backup og meta

Orang Diabetes Tak Tahu Nak Makan Apa? Amalkan 4 Jenis Sayur Ini

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 03/12/2021

    Orang Diabetes Tak Tahu Nak Makan Apa? Amalkan 4 Jenis Sayur Ini

    Ada banyak makanan yang sesuai untuk pesakit kencing manis, salah satunya ialah sayur untuk diabetes sebagai komponen penting dalam pemakanan harian.

    Makanan terbaik, sayur untuk diabetes

    Tanggapan bahawa pesakit diabetes tidak boleh makan sayur dan buah merupakan pendapat yang tidak benar.

    Malah, pesakit diabetes sebenarnya boleh makan apa sahaja makanan dengan syarat mereka tidak makan secara berlebihan dan tahu mengawal pemakanan masing-masing.

    Pastikan makanan yang diambil mempunyai kadar indeks glisemik (GI) yang rendah dan tinggi kandungan fiber.

    Sayur-sayuran merupakan antara contoh makanan yang mempunyai kadar GI yang rendah dan kandungan fiber yang tinggi.

    Jika anda ingin tambah sayuran dalam menu harian anda tetapi tidak pasti sayur untuk diabetes apa yang boleh dimakan, sila ikuti senarai yang kami sediakan di bawah.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

    4 sayur untuk diabetes terbaik untuk dipilih

    Makan sayuran bukan sahaja boleh membantu mengawal kencing manis tetapi juga boleh melindungi anda daripada strok, sakit jantung, tekanan darah tinggi dan juga kanser.

    Apabila anda menghidap diabetes, anda juga mempunyai risiko untuk mendapat penyakit yang dinyatakan di atas.

    Oleh itu, cuba makan makanan yang mempunyai kebaikan 2 dalam 1 seperti yang kami senaraikan di bawah ini.

    Ia bukan sahaja dapat bantu anda mengawal kencing manis, malah merendahkan risiko daripada terkena penyakit lain.

    Anda mungkin juga berminat:

    1. Brokoli sayur untuk diabetes terbaik

    sayur untuk diabetes

    Brokoli ialah sayuran yang sesuai untuk dimakan oleh pesakit diabetes. Bukan sahaja ia rendah kalori, malah brokoli juga kaya dengan antioksida dan diperkaya dengan vitamin A dan C.

    Selain itu, sayur ini juga mengandungi fiber yang akan membuatkan pesakit kencing manis rasa kenyang untuk tempoh yang lebih panjang.

    Tambahan lagi, brokoli mengandungi sulphoraphane, sejenis bahan kimia yang boleh merendahkan kadar gula dalam darah.

    Sulphoraphane juga merupakan sejenis bahan anti kanser dan baik untuk jantung.

    Brokoli baik dimakan secara mentah. Jika anda ingin masak brokoli, anda boleh cuba rebus sayuran hijau ini dalam air yang panas supaya kebaikan sulphoraphane di dalamnya tidak akan hilang.

    2. Lebihkan bayam dalam makanan

    Selain daripada brokoli, anda juga boleh cuba lebihkan bayam dalam makanan anda. Pengambilan bayam ataupun sayuran hijau yang lain secawan sehari dapat menurunkan risiko diabetes sebayak 14%.

    Selain itu, pengambilan bayam yang banyak tidak mempunyai kesan yang tinggi terhadap perubahan paras gula dalam darah seseorang.

    Malah, bayam juga mempunyai kalori dan karbohidrat yang rendah.

    Bayam kaya dengan kandungan fiber, folat, zat besi dan juga kalsium yang tinggi. Oleh itu, bayam amat sesuai dimakan oleh pesakit kencing manis.

    American Diabetes Association juga menyarankan pengambilan bayam sebagai makanan untuk pesakit kencing manis jenis 1 dan 2.

    3. Asparagus kaya dengan vitamin C dan E

    Selain bayam dan brokoli, asparagus juga perlu ditambah ke dalam pelan makanan pesakit kencing manis.

    Sayur ini mengandungi banyak vitamin, mineral, dan fiber yang akan membuatkan pesakit kencing manis rasa kenyang untuk jangka masa yang panjang.

    Malah, satu hidangan asparagus membekalkan 18% keperluan vitamin C dan E harian.

    Ia juga mempunyai kandungan protein yang sederhana dan tidak akan membuatkan kadar gula dalam darah anda meningkat dengan mendadak.

    British Journal of Nutrition juga telah mendapati pengambilan asparagus boleh membantu mengawal diabetes tahap 2.

    Penyelidik daripada Karachi University di Pakistan pula mendapati, individu yang makan asparagus setiap hari dapat mengawal kadar gula dalam darah dan menambah kadar insulin dalam badan.

    Oleh itu, mulai hari ini, cuba tambahkan asparagus dalam masakan anda! Pasti anda akan nampak perbezaannya nanti.

    4. Kenalkan zukini sebagai menu baru dalam sayur untuk diabetes

    Zukini yang turut dikenali sebagai timun jepun ini mempunyai banyak manfaatnya yang tersendiri. Selain teksturnya yang rangup, sayur ini merupakan pilihan yang terbaik untuk pesakit diabetes.

    Zukini mengandungi 0 lemak dan kaya dengan vitamin B, zink dan juga magnesium yang boleh membantu dalam menstabilkan kadar gula dalam darah.

    Selain itu, sayur ini juga mempunyai lutein dan zeaxanthin, dua nutrien yang membantu dalam kesihatan mata.

    Walau bagaimanapun, jika anda masukkan zukini dalam diet harian anda, kurangkan sedikit amaun karbohidrat harian kerana zukini mempunyai lebih sedikit kandungan karbo berbanding sayur-sayuran yang lain.

    Amalkan makan sayur untuk diabetes guna kaedah suku-suku separuh

    sayur untuk diabetes

    Jika anda mempunyai diabetes jenis 2, anda patut mengamalkan diet suku suku separuh untuk membantu menurunkan kadar gula dalam darah.

    Anda boleh isikan separuh pinggan dengan sayuran di atas, dan suku lagi dengan nasi ataupun apa-apa makanan karbohidrat pilihan anda, serta suku lagi isikan dengan daging yang anda gemari.

    Jangan lupa jaga pemakanan anda dan amalkan gaya hidup sihat ya!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 03/12/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan