home

Bagaimana kami boleh memperbaikinya?

close
chevron
Artikel ini mengandungi maklumat yang salah dan tidak tepat.
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Artikel ini tidak menyediakan info selengkapnya
chevron

Sila beritahu kami apa yang salah.

wanring-icon
Anda tidak wajib mengisi maklumat ini. Sila klik Hantar Pendapat Saya di bawah untuk terus membaca.
chevron
Hmm... Saya ada soalan!
chevron

Kami tidak boleh menawarkan khidmat nasihat kesihatan peribadi, tapi kami mengalu-alukan pendapat anda! Sila isi kotak di bawah.

wanring-icon
Jika anda mengalami kecemasan, sila hubungi pihak kecemasan atau lawati bilik kecemasan terdekat dengan kadar segera.

AWAS! Pesakit Diabetes Berisiko Dapat Kanser Pankreas, Ini Sebab Mengapa Terjadi Demikian!

AWAS! Pesakit Diabetes Berisiko Dapat Kanser Pankreas, Ini Sebab Mengapa Terjadi Demikian!

Kanser pankreas merupakan kanser keenam tertinggi di dunia dalam konteks kematian yang melibatkan pesakit barah.

Ia kebiasaannya tidak menunjukkan simptom sehinggalah mencecah ke tahap lewat.

Oleh sebab itulah diagnosis kepada masalah kesihatan ini jarang dibuat ketika perubahan patologi kanser berlaku pada peringkat awal.

Kanser pankreas mempunyai kaitan yang kuat dengan masalah kencing manis.

Setinggi 80% pesakit mengalami masalah kerintangan insulin semasa didiagnosis dengan penyakit kanser tersebut.

Pengetahuan berkenaan dengan faktor risiko kanser pankreas penting bagi memastikan penurunan risiko dapat dinikmati pada tahap yang optimum.

Perihal kanser pankreas

barah pankreas

Pankreas merupakan organ penting dalam sistem pencernaan yang terletak di belakang perut.

Ia bertindak menghasilkan enzim bagi mencerna makanan yang mengandungi nutrisi makro karbohidrat, lemak dan protein.

Selain itu, pankreas juga merembeskan hormon penting seperti glukagon dan insulin yang terlibat dalam proses metabolisme glukosa.

Tanpa kedua-dua hormon tersebut, keseimbangan sumber tenaga di dalam badan boleh terganggu menyebabkan simptom seperti kelesuan.

Berikutan kedudukan pankreas yang agak tersorok berbanding dengan organ lain, perubahan patologi pada struktur organ tersebut sukar untuk dikesan.

Kebiasaannya, penghidap hanya hadir untuk pemeriksaan apabila mereka mengalami simptom yang sering dikaitkan dengan tahap lewat kanser pankreas.

Pada ketika itu, masalah kesihatan tersebut sukar untuk dirawat dan pesakit seringkali mengalami komplikasi terutamanya jika ia sudah merebak ke organ lain.

Kencing manis, punca atau komplikasi barah pankreas?

barah pankreas

Dapatan kajian terdahulu menunjukkan kaitan yang kuat di antara diagnosis kencing manis dengan risiko untuk mendapat barah pankreas.

Sebagai contoh, kajian yang dijalankan oleh Institut Pencernaan, Diabetes dan Penyakit Buah Pinggang United Kingdom (UK) menunjukkan risiko 2x ganda dalam tempoh masa setahun untuk pesakit diabetes didiagnosis dengan kanser pankreas.

Melalui keputusan kajian secara kolektif, saintis pernah menganggap kencing manis sebagai simptom awal bagi masalah kanser pankreas.

Antara penerangan terhadap perubahan patologi tersebut adalah:

  1. Kanser pankreas berupaya untuk merembeskan sejumlah hormon insulin yang banyak menyebabkan masalah kerintangan insulin.
  2. Proses pembentukan kanser pankreas juga boleh menyebabkan organ tersebut hilang keupayaan untuk menghasilkan insulin.

Namun, ia telah disangkal oleh kajian yang dijalankan oleh Calle et al yang menyokong hipotesis kencing manis sebagai punca, bukan komplikasi atau simptom kanser pankreas.

Walaupun tiada mekanisme yang jelas, ada bukti yang menunjukkan peningkatan pada jumlah penghasilan insulin adalah faktor utama yang menggalakkan kanser pankreas.

Tambahan pula, proses patologi bagi kanser tersebut berlaku pada kadar yang sangat cepat.

Ini bermakna, kencing manis bukanlah tanda awal barah pankreas memandangkan proses penyakit kronik itu boleh berlaku dalam tempoh masa yang lama sebelum wujudnya kanser pankreas.

Perbezaan pendapat di antara ahli akademik ini menunjukkan topik berkaitan dengan proses patologinya masih lagi samar-samar.

Sukar untuk kita tentukan pemalar yang mana mempunyai pengaruh yang kuat dalam menyebabkan terjadinya proses penyakit.

Adakah proses perubahan patologi dalam penyakit diabetes menyebabkan berlakunya kanser pankreas ataupun sebaliknya?

Anda mungkin berminat:

Rawatan dan potensi kesembuhan

pesakit diabetes

Bergantung kepada tahap kanser pankreas yang didiagnosis, modaliti rawatan berbeza mengikut kesesuaian keadaan klinikal pesakit.

Matlamatnya adalah untuk membunuh sel kanser dan menghindarkannya daripada merebak ke organ lain.

Bagi mereka yang mengalami kanser tahap lewat terutamanya apabila ia sudah merebak ke organ lain, pembedahan dianggap alternatif yang tidak sesuai.

Pesakit yang mengalami keadaan tersebut kebiasaannya akan diusulkan dengan prosedur terapi radio atau terapi kemo bagi membunuh sel kanser.

Kemajuan teknologi perubatan membolehkan pesakit kanser pankreas untuk menikmati kelangsungan hidup yang lebih berkualiti.

Secara puratanya, rawatan menggunakan peralatan berteknologi tinggi mampu meningkatkan peluang hidup pada purata setinggi 5 tahun kepada pesakit kanser pankreas.

Walau bagaimanapun, seperti yang anda sedia maklum, kanser pankreas sukar untuk dirawati dan ia sering didiagnosis pada tahap yang agak lewat.

Perkara ini menyukarkan proses membunuh sel kanser atau menghalangnya daripada terus merebak ke organ lain.

Pesakit juga boleh mengalami komplikasi rawatan seperti turun berat badan, masalah usus kecil tersumbat, kegagalan organ hati dan sakit pada bahagian abdomen.

Pun begitu, perubahan gaya hidup mengikut kesesuaian keadaan klinikal pesakit boleh membantu meredakan masalah tersebut.

Konklusi

Terdapat kaitan yang kuat di antara masalah barah pankreas dan kencing manis.

Walau bagaimanapun, mekanisme di sebalik proses patologi itu masih lagi menjadi tanda tanya.

Rawatan awal boleh membantu pesakit dalam mencapai tahap kesembuhan yang tinggi terhadap kanser pankreas.

Namun, proses perubahan kepada sel kanser pankreas berlaku pada kadar yang laju menyebabkan objektif tersebut sukar direalisasikan.

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Sumber Rujukan
  1. Cancer death statistic. (https://ourworldindata.org/cancer#:~:text=Almost%2010%20Million%20people%20die%20from%20cancer%20annually&text=The%20Global%20Burden%20of%20Disease,world%20is%20due%20to%20cancer.). Diakses pada 6 Ogos 2020.
  2. Insulin resistance. (https://www.diabetes.co.uk/insulin-resistance.html). Diakses pada 6 Ogos 2020.
  3. Pancreatic cancer. (https://www.diabetes.co.uk/diabetes-complications/pancreatic-cancer.html). Diakses pada 6 Ogos 2020.
  4. Pancreatic cancer. (https://www.mayoclinic.org/diseases-conditions/pancreatic-cancer/symptoms-causes/syc-20355421). Diakses pada 6 Ogos 2020.
  5. Can Pancreatic Cancer Be Prevented? (https://www.cancer.org/cancer/pancreatic-cancer/causes-risks-prevention/prevention.html). Diakses pada 6 Ogos 2020.
  6. Diabetes Type 2 and Pancreatic Cancer: A History Unfolding. (https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5860818/#!po=75.0000). Diakses pada 6 Ogos 2020.
  7. Diabetes mellitus and pancreatic cancer mortality in a prospective cohort of United States adults. (https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/9794172/). Diakses pada 6 Ogos 2020.
  8. Diabetes mellitus as a risk factor for pancreatic cancer. A meta-analysis. (https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/7745774/). Diakses pada 6 Ogos 2020.
Gambar penulis
Maklumat perubatan disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor
Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli
Disemak pada 19/08/2020
x