Masalah seks semasa prosedur IVF
Walaupun seks mungkin tidak mendatangkan masalah, namun terdapat beberapa isu yang mungkin akan dihadapi, antaranya:
# Masalah emosi
Sepanjang tempoh prosedur IVF, anda mungkin akan dihujani dengan rasa cemas dan perasaan yang bercampur baur.
Semakin dekat anda dengan tempoh pemindahan IVF, maka peningkatan emosi terharu akan membebani diri anda. Kebanyakan pasangan pada tempoh ini akan kurang rasa ghairah.
Berbeza dengan rawatan kesuburan lain yang mendorong seks atau menggabungkannya, rawatan in vitro ini lebih menyebabkan tekanan kepada banyak pasangan.
Tekanan akan semakin meningkat dalam beberapa fasa rawatan dan adakalanya menyebabkan rasa ketidakselesaan.
Kadangkala, isu kesuburan yang dialami akan merumitkan lagi situasi.
Ketidaksuburan cenderung menyebabkan tekanan, terutamanya kepada pasangan yang telah mencuba secara semua jadi selama bertahun-tahun sebelum menjalani rawatan IVF.
Seharusnya, setiap pasangan yang menjalani prosedur ini mengelakkan tekanan berlebihan bagi membolehkan hubungan kelamin dapat dinikmati sepenuhnya.
# Isu fizikal
Semasa fasa rangsangan ovari, keadaan ovari wanita akan membesar secara mendadak. Ia boleh berubah daripada ukuran walnut kepada ukuran limau gedang sepanjang tempoh ini.
Ini bermakna hubungan kelamin boleh menjadi sesuatu yang menyakitkan. Sebaiknya, jika wujud rasa sakit, elakkan!
Jika tidak ia boleh mengakibatkan wujudnya masalah psikologi dan sekali gus mengurangkan keinginan untuk melakukan seks di kemudian hari.
Beberapa pusat rawatan kesuburan juga menyarankan untuk tidak melakukan persetubuhan semasa tempoh ini kerana ia boleh menyebabkan sindrom hiperstimulasi ovari (OHSS) atau kilasan ovari (ovari berpintal).
Kedua-dua keadaan ini sudah tentu akan mengakibatkan kesakitan dan ketidakselesaan. OHSS umumnya berlaku lebih kerap berbanding kilasan ovari. Pun begitu, seks yang dilakukan cenderung memburukkan lagi keadaan.
Antara fasa pengambilan telur dan pemindahan embrio, rata-rata wanita yang menjalani prosedur IVF tidak mempunyai keinginan untuk melakukan persetubuhan.
Walaupun setiap individu akan memberikan tindak balas yang berbeza, namun terdapat beberapa kesan sampingan jangka pendek umum yang sering berlaku, seperti:
- Kekejangan ringan
- Kesakitan ringan hingga sederhana
- Perut kembung
- Peningkatan tahap sensitiviti
Untuk tempoh 2 hingga 3 minggu selepas pengambilan telur, rahim boleh mengalami masalah kembung dan sensitif. Pada waktu ini, keinginan seksual wanita berada pada tahap yang rendah.

3 tip menikmati seks semasa IVF
Walaupun kitaran prosedur rawatan in vitro boleh menimbulkan ketegangan dalam hubungan, suami isteri yang ingin melakukan seks harus meneruskannya. Ia penting untuk menjaga keintiman antara kalian.
Berikut tip yang boleh anda cuba:
- Mengikut badan
Hubungan kelamin yang menyakitkan harus dielakkan. Cuba ubah rutin seksual semasa prosedur IVF dengan melakukan keintiman seksual yang kurang invasif tetapi menyenangkan.
- Berlembut
Penting untuk anda berlembut dengan badan dalam setiap fasa IVF. Ini bermakna anda perlu elakkan seks yang ganas.
Ia bukan sahaja untuk mengelakkan kesakitan tetapi juga mengurangkan risiko kilasan ovari atau kegagalan implantasi.
- Melakukan perubahan
Cuba posisi yang lebih selesa untuk kalian. Elakkan daripada menyebabkan ovari sakit atau ia akan menjadikan seks lebih sukar dilakukan.