backup og meta

Potong Kaki, Komplikasi Lazim Diabetes! Ini Yang Anda Perlu Tahu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 13/12/2022

    Potong Kaki, Komplikasi Lazim Diabetes! Ini Yang Anda Perlu Tahu

    Sebut sahaja penyakit diabetes, perkara lazim yang akan bermain di fikiran adalah “Alamak! Kena potong kaki lah aku nanti.” Prosedur potong kaki kencing manis ataupun amputasi adalah komplikasi yang cukup digeruni. Tetapi, mengapa ada yang perlu potong kaki diabetes?

    Jom, baca artikel kami untuk informasi lebih lanjut!

    Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.

    Mengapa ada yang perlu potong kaki diabetes?

    potong kaki diabetes

    Berbeza dengan komplikasi lain yang boleh membawa maut (seperti serangan jantung), seseorang yang telah menjalani amputasi terpaksa meneruskan kehidupan dengan ketiadaan anggota badan penting di samping menghidap gangguan sistemik lain akibat diabetes.

    Namun yang demikian, berita baiknya adalah prosedur potong kaki kencing manis ini bukanlah sesuatu yang akan dilalui oleh semua pesakit diabetes.

    Bergantung kepada indikasi dan kawalan penyakit, penghidap diabetes mampu untuk meneruskan kehidupan tanpa perlu mengorbankan mana-mana anggota badan.

    Diabetes adalah satu penyakit yang sistemik, bermakna kesannya terhadap tubuh badan adalah menyeluruh. Ia boleh mengakibatkan kerosakan buah pinggang (nefropati), gangguan penglihatan (retionpati) dan juga gangguan pada sistem saraf (neuropati).

    Pada salur darah pula, ia boleh menyebabkan penyakit arteri periferi (PAD). Dalam PAD, salur darah menjadi semakin sempit dan integriti dinding salur darah turut terjejas.

    Ini akan mengganggu kelancaran aliran darah ke bahagian periferi badan (kaki, ibu jari). Bekalan darah beroksigen adalah penting untuk kemandirian sel-sel dan tisu-tisu badan di kawasan tersebut, khususnya bahagian kulit dan saraf.

    Integriti kulit yang terjejas akan menyebabkan luka lambat sembuh dan kadar pemulihan berlaku dengan tidak optimum. Bahagian luka yang terbuka ini akan bertindak sebagai pintu masuk untuk jangkitan bakteria. Sebab itulah, ada yang potong kaki diabetes!

    Baca juga:

  • Neuropati Diabetes, Komplikasi Kencing Manis Yang Patut Anda Tahu!
  • Demam Diabetes? Ada 3 Sebab Orang Kencing Manis Selalu Alami Demam!
  • Jika berlaku sekali neuropati diabetes, seseorang itu tidak akan berasa sakit di bahagian tersebut walaupun lukanya dalam atau besar.

    Ini menyebabkan penghidap diabetes itu berkemungkinan besar untuk tidak menyedari bahawa adanya luka pada anggota badan mereka

    Kesemua faktor ini akan meningkatkan kecenderungan untuk berlakunya kerosakan tisu yang luas ataupun kematian tisu di kawasan tersebut (gangren).

    Keadaan ini adalah sangat kondusif untuk jangkitan bakteria kekal berterusan dan berupaya untuk merebak ke kawasan badan yang lain (apabila bakteria tersebut berjaya mengakses salur darah).

    Bakteria yang berada dalam salur darah (sepsis) boleh merebak ke organ dalam badan yang lain, mengakibatkan pelbagai komplikasi yang boleh menyebabkan kematian.

    Oleh itu, prosedur potong kaki diabetes bertindak sebagai langkah penyelamat bagi mencegah bakteria daripada pergi ke anggota badan yang lain.

    Macam mana nak elak dipotong kaki?

    potong kaki diabetes

    Asas kepada pencegahan potong kaki diabetes adalah dengan mengawal paras gula dalam darah.

    Kawalan ini dapat dicapai dengan penggunaan ubat yang betul dan mencukupi, pengubahsuaian diet dan juga peningkatan aktiviti fizikal.

    Bagi mengelakkan prosedur potong kaki pula, berikut adalah langkah khusus untuk penjagaan kaki pesakit diabetes:

  • Periksa kaki anda setiap hari
  • Basuh kaki dan jari kaki dengan bersih ketika mandi. Keringkan kaki dengan tuala bersih, terutama dicelah-celah jari.
  • Anda boleh menggalakkan pengaliran darah ke bahagian kaki dengan:

  • Senaman kaki secara berkala.
  • Urutan lembut pada kaki.
  • Rendamkan kaki dalam air suam dicampur garam.
  • Rehatkan kaki di paras yang tinggi sedikit jika lama berdiri atau berasa letih.
  • Elakkan aktiviti yang boleh mengurangkan peredaran darah ke kaki seperti:

    1. Tekanan akibat kasut yang ketat.
    2. Duduk terlalu lama.
    3. Duduk bersilang kaki terlalu lama boleh meningkatkan risiko potong kaki.
    4. Memakai seluar atau stoking kaki yang ketat.

    Panduan penggunaan kasut atau selipar pula adalah seperti berikut:

    potong kaki diabetes

    1. Sentiasa gunakan kasut atau selipar yang lembut dan selesa sama ada di dalam ataupun di luar rumah.
    2. Gunakan sarung kaki yang dapat menyerap peluh iaitu dari jenis benang bulu dan kapas. 
    3. Pakailah kasut dengan saiz yang bersesuaian dan selesa.
    4. Jangan memakai kasut yang basah.
    5. Untuk anda yang mempunyai kaki yang mudah berpeluh, pakailah kasut yang diperbuat daripada kulit atau kanvas, dan elakkan kasut buatan sintetik. Gunakan stoking dan bedak kaki yang sesuai agar kaki sentiasa kering serta tidak berbau.

    Walaupun diabetes tiada penawarnya, kaedah rawatan semasa adalah efektif dalam mengawal penyakit ini. Tiada siapa yang ingin menjalani prosedur potong kaki diabetes.

    Oleh itu, hargailah kaki anda dan berikan perhatian yang sewajarnya agar anda masih boleh berdiri di atas kaki sendiri di masa akan datang.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Gabriel Tang Pei Yung

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Wazir Aiman Mohd Abdul Wahab · Disemak pada 13/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan