu.

    Tetapi dengan penjagaan tambahan, anda dapat mengurangkan kerengsaan dan rasa tidak selesa.

    Berikut adalah beberapa tip yang boleh anda cuba:

    • Pastikan anda menggunakan ubat seperti yang diarahkan. Memakai dengan lebih banyak tidak semestinya lebih baik!
    • Pelembap akan menolong atasi kulit kering yang dialami. Gunakan pelembap yang lembut, bebas minyak dan non-medicated sekurang-kurangnya 2 kali sehari, lebih kerap jika perlu
    • Sekiranya kekeringan dan pengelupasan menjadi sangat teruk sehingga anda sendiri tidak tahan, ada beberapa perkara yang boleh diubah. Pertama, gunakan ubat anda selang hari buat sementara waktu. Setelah kulit terasa lebih baik, anda boleh mula menggunakannya setiap hari semula. Cuba gunakan pelembap terlebih dahulu dan kemudian baru menyapu tretinoin di bahagian atas
    • Sekiranya kulit anda sangat senang untuk mengalami iritasi, cuba gunakannya hanya dalam waktu yang singkat, seperti sejam atau lebih, dan kemudian terus basuh. Perlahan-lahan tingkatkan jumlah masa pemakaian ubat mengikut kesesuaian, ya

    Selamat mencuba!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 18/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan