backup og meta

Luka Lambat Sembuh? Awas, Ia Mungkin Tanda Anda Menghidap Kencing Manis!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 12/10/2022

    Luka Lambat Sembuh? Awas, Ia Mungkin Tanda Anda Menghidap Kencing Manis!

    Bagi penghidap kencing manis, luka kencing manis yang dialami cenderung untuk lambat sembuh berbanding biasa. Ada sebabnya mengapa luka lambat sembuh dalam kalangan penghidap kencing manis.

    Namun, ada juga yang mungkin tidak mengetahui bahawa mereka sebenarnya sedang menghidap diabetes melalui tanda luka yang lambat sembuh.

    Ketahui penerangan lanjut mengenainya melalui artikel di bawah ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kencing manis, anda boleh klik di sini.

    Luka lambat sembuh? Ia mungkin tanda anda alami luka kencing manis

    Sekiranya anda memiliki tanda-tanda ini pada luka yang anda alami, berkemungkinan anda sebenarnya sedang menghidap diabetes tanpa anda sedari. Tanda-tanda tersebut ialah:

    • Mempunyai kesakitan yang kronik atau tidak mengalami sebarang kesakitan
    • Keradangan dan juga kemerahan pada kawasan luka tersebut
    • Berlakunya lelehan nanah pada luka
    • Keluarnya bau yang busuk daripada luka yang dialami
    • Adanya tisu-tisu kulit yang mati di sekitar luka
    • Rasa kebas pada bahagian luka tersebut
    • Mengalami demam

    Kenapa luka kencing manis lambat sembuh?

    luka kencing manis

    Sekiranya anda merupakan penghidap diabetes, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan luka lambat sembuh.

    Berikut adalah sebabnya:

    #1. Tahap gula darah yang tinggi

    Tahap gula darah adalah faktor utama yang menentukan secepat manakah luka anda kembali sembuh.

    Apabila tahap gula darah berada pada tahap yang tinggi berbanding kadar normal, ia akan menghalang sistem imun tubuh badan anda daripada berfungsi dengan baik.

    Selain itu juga, ia akan menghalang oksigen dan juga nutrien daripada memberikan tenaga kepada sel. Ia juga akan meningkatkan keradangan pada sel tubuh anda.

    #2. Neuropati

    Neuropati periferal juga boleh berlaku sekiranya paras gula darah tinggi daripada biasa.

    Seiring dengan masa, akan berlaku kerosakan pada saraf dan juga salur darah sehingga menyebabkan kawasan tersebut hilang deria atau rasa sensasinya.

    Neuropati lebih mudah berlaku pada kawasan tangan dan juga kaki. Apabila ia berlaku, anda tidak mampu merasakan rasa sakit pada luka yang wujud. 

    #3. Peredaran darah yang tidak baik

    Selain itu, penghidap diabetes juga lebih cenderung untuk mengalami masalah peredaran darah yang tidak lancar yang menyebabkan luka kencing manis lambat sembuh.

    Penyakit vaskular periferal menyebabkan saluran darah mengecil sehingga mengurangkan aliran darah ke bahagian tubuh yang lain. 

    #4. Sistem imun yang tidak berkesan

    Penghidap diabetes juga mempunyai sistem imun yang tidak begitu responsif.

    Sebagai contoh, sel imun yang berfungsi menyembuhkan luka akan menjadi semakin berkurangan.

    Apabila hal seperti ini berlaku, tidak mustahil jika luka lambat sembuh selain mempunyai risiko jangkitan yang lebih tinggi. 

    #5. Jangkitan 

    Apabila sistem imun badan anda tidak dapat berperanan dengan baik dalam melindungi tubuh, tubuh anda mungkin mengalami kesukaran untuk melawan sebarang jangkitan bakteria.

    Paras gula darah yang tinggi juga meningkatkan risiko seseorang itu untuk mendapat jangkitan.

    Ini kerana bakteria membiak dengan lebih mudah dalam aliran darah yang mempunyai paras gula yang tinggi.

    Jika jangkitan tidak dirawat, ia akan menyebabkan komplikasi lain seperti gangren. 

    Cara mempercepatkan kesembuhan luka kencing manis

    luka kencing manis

    Bagi mempercepatkan kesembuhan terhadap luka yang dialami, lakukan beberapa perkara seperti yang dinyatakan di bawah ini:

    • Kerap lakukan pemeriksaan luka. Periksa jika terdapat sebarang luka yang berlaku pada tubuh badan anda terutamanya di kawasan yang sukar dilihat seperti belakang badan dan celah-celah kaki
    • Buang tisu kulit mati. Bagi luka kencing manis, tisu kulit yang telah mati kerap terhasil. Ia akan menggalakkan pertumbuhan bakteria selain memudahkan jangkitan berlaku. Berjumpalah dengan doktor bagi proses pembuangan tisu kulit mati tersebut
    • Tukar kain pembalut. Bagi mengurangkan pembiakan bakteria yang boleh memburukkan jangkitan, kerap tukar kain pembalut yang membaluti luka anda. Ia juga akan mengekalkan tahap kelembapan yang bersesuaian bagi luka tersebut
    • Elakkan sebarang tekanan pada luka. Tekanan pada kawasan luka tersebut hanya akan menyebabkan luka menjadi lebih dalam dan lebih teruk

    Kesimpulan

    Jika anda sedar bahawa luka yang anda alami tersebut tidak sembuh dalam tempoh yang normal, terus berjumpa dengan doktor untuk melakukan pemeriksaan yang sepatutnya.

    Ia juga sebagai langkah awal untuk mengesan sekiranya anda menghidap diabetes atau tidak.

    Dengan cara ini, doktor juga akan membantu anda merawat luka tersebut dengan lebih baik dan menggalakkannya untuk lebih cepat sembuh.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 12/10/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan