Proses IUI, atau inseminasi intrauterin, adalah rawatan kesuburan yang agak ringkas. Ia boleh dilakukan dengan atau tanpa melibatkan ubat kesuburan.
Prosedur ini melibatkan pemindahan air mani yang telah ‘dicuci’ dan ‘dipekatkan’ terus ke rahim melalui kateter yang nipis.
IUI juga dilakukan sekitar waktu ovulasi atau bersama dengan ubat kesuburan untuk memaksimumkan kemungkinan persenyawaan.
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan Seksual, anda boleh klik di sini.
Rawatan IUI, kenal dengan lebih lanjut
Proses IUI adalah kaedah rawatan kesuburan atau prosedur fertiliti yang digunakan untuk menghantar sperma secara terus ke serviks atau rahim dengan harapan untuk hamil.
Semasa konsepsi semula jadi, sperma perlu bergerak dari faraj melalui serviks, rahim dan hingga ke tiub fallopio.
Dengan IUI, sperma yang dicuci, dimasukkan terus ke dalam rahim, lantas meletaknya berdekatan telur si isteri.
Proses ini dapat meningkatkan kemungkinan untuk berlaku kehamilan, lebih-lebih lagi buat pasangan yang mengalami kesukaran dalam usaha menimang cahaya mata.
Siapa yang dapat memanfaatkan rawatan ini?
IUI adalah rawatan kesuburan noninvasive dan lebih murah berbanding rawatan berkos tinggi seperti persenyawaan in-vitro (IVF).
Dalam beberapa kes, pasangan mungkin akan mencuba nasib dengan rawatan IUI terlebih dahulu sebelum berpindah kepada IVF jika diperlukan.
Di samping itu, IUI dapat dilakukan dengan menggunakan sperma pasangan lelaki atau sperma penderma.
IUI paling sering digunakan dalam senario berikut:
- Masalah ketidaksuburan yang tidak dapat dijelaskan
- Pesakit endometriosis ringan
- Alami masalah dengan lendir serviks atau serviks
- Punyai bilangan sperma yang rendah
- Penurunan pergerakan sperma
- Masalah dengan ejakulasi atau ereksi
- Pasangan ingin mengelak berlakunya kecacatan genetik daripada pasangan lelaki kepada anak
Pun begitu, proses IUI tidak akan berkesan di dalam senario berikut:
- Wanita dengan endometriosis sederhana hingga teruk
- Wanita yang mempunyai kedua-dua tiub fallopio dikeluarkan atau tersumbat
- Wanita dengan penyakit tiub fallopio yang teruk
- Wanita yang mengalami pelbagai jangkitan pelvis
- Lelaki yang tidak menghasilkan sperma (melainkan pasangan ingin menggunakan sperma penderma)
Proses IUI, apa yang boleh anda jangkakan?
Tempoh rawatan IUI kebiasaannya hanya memakan masa sekitar 15 ke 20 minit dan sering dilakukan di pejabat atau klinik.
Proses IUI itu sendiri hanya memerlukan 1 atau 2 minit dan tidak memerlukan sebarang ubatan mahupun ubat tahan sakit.
Semasa prosedur IUI
Semasa berbaring di atas meja yang disediakan, anda akan meletakkan kaki ke dalam stirrups dan spekulum akan dimasukkan ke dalam faraj, serupa dengan apa yang sering dilakukan ketika ujian Pap.
Ketika prosedur, doktor atau jururawat akan:
- Melekatkan botol yang berisi sampel sperma sihat pada penghujung tiub yang panjang, nipis dan fleksibel (kateter)
- Kateter dimasukkan ke dalam faraj melalui bukaan serviks dan ke rahim anda
- Sampel sperma ditolakkan melalui tiub ke dalam rahim
- Kemudian, kateter dikeluarkan, diikuti oleh spekulum
Selepas prosedur IUI
Selepas inseminasi, anda akan diminta untuk berbaring dalam posisi telentang untuk jangka masa yang singkat.
Setelah prosedur tersebut selesai, anda boleh berpakaian dan menjalani aktiviti harian seperti biasa.
Usah panik sekiranya anda mengalami pendarahan ringan selama 1 atau 2 hari selepas prosedur, normal untuk ia berlaku usai rawatan IUI.
Tinggikah kadar kejayaan rawatan ini?
Sekiranya pasangan melakukan prosedur IUI setiap bulan, kadar kejayaan mungkin akan meningkat sebanyak 20% bagi setiap kitaran.
Pun begitu, hal ini turut bergantung kepada pembolehubah seperti faktor usia, punca ketidaksuburan dan sama ada melibatkan penggunaan ubat kesuburan atau sebaliknya.
Walaupun IUI adalah pilihan yang noninvasive dan tidak begitu mahal, kadar kehamilan bagi rawatan IUI adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan IVF.
Untuk pembaca yang sedang berusaha mendapat zuriat, rawatan IUI yang berjaya masih mampu menjadi opsyen yang boleh kalian cuba.
Rujuk doktor atau pakar sakit puan terlebih dahulu untuk mendapatkan khidmat nasihat serta bimbingan sebelum memulakan rawatan ya!
[embed-health-tool-ovulation]