backup og meta

Kencing Manis Disebabkan Keturunan, Adakah Ia Diwarisi Daripada Ibu Atau Bapa?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/01/2022

    Kencing Manis Disebabkan Keturunan, Adakah Ia Diwarisi Daripada Ibu Atau Bapa?

    Jika seseorang individu itu mendapat penyakit diabetes disebabkan faktor keturunan, adakah diabetes keturunan ini diwarisi daripada sebelah ibu atau bapanya? Adakah kencing manis keturunan ini berbeza antara diabetes jenis 1 dan 2? 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis sila dapatkannya di sini.

    Peranan genetik dalam diabetes keturunan

    Faktor genetik dan juga gaya hidup merupakan dua punca utama yang menyebabkan kencing manis berlaku.

    Gabungan kedua-dua faktor ini boleh menyebabkan kerintangan insulin dalam tubuh badan.

    Kerintangan insulin inilah yang kemudiannya menyebabkan kencing manis jenis 2.

    Kencing manis dikategorikan sebagai penyakit yang boleh diwarisi.

    Namun, ia tidak bermakna bahawa anda pasti akan mendapat kencing manis sekiranya ibu atau bapa anda mempunyai penyakit ini.

    Anda hanya mempunyai risiko yang lebih besar untuk mendapat diabetes keturunan disebabkan faktor genetik keluarga. 

    Adakah diabetes keturunan diwarisi daripada sebelah ibu atau bapa?

    diabetes keturunan

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, diabetes merupakan satu penyakit yang boleh diwarisi disebabkan faktor genetik.

    Ini bermakna, seseorang kanak-kanak itu lebih berisiko tinggi untuk mendapat diabetes keturunan berbanding populasi umum pada umur yang sama.

    Para penyelidik tidak dapat menentukan dengan tepat sama ada genetik ibu atau bapa yang menyebabkan risiko diabetes keturunan ini.

    Namun, kita boleh mengetahui sama ada risiko tersebut semakin besar atau kecil.

    Bagi kencing manis jenis 1, risiko kencing manis keturunan akan meningkat bagi seseorang kanak-kanak itu sebanyak 1 daripada 17 sekiranya bapanya penghidap diabetes jenis 1.

    Sekiranya seseorang ibu mempunyai kencing manis jenis 1, maka anak yang dilahirkan olehnya sebelum dia berumur 25 tahun mempunyai risiko kencing manis sebanyak 1 daripada 25.

    Jika dia melahirkan anak selepas dia berumur 25 tahun pula, maka risiko untuk anaknya mendapat kencing manis ialah sebanyak 1 daripada 100.

    Sekiranya seseorang individu tersebut mempunyai diabetes serta beberapa penyakit lain seperti tiroid, dan gangguan sistem imun, maka si anak berisiko sebanyak 1 daripada 2 untuk mendapat kencing manis jenis 1. 

    Bagaimana pula dengan diabetes jenis 2?

    Manakala bagi kencing manis jenis 2 pula, risiko kencing manis keturunan ini dapat dielakkan dalam kalangan kanak-kanak atau remaja melalui gaya hidup yang sihat.

    Ini kerana, diabetes jenis 2 berlaku disebabkan gabungan dua faktor utama iaitu genetik atau keturunan dan juga faktor persekitaran seperti gaya hidup.

    Risiko bagi seseorang kanak-kanak untuk mendapat diabetes jenis 2 lebih besar sekiranya si ibu menghidap diabetes berbanding si bapa.

    Sekiranya si bapa mempunyai keadaan diabetes, faktor risiko bagi seseorang kanak-kanak itu untuk mendapat diabetes ialah sebanyak 30%.

    Namun, faktor risiko ini akan menjadi lebih tinggi sekiranya si ibu menghidap diabetes.

    Risiko untuk kanak-kanak ini juga akan semakin tinggi iaitu sebanyak 70% sekiranya kedua-dua ibu dan juga bapanya mempunyai diabetes. 

    Mutasi gen tingkatkan risiko mendapat penyakit diabetes

    Mutasi pada mana-mana gen yang terlibat dalam mengawal kadar glukosa dapat meningkatkan risiko diabetes jenis 2.

    Ini termasuklah beberapa gen yang berfungsi mengawal penghasilan glukosa, penghasilan dan pengawalan insulin serta bagaimana tahap glukosa dikesan dalam tubuh badan.

    Selain daripada faktor genetik ini, terdapat beberapa faktor lain yang boleh meningkatkan risiko untuk diabetes jenis 2 berlaku.

    diabetes keturunan

    Antaranya ialah merokok, obesiti, gaya hidup yang tidak aktif, pemakanan yang tidak sihat, tekanan darah tinggi selain pernah mengalami diabetes gestasi bagi ibu hamil. 

    Bolehkah risiko diabetes keturunan ini dikurangkan?

    Risiko bagi seseorang kanak-kanak untuk mewarisi diabetes sememangnya tidak dapat dielakkan.

    Namun, penyakit diabetes boleh dicegah dengan mengikuti kaedah seperti berikut:

    • Memastikan pengambilan makanan yang sihat dan tidak makan secara berlebihan
    • Mengamalkan gaya hidup yang sihat selain menjaga berat badan agar sentiasa ideal
    • Elakkan pengambilan makanan segera dan makanan yang berlemak
    • Elakkan pengambilan minuman dan makanan bergula dengan kerap
    • Elakkan pengambilan minuman beralkohol
    • Cuba untuk menghentikan tabiat merokok
    • Bersenam setiap hari sekurang-kurangnya 30 hingga 40 minit
    • Kawal paras gula darah anda setiap masa. Ambil bacaan gula dengan kerap sekiranya perlu

    Kini faktor genetik bukan lagi punca utama diabetes kanak-kanak

    diabetes keturunan

    Kini, kebanyakan punca diabetes yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan juga remaja bukanlah disebabkan oleh faktor genetik semata-mata.

    Ia lebih banyak disebabkan oleh faktor persekitaran seperti pemakanan yang tidak sihat selain gaya hidup yang tidak aktif.

    Tidak hairanlah jika kini penyakit diabetes tidak lagi dikenali sebagai penyakit orang tua.

    Ini kerana, peratusan kanak-kanak dan remaja yang menghidap penyakit ini semakin meningkat. Kadar peningkatan ini berlaku di seluruh dunia termasuklah di Malaysia sendiri.

    Oleh itu, bagi mengelakkan anak-anak anda daripada mendapat penyakit diabetes di usia muda, kawal dan perhatikan cara pemakanan mereka.

    Pastikan mereka hanya mengambil makanan yang sihat dan hadkan pengambilan snek yang tidak sihat.

    Selain itu, galakkan juga mereka untuk bersenam dan menurunkan berat badan. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Muhammad Wa'iz · Disemak pada 13/01/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan